Ibrah Air Mengalir

Hilal Asyraf / June 2, 2017, 23:06:31 pm

Saya tidak bercakap berkenaan air yang bertakung. Perbezaan air yang mengalir dengan air yang bertakung ada banyak. Antaranya adalah pergerakan, dan kuantiti. Kuantiti air yang mengalir akan sentiasa  bertambah dari masa ke semasa, manakala air yang bertakung kadangkala bertambah, dan kadangkala berkurang.

Air yang mengalir sentiasa bergerak, manakala air bertakung statik pada satu tempat.

Saya ingin anda melihat kepada makhluk Allah bernama air yang mengalir ini.

Ada sesuatu yang saya fikir, kita manusia, perlu mengambil motivasi daripada air.

 

Positif

“Allah, dah tak ada jalan dah ni”

Itu mungkin kata-kata kita apabila kita cuba menyelesaikan satu masalah, dan kita tidak berjumpa jalan penyelesaiannya.

“Apa boleh buat, setakat ini aja la yang kita mampu”

Mungkin itu satu lagi alasan yang sering kita dengar apabila seseorang manusia, kononnya telah berusaha.

Tak ada  jalan, sudah usaha sehabis kudrat, dan sebagainya adalah alasan-alasan yang sering kedengaran semasa kita perlu melaksanakan kerja, perlu menyelesaikan masalah, perlu berhadapan dengan situasi yang memerlukan usaha.

Kita mudah mengalah apabila menyedari kita terperangkap. Kita mudah tewas apabila tersekat dengan halangan.

Tetapi saya  hendak kita melihat makhluk Allah bernama air yang mengalir.

Apa yang kita boleh ambil daripadanya?

Sikap positif.

Sebagaimana yang kita tahu, air ini sifatnya memenuhi ruang. Dia akan memasuki segala ruang yang ada, mengisi dan memenuhinya. Air tidak akan memasuki pepejal, tetapi bergerak melaluinya. Dan air yang mengalir, tidak boleh dihalang atau dihadang pergerakannya. Air yang mengalir tetap akan mengalir, mengalir dan mengalir.

Mari kita buat eksperimen.

Ambil segelas cawan, dan kemudian tuangkan air secara berterusan ke dalamnya.

Apa yang anda akan lihat?

Ya, awalnya, air itu terperangkap di dalam cawan. Tetapi, apabila dia terus mengalir dan mengalir, dia tidak kekal di bahagian bawah cawan itu sahaja. Dia perlahan-lahan naik, naik, dan naik, seterusnya  melimpah keluar dari cawan.

Nampak? Walaupun tiada jalan keluar di kiri, kanan, hadapan, dan bawahnya, air mengalir tidak berputus asa. Dia terus bergerak, mencari jalan keluar, hinggalah dia naik ke atas untuk melepaskan diri dari perangkap cawan.

Lihat lah air yang mengalir. Kalau ada jeram menghalang, dia akan keluar melalui celahan-celahan batu jeram, di celah kiri kanan batu jeram, di atas batu jeram. Air mengalir akan terus mencari jalan keluar, walau sekecil mana sekalipun.

Inilah yang manusia perlu ambil pengajaran.

Jadilah seperti air yang mengalir. Terus berusaha, berusaha dan berusaha tanpa jemu, tanpa rasa  hendak gagal.

 

Air Punya Sumbernya, Kita Juga Ada!

“Boleh la, itu air mengalir. Sentiasa mengalir. Kita manusia, ada penat juga”

Ya. Kita manusia, ada penat. Betul. Tenaga kita tidak akan sentiasa mengalir seperti air yang mengalir. Tetapi, kita boleh ‘menghadirkan’ tenaga kita itu.

Ya. Dari mana sumber tenaga kita?

Daripada Allah SWT. Dengan menjaga  hubungan kita kepada-Nya, sentiasa berhubungan dengan-Nya, maka kita akan mempunyai sumber tenaga tetap. Dari situ, kita mampu menjadi seperti air mengalir, tenaga kita sentiasa mengalir daripada Allah SWT.

Kita akan mampu menjadi tenang.

“”Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi petunjuk ke jalan agamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya, (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah Ar-Ra’d ayat 27-28.

Kita akan menjadi lapang ketika menghadapi kesusahan.

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, dan (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.Kita tidak akan rasa kesepian bila kita keseorangan.” Surah Asy-Syarh ayat 5-6.

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” Surah Al-Baqarah ayat 186.

Air yang mengalir. Kalau air yang mengalir ada sumbernya, maka sumber tenaga kita adalah Allah SWT. Dengan tenaga yang kita raih daripada Allah SWT ini, kita akan berusaha, berusaha, dan terus berusaha, mencari jalan keluar, mencari penyelesaian, untuk segala permasalahan kita. Kalau jalan keluar di hadapan, kiri, kanan dan belakang serta bawah tertutup, kita akan sanggup mendaki ke atas untuk keluar. Begitulah kesungguhan kita. Kalau atas  pun tertutup, kita sanggup pecahkan segala penghalang kita.

 

Penutup: Bina Hubungan Yang Baik Dengan Allah SWT, Bina Kekuatan Diri

Ibrah daripada air yang mengalir, pada saya kita merenungi hubungan kita dengan Allah SWT.

Air yang mengalir itu, ada sumbernya. Jika terpotong dari sumbernya, contoh, jika sumbernya pili air, pili air ditutup, maka terhentilah aliran air. Jika sumbernya dari kitaran air, dan sesuatu berlaku menganggu kitaran tersebut, rosaklah aliran air. Dan akhirnya sekali, kita juga sedar, yang menentukan aliran air ini berterusan atau tidak, pastilah semuanya tertakhluk di bawah keizinan Allah SWT. Kerana akhirnya Allah SWT lah yang menurunkan hujan dan memberikan kekuatan kepada makhluk-makhlukNya.

Dan demikianlah kita kembali kepada Allah SWT sepatutnya.

Bergantung dan berharap kepadaNya.

Menghadapi sebarang masalah dan ujian dengan rasa sangka baik, positif, kerana kita beriman kepadaNya.

InsyaAllah, kita akan mampu mengharungi kehidupan ini dengan lebih baik, dan menjadi manusia yang tidak pantas mengalah.

Muhasabah.