Hati Ini Mudah Berkarat

Afdholul Rahman Che Ani / June 3, 2017, 00:06:48 am

Hati umpama raja dalam tubuh kita. Banyak keputusan dalam hidup kita ditentukan melalui apa yang ada di hati kita. Kalau hati kita ini baik, maka keputusan-keputusan yang kita buat selalunya keputusan yang baik juga. Kalau hati kita ini busuk, maka keputusan-keputusan yang dibuat pun buruk jugalah jawabnya.

Nanti, bila pulang bertemu Allah s.w.t., tidak ada apa yang kita bawa melainkan hati sajalah. Hati yang menjadi tempat bertakhtanya kebaikan atau keburukan. Tempat bertakhtanya dosa atau pahala.

Sebab itu, hati ini perlu dijaga dengan baik. Kerana hati ini umpama logam. Barang-barang logam bila terdedah kepada udara dan air, ia akan cepat berkarat. Bila berkarat, barang itupun nampak tidak cantik dan bahaya pula bila digunakan. Maka, dalam keadaan begitu, kalau ia tidak cepat dicuci, karat itu akan semakin luas dan barang itu pula lama-kelamaan akan cepat rosak.

 

Bila Hati Mula Berkarat

Logam kalau berkarat, kita dapat lihat kesan karat itu dengan jelas di permukaan logam itu. Tetapi, hati kalau berkarat, mana mungkin dapat kita lihat kesan karat itu, bukan?

Ya. Memang karat-karat hitam di hati itu kita tidak dapat melihatnya, tetapi kesannya dapat kita perhatikan dalam kehidupan kita, dalam tindakan kita.

Apakah antara kesan karat hati itu dalam amalan kita?

Kalau hati sudah berkarat, apakah masih mampu dicuci lagi ataupun sudah tidak ada peluang lagi untuk menyucikannya?

Bagaimana hati boleh berkarat?

Maka, saya suka berkongsi beberapa tanda hati yang berkarat yang kita boleh sama-sama semak pada diri kita, ada atau tidak. Kalau ada, maka kita harus segerakan penyuciannya. Kalau tidak ada, Alhamdulillah dan teruslah istiqamah menjaganya.

Antara tanda itu adalah :

  • Kita mula malas untuk melakukan kebaikan

Hati yang sudah diselaputi karat akan susah untuk menerima aura-aura kebaikan, baik aura itu datang dalam bentuk nasihat ataupun contoh dari manusia di sekelilingnya. Dorongan syurga atau ancaman neraka tidak menjadikan hati kita ini terasa apa-apa. Kesannya, kita akan mula malas untuk melakukan kebaikan kerana kita rasa tidak begitu penting untuk melakukannya.

Kita akan mula melihat manusia lain yang tidak melakukannya dan merasa cemburu dengan mereka. Kita kata, “Oh, tu diorang tak buat pun, hidup elok je. Kita yang buat ni, tak dapat apa-apapun.” Kita yang bertungkus-lumus melakukan kebaikan, kita rasa seolah-olah tak dapat apa yang kita mahu dalam hidup. Tetapi, bila melihat manusia lain dapat apa yang mereka nak, kita mula rasa cemburu melihat kehidupan mereka dan kita rasa kalau kita tidak sibukkan diri dengan kebaikan seperti sebelum ini pun bukannya ada masalah pun.

 

  • Selalu terjerumus dalam dosa

Bila hati diselaputi karat, keinginan hati kepada perkara kebaikan semakin terhakis sebaliknya keinginan kepada kemaksiatan dan dosa semakin membuak-buak. Keinginan beginilah akan menyebabkan kita mudah terjerumus dalam dosa.

Kalau tidak segera dirawat, nanti berada di dalam dosa itupun dirasakan sebagai suatu perkara yang biasa. Paling parah bila hati kita tidak mampu lagi merasai dosa itu sebagai dosa. Ditakuti sampai satu tahap sehingga kita boleh berbangga-bangga lagi dengan dosa.

 

  • Hilang Kesungguhan dan Konsistensi

Kalau dulu dirinya adalah seorang yang cukup bersungguh dan konsisten melakukan kebaikan, tetapi bila hati mula dijangkiti penyakit, mula diresap karat-karat jahiliah, kesungguhan dan konsistensi itu sedikit demi sedikit mula terhakis.

