Iman Di Hujung Tanduk

Afdholul Rahman Che Ani / August 12, 2017, 23:08:18 pm

Beriman di waktu tenang dan lapang itu mungkin mudah bagi kebanyakan kita.

Ya. Di waktu senang, tiada bolak-balik atau apa-apa kegoncangan, di waktu solat boleh dilakukan dengan aman, bekerja tidak ada masalah, gaji banyak, mungkin ramai yang boleh dakwa dirinya benar-benar beriman kepada Allah s.w.t.

Cuba sesekali kita diuji dengan ujian dan musibah, di situ akan terlihatnya sebesar mana timbangan iman yang ada dalam diri kita.

 

Beriman Bila Diberi Kesenangan dan Kenikmatan

Bila hidup ada serba serbi semuanya, mungkin mudah untuk klaim diri sebagai seorang beriman.

Boleh belajar dan bekerja dengan baik.

Rumah pun elok dan besar.

Kereta ada, mewah pula.

Makan minum serba mencukupi bahkan lebih.

Boleh pergi umrah banyak kali.

Kita mungkin mudah dan senang untuk melakukan ibadah dalam keadaan hidup yang demikian, Alhamdulillah.

Tetapi iman ini sesuatu yang mahal. Sesuatu yang mahal tidak akan diperolehi melainkan kita benar-benar teruji kelayakan kita mendapatkannya.

Demikian Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut :

“Apakah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji?”

Emas hanya akan jadi bernilai dan dapat dijual dengan harga yang tinggi apabila ditempa dan melalui proses dalam api yang tersangat tinggi suhunya.

Rumah hanya dapat didiami setelah melalui proses memasang pasak, menyusun batu bata, menyimen, mengecat dan hinggalah akhir proses yang menjadikan rumah itu sebuah rumah.

Iman itu lebih mahal dan iman yang berkualiti itu terhasil dengan melalui proses. Dan proses itu sudah pastinya berlangsung sepanjang hidup.

Kalau kita hanya duduk selesa setelah menikmati nikmat iman, tidak berbuat apa-apa, mungkin tidak terasa begitu berharga nikmat iman yang ada. Cuba kita duduk dengan orang yang baru masuk Islam, kita akan sedar betapa berharga sungguh nikmat iman ini.

Dan nikmat iman ini, kalau tidak dijaga, kalau kita tidak beramal atasnya, ia boleh hilang. Dan kalau ia hilang dari diri kita, belum tentu kita akan mendapatkannya semula. Duit hilang, mungkin kita boleh cari lain. Tetapi iman belum tentu kerana iman adalah anugerah Allah s.w.t.

 

Iman Di Hujung Tanduk

Ada satu peribahasa Melayu berbunyi ‘telur di hujung tanduk’ yang bermaksud berada dalam keadaan yang genting dan bahaya.

Demikianlah, Allah s.w.t. ibaratkan dalam Al-Quran bahawa di kalangan manusia itu imannya hanya berbasis di atas satu ‘huruf’ saja. Yakni, imannya berada di hujung tanduk.

Bila-bila masa saja, ia boleh jatuh dan kalau ia jatuh mungkin tak akan kembali lagi.

“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap…” Allah sebut dalam surah Al-Haj ayat 11.

Siapa mereka ini?

Allah sambung lagi, “… iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hati dalam keadaan itu…”

Itu kalau beroleh kesenangan. Kalau beroleh sebaliknya?

“…dan kalau ia ditimpa ujian, berbaliklah ia semula (kepada kekufuran)…”

Mereka ini kata Allah s.w.t., “…. rugilah ia akan dunia dan akhirat. Itulah kerugian yang terang nyata.” [Al-Haj: 11]

Cuba kita renungkan hidup kita. Pasti dalam hidup kita, kita ada berdepan dengan ujian, fitnah, kesukaran dan musibah. Di situasi-situasi sedemikian, bagaimanakah respon kita?

Melatahkah? Marahkah dengan Allah?

Bersabarkah? Maki hamun dan mengeji-ngejikah?

Respon kita terhadap ujian itu sedikit sebanyak boleh menjadi indikator iman kita.

Ya, memang tidak mudah ketika ujian datang menyinggah dalam hidup. Tidak ada siapa yang kata mudah. Dan memang masing-masing merasai perit ujian yang berbeza-beza.

Tetapi ingatlah, Yang memberikan ujian itu adalah Allah s.w.t. Dan kalau Dia berikan ujian kepada kita, pastinya bukan bersahaja, tetapi pastilah bersebab. Dan di antara banyak sebab itu adalah Dia ingin kita memperkuatkan iman kita agar tidak berada di hujung tanduk.

Kerana kalau iman kita di kedudukan sedemikian, kita bila-bila masa saja boleh berbalik kepada kekufuran dan kita akan kerugian bukan sahaja dunia, bahkan dunia dan akhirat.

 

Penutup : Jangan Menjadi Hamba Kepada Keinginan Diri, Jadilah Hamba Allah

Dalam ayat surah Al-Haj ini, Allah s.w.t. menyebutkan golongan yang imannya ini di batas antara Islam dan kufur kerana mereka mengambil Islam ini hanya untuk kepentingan dan keinginan diri mereka.

Iaitulah kalau keinginan mereka terpenuhi, maka mereka klaim diri beriman kepada Allah.

Tetapi kalau berlaku sebaliknya, mereka mula menyalahkan Tuhan, mengatakan Tuhan itu zalim, Tuhan itu, Tuhan ini, Islam itu, Islam ini.

Sebab itulah, kita perlu belajar meluruskan dan memperbaiki makna perhambaan kita. Jangan kita hambakan diri kepada keinginan diri kerana keinginan diri kita sentiasa tidak pernah puas.

Bila kita beriman kepada Allah s.w.t., kita harus tundukkan keinginan diri kepada keinginan Allah s.w.t. Bukan keinginan Allah s.w.t. yang kena ikut keinginan kita. Bukan Islam yang kena ikut acuan keinginan kita.

Tetapi kitalah yang perlu belajar menundukkan keinginan diri kepada keinginan Allah s.w.t.

Bila kita belajar menundukkan diri kepada Allah dengan sebenarnya, kita akan sedar bahawa tidaklah semua yang kita inginkan dalam hidup ini sentiasa dapat terpenuhi.

Tetapi kita akan sentiasa bersyukur bahawa masih memiliki Allah dalam hidup itu jauh lebih besar dari terpenuhi segala yang kita inginkan.