Islam Sebagai “Rahmatan Lil Alamin”

Hilal Asyraf / June 17, 2017, 20:06:03 pm

 

Sering kita mendengar ungkapan bahawa Islam itu ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang membawa maksud, Islam itu sebagai rahmat bagi sekalian alam.

Ungkapan ‘Rahamatan Lil Alamin’ bukan ungkapan yang direka-reka dari logik akal sesiapa. Ianya disebut dengan jelas oleh Allah SWT di dalam firmanNya:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” Surah Al-Anbiya’ ayat 107.

Kita cuba hendak melihat dengan lebih dalam, apakah maksud kepada ‘Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam’ itu, supaya kita lebih memahami dengan jelas erti ungkapan tersebut, dan tidak meletakkannya di tempat yang silap.

 

Islam Sebagai Rahmat Kepada Sekalian Alam

Walaupun yang disebut oleh Allah SWT di dalam ayat 107 tersebut, ditujukan kepada Rasulullah SAW, tetapi hakikatnya ‘rahmatan lil alamin’ itu berbalik kepada apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, bukan batang tubuhnya secara zat.

Ini diterangkan di dalam ayat sebelumnya, 106, apabila Allah SWT membicarakan perihal Al-Quran.

“Sesungguhnya Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang mengabdikan diri mereka.” Surah Al-Anbiya’ ayat 106.

Selepas itu barulah disebut berkenaan Rasulullah SAW diutus sebagai rahmat bagi sekalian alam. Bersama Rasulullah SAW itu, datangnya Al-Quran, datangnya sunnah nabawiyah, dalam erti kata lain, datang bersama Rasulullah SAW itu, Islam.

Kita tidak mengehadkan rahmat itu pada susuk tubuh Rasulullah SAW semata-mata, kerana selepas kewafatan Rasulullah SAW, apakah rahmat untuk sekalian alam akan terputus? Semestinya tidak. Islam terus berkembang & tersebar selepas kewafatan Rasulullah SAW. Maka rahmat yang tiba bersama Islam dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu, tidak sesekali tamat.

Kerana itu, kita menganggap bahawa ayat ini sebagai bukti, bahawasanya Islam merupakan rahmat kepada sekalian alam.

 

Apa Rahmatnya?

Apakah rahmatnya Islam yang cuba diberikan kepada sekalian alam itu?

Jika kita mendalami Islam, kita akan melihat bahawa Islam itu disusun sesuai bukan sahaja dengan keperluan manusia, tetapi juga turun memberikan rahmat untuk haiwan, tumbuh-tumbuhan dan juga alam ini umumnya.

Tika mana arab jahiliyyah merendah-rendahkan kaum wanita, Islam datang memberi rahmat kepada kaum wanita dengan mengangkat martabat mereka. Lelaki disaran untuk berlemah lembut terhadap mereka, adil kepada mereka, mempertahankan mereka, bahkan Al-Quran menerangkan bahawasanya lelaki dan wanita itu perlu saling memperkasa. Hingga satu surah didekasikan khusus buat mereka – Surah An-Nisa’. Satu penghormatan yang tidak diperolehi oleh wanita sebelum kehadiran Islam.

Islam merobohkan kasta antara fakir miskin dan mereka yang berada. Di dalam Islam difardhukan ibadah zakat, dianjurkan bersedekah, supaya golongan kurang bernasib baik ini mendapat sokongan untuk sama-sama bangkit menjadi ahli masyarakat yang berperanan. Bukan ditinggalkan terkontang-kanting begitu sahaja.

Islam mengangkat martabat anak-anak yatim, dan menggesa ummatnya berlaku adil dan baik kepada golongan tersebut. Islam bahkan menjaga mereka yang belum lagi lahir, dengan mengharamkan penzinaan, untuk menjaga nasab keturunan dan memperkasa institusi kekeluargaan, agar anak-anak yang lahir mendapat kasih sayang daripada ibu bapa, sebagaimana fitrahnya.

Islam menjaga tumbuh-tumbuhan dan haiwan juga. Ayat berikut merupakan salah satu buktinya:

“Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia) sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” Surah Al-Baqarah ayat 205.

