Jalan

Ikram Nazuddin / March 18, 2018, 16:03:41 pm

Kita lahir, membesar, ditunjukkan jalan, kemudian memilih jalan yang ingin kita lalui. Kau dan aku pernah berjalan seiringan , saling menggenggam tangan ,berganding bahu. Kemudian tiba titik kedewasaan, kita terpisah, memilih jalan sendiri. Kau kekanan dan aku kekiri. Kini, takdir menentukan kita bertemu kembali di satu persimpangan.

“ Rizal !! berhenti,” Inspektor Amir menjerit sambil muncung Beretta 92 nya menghala kearah seorang lelaki dihadapan nya. Lelaki bernama Rizal itu berpusing sambil tersenyum. Namun submesingan HK MP5 nya masih tepat kearah kepala mangsanya. “Ahh, Amir sahabat lama. Setelah lebih 10 tahun kita terpisah, sepatut nya pertemuan semula kita agak nostalgik.saling berpeluk, bersalaman, air mata mengalir mungkin. Tapi kau cuba menembak aku? Cukup dramatik.” Kata Rizal sinis. “Lepaskan dia Rizal, serah diri saja. Kau masih memanggil aku sahabat, jadi dengar kata kata aku. Aku tidak mahu menembak sahabat ku sendiri” Inspektor Amir masih berusaha memujuk.

“Baiklah, kau boleh ambil dia,lagipun dia dah nak mati. Tapi kalau kau nak tangkap aku kau kena kejar aku dulu. Kita bermain kejar kejar, seperti zaman kita kecil dulu.” Kata Rizal sambil berlari kencang. “Maafkan aku Rizal” Inspektor Amir bermonolog halus sambil jarinya menekan picu pistol. Dumm , kemudian kedengaran bunyi sesuatu jatuh. Dia menggeleng, kesal kerana terpaksa mengambil tindakan drastik.

Beberapa hari kemudian, di Hospital Kuala Lumpur.

“Aku dimana? Kenapa kepala dan kaki aku berbalut? Aduh, sakit kepala aku.” Rizal membebel sambil memegang kepala dengan tangan kanan. Tangan kiri nya bergari pada besi katil. “Kau dah sedar? Bagus .” Inspektor Amir bersuara tiba tiba. “Dah berapa lama kau ada kat sini? Kenapa kepala dan kaki aku berbalut? “ Rizal menyoal. “Dari pagi tadi. Aku tembak kaki kau, kemudian kau jatuh terhantuk tepi longkang. Aku ingat kau dah mati. Sebelum kau disoal siasat secara rasmi, aku ingin berbicara dengan kau, sebagai seorang kawan.” Jelas Inspektor Amir. “ Tak guna punya kawan , aku ajak main kejar kejar kau tembak aku. Tanya apa saja jika benar kau masih menganggap aku sahabat.” Kata Rizal

“Kemana kau menghilang selama ini? Kenapa kau jadi pembunuh? siapa mereka sebenarnya?” inspektor Amir menembak tiga soalan sekali gus. “Kau masih ingat hari terakhir kita bertemu? Kau berkata hari ini kita berpisah , mengambil jalan sendiri setelah bertahun seiring sejalan. Melihat kau memilih jalan sendiri, memasuki pusat latihan polis, aku membuat keputusan mengembara mencari jalan ku. Kemudian aku menyertai syarikat khidmat pengawal peribadi. Ketika itu lah aku mula tersilap jalan. Aku menjadi pengawal peribadi seorang ahli perniagaan. Rupa rupa nya dia terlibat dalam pasaran gelap menjual senjata.

Suatu hari, ketika kali pertama aku mengikuti dan mengetahui kerja haramnya, lokasi urus niaga senjata nya diserbu pihak polis. Dia berjaya melarikan diri, tetapi aku gagal dan ditangkap. Ketika aku meringkuk dilokap, dia datang. Tetapi bukan untuk menjaminku, sebaliknya menyampaikan satu ancaman. Jika aku mendedahkan kegiatannya, seluruh anggota keluargaku akan dibunuh. Aku tidak mempunyai pilihan, melainkan menanggung akibat atas kesalahan yang tidak aku lakukan. Aku dipenjara lapan tahun atas kesalahan menyeludup dan menjual senjata haram. Lapan tahun aku meringkuk dalam tirai besi tanpa ada seorang pun melawat. Dalam tempoh itu juga aku ternanti nanti saat pembebasan agar aku dapat meminta ampun dari ibuku.