Dan kita semua maklum, di dalam penyembelihan binatang, Islam menetapkan tatacara yang jelas untuk tidak menyakiti dan menakut-nakutkan haiwan yang mahu disembelih. Antaranya, pisau yang digunakan mesti dipastikan tajam, dan pisau tersebut tidak boleh ditunjuk-tunjukkan pada haiwan yang mahu disembelih. Islam juga mewajibkan sembelihan perlu disembelih pada leher kerana itu antara jalan tercepat untuk memutuskan nyawa dari badan, lantas mengurangkan waktu kesakitan untuk Sang Haiwan.

Itu hanya beberapa juzu’ dari rahmat Islam kepada sekalian alam.

Apabila kita mendalami Islam, kita akan lebih sedar bahawa rahmat Islam itu lebih dari sekadar perkara-perkara tersebut. Sudah semestinya hendak membahaskan “Islam Sebagai Rahmatan Lil Alamin”, tidak akan cukup dengan satu artikel berdurasi 3 ke 4 muka surat. Artikel ini lebih bertujuan kepada memberikan gambaran secara umum.

Islam itu syumul dan mencakupi segenap hidup. Walaupun Islam berpusat kepada kehidupan insan, tetapi insan itu bersambung hidupnya dengan haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan alam ini. Walaupun Islam itu untuk diaplikasikan oleh mereka yang mengaku Muslim, tetapi Muslim itu perlu bergaul dengan non-muslim, maka di sana ada juga rahmat, kebaikan, kelebihan yang diberikan Islam kepada non-Muslim.

Dalam erti kata lain, bermula daripada Muslim, Islam menyebarkan rahmatnya kepada sekalian alam, dengan nilai-nilainya yang dipraktikkan oleh seorang Muslim. Apatah lagi jika yang mempraktikkannya ialah masyarakat Muslim, negara Muslim.

 

Apakah Rahmat Ini Ada Untuk Orang Kafir?

Ini yang sering menjadi perdebatan. Apakah orang kafir juga mendapat rahmat Islam?

Ada yang bertegas menyatakan tidak. Mereka ini percaya, rahmat Islam hanya untuk orang Islam. Mereka berdalilkan bahawa non-muslim tidak layak menerima rahmat ini kerana mereka terang-terangan tidak beriman dengan Allah SWT.

Saya pula lebih kepada menyatakan rahmat itu ada untuk non-Muslim.

Apa bentuknya?

Islam melarang Muslim untuk mencela Tuhan orang bukan Islam.

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” Surah Al-An’am ayat 108.

Untuk apa? Supaya tidak berlaku perbalahan dan persengketaan berlebih-lebihan sesama manusia.

Islam juga melarang kezaliman terhadap orang-orang kafir. Mereka mempunyai hak sebagai manusia. Namun hal hak ini panjang jika kita mahu bahaskan, kerana ianya punya fleksibiliti menurut tempat dan keadaan, serta terdapat beberapa perbincangan besar mengenainya. Apa pun, kita jelas dapat melihat kewujudan terminologi Kafir Dzimmi, Kafir Mu’ahad, Kafir Musta’man dan Kafir Harbi menunjukkan bahawa ada orang-orang kafir yang kita jagai haknya menurut kondisinya(Kafir Dzimmi, Kafir Mu’ahad dan Kafir Musta’man) manakala ada kafir yang kita perangi seperti Kafir Harbi.

Ada yang membahaskan bahawa terminologi tersebut tidak boleh lagi digunakan untuk situasi di Malaysia. Saya tidak mahu pergi kepada perbahasan tersebut, namun saya lihat secara asasnya, spirit terminologi-terminologi itu boleh digunakan, jikalah kita tidak mahu menggunakan terminologi yang sama.

Pokok pangkalnya, menzalimi Non-Muslim ialah haram di sisi Islam, selagi mana mereka tidak mengangkat senjata atau punya usaha-usaha yang jelas untuk memerangi Islam. Jadi masyarakat non-muslim di Malaysia contohnya, dibenarkan untuk duduk di negara ini dengan aman, tidak diganggu ibadah mereka, dan tidak dihalang mereka dari mencari rezeki dengan jalan yang baik, dan sebagainya, selagi mana mereka tidak memberikan ancaman kepada intergriti negara dan Islam itu sendiri.

Bahkan, apabila berlakunya peperangan sekalipun, Ummat Islam dilarang dari melampaui batas terhadap lawan mereka.

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas” Surah Al-Baqarah ayat 190. Kerana itu, hatta di dalam peperangan, Islam menggariskan peraturan-peraturan ketat seperti tidak boleh membunuh mereka yang tidak terlibat dengan peperangan, wanita, orang tua, kanak-kanak, mereka yang mengunci diri mereka di dalam rumah ibadat, tidak dibenarkan memotong pokok dan tumbuhan sesuka hati, tidak dibenarkan merobohkan bangunan sesuka hati dan sebagainya.

Ini merupakan salah satu rahmat Islam kepada non-Muslim.

Kerana itu di dalam Al-Quran, jelas wujud ayat yang menyeru kepada kesatuan ummat manusia, tidak ekslusif kepada muslim semata-mata. Seperti yang termaktub dalam firman Allah SWT:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah Al-Hujurat ayat 13.

Untuk saya, itulah keindahan Islam.

D sisi hubungan sesama manusia, haiwan dan tumbuhan, Islam menjaganya dengan sangat rapi. Kerana itu saya sangat yakin, individu yang benar-benar jujur mengimplementasikan Islam di dalam hidupnya, dia ialah individu yang aman. Masyarakat yang benar-benar jujur mengimplementasikan Islam di dalam hidupnya, masyarakat itu masyarakat yang aman. Negara yang benar-benar jujur mengimplementasikan Islam di dalam hidupnya, negara itu akan menjadi negara yang aman dan makmur.

 

Namun Itu Tidak Bermakna Kita Bersambil Lewa

Namun jangan sesekali kita juga melupakan, bahawa ayat “Rahmatan Lil Alamin” itu dikelilingi dengan ayat-ayat yang menegaskan akan intergriti sebagai seorang Muslim.

Yakni ketegasan kita untuk berpegang dengan prinsip yang terpahat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Keimanan kepada Allah SWT dan ketundukan kepada peraturan-peraturanNya.

“Katakanlah: Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku? Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: Aku telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama; dan aku tidak mengetahui sama ada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh. Sesungguhnya Allah mengetahui akan perkataan yang kamu sebutkan dengan terus terang, dan juga Ia mengetahui apa yang kamu sembunyikan (di dalam hati). Dan aku tidak mengetahui (mengapa dilambatkan balasan buruk yang dijanjikan kepada kamu itu) jangan-jangan lambatnya menjadi satu sebab yang menambahkan azab kamu, dan di samping itu memberi kamu kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang tertentu. Berkatalah(Muhammad): Wahai Tuhanku, hukumkanlah (di antara kami dengan mereka) dengan yang benar; dan Tuhan kami ialah Yang Melimpah-limpah rahmatNya yang dipohonkan pertolonganNya terhadap apa yang kamu sifatkan itu.” Surah Al-Anbiya’ ayat 108-112.

Dalam kita menyatakan bahawa mengimplementasian Islam itu akan memberikan rahmat kepada sekalian alam, hatta kepada non-Muslim, kita juga bertegas berpegang dengan keesaan Allah dan memisahkan diri kita dengan kepercayaan mereka. Bahkan menganggap bahawa Islam sebagai jalan hidup yang benar, peraturan-peraturannya ialah yang terbaik, dan Allah SWT ialah Tuhan kita dan kita tidak sesekali mensyirikkanNya.

Sesiapa yang sengaja memberikan ancaman, memberikan provokasi, melakukan aktiviti-aktiviti penghinaan kepada agama kita, maka di sana ada janji-janji Allah SWT yang jelas untuk golongan sedemikian rupa.