Apabila saat itu tiba, yang menyambutku apabila pulang ke kampung hanyalah puing puing runtuhan rumahku dahulu. Aku cuba mengorek maklumat daripada penduduk kampung. Rupa rupanya dia mengarahkan konco konconya membunuh ahli keluargaku ketika aku masih dipenjara. Kerana rasa dendam dan marah atas kezaliman itu, aku memilih jalan gelap.aku menjejak dan membunuh seorang demi seorang anggota kumpulannya. Ketika dendam itu hampir terbalas, aku bertekad itu akan menjadi pertumpahan darah terakhir. Namun kau menjadi batu penghalang ketika aku ingin mencabut nyawanya, beberapa hari lalu,” kata Rizal mengakhiri ceritanya.

Inspektor Amir mengeluh kecewa selepas mendengar cerita sahabatnya. Selepas bertahun mencari, pertemuan semula mereka hanya menjadi permulaan sebuah lagi perpisahan. Selepas seminggu disoal siasat, mahkamah memutuskan Rizal didapati bersalah atas kesalahan membunuh dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Dia hanya tersenyum ketika hukuman itu dijatuhkan. Ketika dia dibawa pergi, Inspektor Amir menghantar sahabatnya dengan satu pesanan terakhir, “Ingat janji kita dahulu”.

20 tahun kemudian, di Terminal Pengangkutan Awam, Kuala Terengganu, seorang lelaki tua berjanggut putih menapak keluar dari perut bas.dia kelihatan sedikit bingung. “Ah, dua dekad lebih aku meninggalkan negeri ini, ternyata Terengganu sudah banyak berubah,” katanya perlahan. Dia melihat sebuah teksi berhenti menurunkan penumpang. Langkahnya diatur laju mendekati pemandu teksi itu. “Assalammualaikum orang muda,” salam kesejahteraan diucap sambil tangannya dihulur. Ucapan salam berbalas, huluran tangan tua itu bersambut. Pemandu itu memandangnya sambil tersenyum.

“Ya pakcik? Pakcik nak ke mana?” soalan itu dilontar lembut. “Bawa aku ke jalan yang lurus,” kata  lelaki tua itu. Pemandu itu tersentak mendengar jawapan itu. “Eh bukan, maaf, pakcik teringat kan seseorang tadi.Boleh anak hantar pakcik ke alamat ini?” lelaki tua itu bertanya sambil menghulur sekeping kertas. Kerutan jelas kelihatan di muka pemandu tersebut. “Ini alamat lama ni, kawasan ini dah jadi bandar baru, dah tak ada kampung,” katanya menjelaskan pekara sebenar. Kekecewaan jelas terukir diwajah tua itu. Pemandu itu mengeluh kecil, menggeleng kepala, kemudian tersenyum kembali.

“Tak apa pakcik, kebetulan saya memang ada urusan dikawasan itu. Saya boleh bawa pakcik ronda ronda dahulu, mungkin pakcik boleh mengingati sesuatu. Oh ya, kita belum berkenalan. Nama saya Khalid, pakcik pula?” kata nya. “Alhamdulillah, terima kasih nak Khalid. Panggil saja pak Mat,” mereka mula berkenalan secara rasmi. Beg kecil dimasukkan kedalam bonet dan mereka mula bergerak pergi. “Pak Mat datang dari mana tadi? Nampak macam dari jauh saja,” Khalid bertanya, cuba mengorek maklumat. Pak Mat tersenyum sinis lalu menjawap selamba, “Pakcik dari Pokok Sena, Kedah. Baru keluar penjara,” Khalid tersentak kali kedua. Hampir saja dia menekan brek mengejut kerana terkejut.

Pelbagai andaian buruk menujah mindanya. Rasa takut mula meresapi hatinya. Pak Mat menyedari perubahan wajah dan bahasa tubuh anak muda itu. “Usah risau orang muda. Semuanya sudah pakcik tinggalkan disebalik tirai besi. Ketika pakcik seusia kamu, pakcik tersesat jalan akibat dendam dan hasutan syaitan. Namun, Alhamdulillah, syukur kepada Allah, tuhan yang Maha Penyayang, dua dekad di penjara memberi peluang untuk pakcik kembali ke jalan yang diredhai tuhan,” jelas pak Mat. Khalid menarik nafas lega, kemudian berishtifar perlahan, menyesali andaian buruknya tadi. Perjalanan diteruskan sambil mereka terus rancak bercerita kisah hidup masing masing.

Mereka mula memasuki daerah Dungun. Sampai di satu kawasan, pak Mat meminta Khalid membelok ke arah kiri. “20 tahun, masih ada yang kekal sama. Turunkan pakcik disini, nak Khalid,” katanya dengan suara sedikit bergetar. Kelihatan air jernih mula bertakung di tubir mata, menanti saat untuk menitis. Khalid hanya mengangguk, memahami situasi.

Teksi  itu berhenti dihujung jambatan. Pintu dibuka, pak Mat menapak perlahan sambil meraut janggut putihnya. Dia menghulur tambang teksi dan memeluk Khalid erat. Ucapan terima kasih meluncur laju dari bibirnya. Ketika deruan teksi semakin menjauh, dia mendepakan tangan dan memejam mata. Barangkali meraikan pembebasan diri atau cuba menghayati suasana kampung halaman yang telah bertahun ditinggalkan. Ketika dia membuka mata, terlihat dimatanya susuk seorang lelaki dibawah sebatang pokok besar ditepi sungai. Dia tersenyum, seakan mengenali susuk itu. Langkahnya diatur laju mendekati pohon itu.

Ketika dia sampai disebelah lelaki itu, salam kesejahteraan dihulur. “Waalaikumsalam, selamat pulang sahabat. Bagaimana keadaan dirimu?” lelaki itu bertanya. “Alhamdulillah Amir. Aku bersyukur Allah S.W.T masih memberi kesempatan untuk aku terus hidup. Nampaknya kau menanti ku disini. Ternyata kau masih berpegang pada janji puluhan tahun dahulu,” kata pak Mat sambil tersenyum. “Ketika aku mendengar khabar kau bakal dibebaskan selepas mendapat pengampunan dari Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, aku meminta bantuan kenalanku menyiasat bila kau dibebaskan, lalu aku menunggu kau disini, berharap kau juga masih mengingati janji itu,” balas Amir.

“Ya, janji ketika kita mula mula berpisah haluan , membawa diri menyusur jalan masing masing, suatu hari kita bertemu kembali di sungai ini, dibawah teduhan pohon yang sama. Tak mungkin aku lupa janji itu. Kerana janji itu, aku bertahan di penjara. Kerana janji itu, aku berubah dan kembali ke jalan diredhai Allah, dan kerana janji itu juga, Alhamdulillah, aku berdiri disini,” kata pak Mat lagi. “Rizal, aku bersyukur doaku saban waktu agar kita dipertemukan kembali dimakbulkan oleh tuhan yang Maha Mendengar. Dengan izin tuhan, kau kembali kejalannya dan persahabatan kita terus teguh sepeti teguhnya pohon ini,” ucap Amir.

“ aku mohon usahlah memanggilku Rizal lagi. Rizal telah mati ditembak 20 tahun lampau. Panggil aku Mohammad, sempena nama junjungan besar rasul terakhir. Semoga aku teguh mengikuti ajaran nabi Muhammad S.A.W,” pinta pak Mat. “Baiklah, Mohammad. Sebentar lagi masuk waktu Magrib, marilah kita ke rumahku dahulu, bersihkan diri. Kita sama sama berjemaah di masjid nanti,” ajak Amir. Pak Mat atau Mohammad mengangguk perlahan sambil mereka berjalan seiringan menuju ke rumah,persis ketika mereka kecil dahulu.

“Terima kasih sahabat, kau muncul ketika aku tersesat jalan. Kita terpisah dahulu ketika aku terhukum atas khilaf diri. Kini kita kembali seiring sejalan menuju jalan tuhan yang Maha Esa,” Mohammad Rizal.