 

Kewujudan Golongan Yang Mengambil Kesempatan Di Atas Tema Rahmatan Lil Alamin

Mengangkat tema Islam Rahmatan Lil Alamin bukanlah bermakna kita akan menjadi lembik dengan tuntutan-tuntutan yang merepek dan jauh daripada ajaran Islam itu sendiri.

Sebagai contoh, provokasi terkini di Malaysia, Iftar Gay.

Tindakan itu selayaknya ditegur dan dikritik, kerana mencampurkan acara yang mulia, yang Rasullah SAW sabdakan sebagai salah satu dari dua kegembiraan orang yang berpuasa, dengan perbuatan yang jelas dimurkai Allah SWT, sehingga diabadikan di dalam Al-Quran akan balasan Allah SWT terhadap satu kaum Nabi Lut atas perbuatan jijik yang sama itu.

Mengangkat tema Islam Rahmatan Lil Alamin tidak membenarkan kita berdiam dari tindakan-tindakan jelek sebegini.

Mereka adalah antara pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada tema ini. Mereka bersembunyi di sebalik ‘ketinggian moral’, kononnya untuk saling mencintai dan membenci keganasan, namun pada masa yang sama sengaja melakukan provokasi, menyuntik kemarahan masyarakat di Malaysia, yang rata-rata Islam. Tujuan provokasi-provokasi sedemikian untuk apa?

Untuk menyemarak kekacauan yang kemudiannya mereka boleh ambil kesempatan dari kekacauan tersebut.

Golongan sebegini sering tafsiran mereka yang tersendiri terhadap Al-Quran untuk menghalalkan tindakan-tindakan mereka, yang jauh, sehingga mereka sendiri beranggapan dengan anggapan yang aneh-aneh, sebagai contoh: liwat itu boleh di dalam Islam, dengan syarat dilakukan penuh kasih sayang. Mereka menyatakan, yang homoseksualiti itu tidak mengapa di dalam Islam, kerana yang Allah hukum kaum Lut itu adalah kerana mereka melakukannya secara paksaan.

Mereka mengenepikan ayat-ayat Al-Quran yang sangat jelas akan hal ini.

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.” Surah Al-A’raf ayat 80-82.

Bagaimana mereka mahu mentafsirkan ayat ini? Tujuan Nabi Lut diutuskan kepada kaum tersebut adalah kerana kaum tersebut merupakan pengamal liwat sesama jantina. Bukan kerana mereka memaksa liwat ke atas sesiapa.

Itu satu contoh golongan yang mahu mengambil kesempatan di dalam tema ‘Rahmatan Lil Alamin’ ini. Mereka fikir, Islam itu lembik, wewenang membiarkan intergritinya dirobek sesuka hati dengan tafsiran-tafsiran yang jauh, membelakangi garisan moral yang Islam telah tetapkan dengan jelas. Mereka suka mengambil juzu’-juzu’ Islam yang menyebelahi mereka(seperti Islam membenci keganasan, Islam itu rahmat), tetapi mereka akan membelakangi tuntutan Islam yang lain yang tidak selari dengan pendirian mereka(contoh: Solat, penutupan aurat).

 

Penutup: Islam Rahmatan Lil Alamin

Islam memang merupakan rahmat kepada sekalian alam. Islam bukan agama yang memenjara insan setakat di pagar masjid, tetapi benar-benar memandu insan untuk menjalani kehidupan sebagai manusia yang peka. Sensitif dengan kondisi manusia lain, juga kepada haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar. Islam mengangkat keadilan, menentang kezaliman, membasmi kesalahan-kesalahan moral yang berlegar sekitar kehidupan insan.

Namun di dalam rahmatnya Islam itu, terselit ketegasan.

Ketegasan yang membuatkan Islam itu tidak boleh dirobek-robek prinsipnya, dibuat main ajarannya.

Dan untuk saya, ketegasan itu sendiri di satu sisi, ialah rahmat.

Bagaimana kita mahu berpayung di bawah satu sistem hidup yang lembik?

Islam tegas berprinsip, walau ada fleksibilitinya untuk masa dan keadaan tertentu.

Muhasabah.