Ia tidak hilang terus sekaligus. Tetapi ia menghakis sedikit demi sedikit. Kalau dulu seorang yang rajin pergi ke masjid, sekarang sudah tidak serajin dulu. Awal-awal memang tidak pergi ke masjid, tetapi selepas itu mula melewat-lewatkan solat. Akhirnya terjebak pula dengan maksiat dan ketika itu, meninggalkan solat tidak lagi menjadi satu kesalahan bagi dirinya.

 

  • Rendah Cita-cita

Hati yang berkarat, jauh daripada Allah sebenarnya. Bila jauh daripada Allah, maka matlamat dan visinya pun tersasar jauh. Hidupnya tidak lagi bermatlamatkan Allah, sebaliknya banyak bermatlamatkan dunia.

Alangkah rendahnya cita-cita orang yang bercita-citakan sebatas dunia saja sedangkan akhirat itu lebih tinggi?

Bagi orang yang beriman, sudah tentulah redha Allah dan syurga-Nya adalah yang tertinggi dalam kehidupan. Tidak mungkin segala kenikmatan di dunia ini dapat menandingi semua itu.

 

Perlu Dicuci Segera

Kalau logam yang sudah berkarat, perlu dicuci segera. Kalau tidak dicuci segera, nanti dibimbangi karat itu semakin membesar dan meluas kawasannya. Bila karat itu membesar nanti, lagilah susah untuk dicuci dan dibersihkan logam itu.

Kesannya, logam itu mungkin rosak ataupun fungsinya sudah tidak sebaik dulu. Dan yang pastinya karat sangat berbahaya untuk kesihatan seorang manusia.

Begitu jugalah hati. Bila karat itu sudah mula meresap ke dalam hati, ia tidak boleh dibiarkan lama-lama dan berterusan dalam keadaan begitu. Ia perlu segera dirawat.

Kalau dibiarkan, hati nanti akan mati. Hati yang mati akan hilang sensitivitinya baik terhadap kebaikan mahupun kemaksiatan. Tetapi, ramai yang tidak mengambil berat dan peduli hal ini. Kadang, bila kita terjebak dalam dosa dan kemaksiatan, kita membiarkan saja diri kita tanpa ingin cepat-cepat bertaubat dan memohon ampun atas kemaksiatan yang telah kita lakukan.

Bila kita mula melakukan kemaksiatan secara rela begitu tanpa ada rasa ingin bertaubat, itu tandanya hati kita telah mula dijangkiti karat-karat dosa.

Maka, apakah rawatan untuk membersihkan karat-karat itu? Kalau karat di logam perlu ditonyoh dan digilap dengan kuat sehingga hilang kesan-kesan karat itu, tetapi kalau hati pula bagaimana?

Hati kita pun perlu ditonyoh dan digilap juga bila sudah berkarat, tetapi hendak ditonyoh dan digilap dengan apa?

Rasul s.a.w. telah ajar kita dalam satu hadis yang mafhumnya :

“Sesungguhnya hati ini berkarat sebagaimana besi berkarat apabila terkena air.” Baginda s.a.w. ditanya, “Ya Rasulullah, apakah penggilapnya?” Rasul s.a.w. bersada : “Ingati mati dan membaca Al-Quran.” [HR Baihaqi]

Inilah rawatan yang diajar oleh Rasul s.a.w. Ingatkan kematian dan membaca Al-Quran.

Yang dimaksudkan dengan mengingati kematian bukanlah ingat bagaimana proses dikafankan, sembahyang jenazah itu. Bukan itu yang dimaksudkan. Tetapi, yang dimaksudkan adalah cuba kita bayangkan kita berada di tempat jenazah itu, kemudian kita pula ketika itu dalam keadaan berdosa, hati yang tidak tunduk taat kepada Allah, agak-agaknya apa yang akan terjadi pada kita? Ditambah pula ketika kita mati, semua orang melihat keadaan jenazah kita. Kita pula tidak dapat mengagak apakah baik keadaan jenazah kita nanti atau buruk sehingga orang mungkin harus terpaksa menutup hidung ataupun mengusung keranda yang dirasakan sangat berat kerana beban dosa yang kita bawa?

Begitulah juga membaca Al-Quran. Kalau hendak sekadar baca begitu saja, maka ia belum cukup untuk mencuci karat di hati kita. Baca dan fahamilah ayat-ayat Al-Quran itu. Kita baca seolah-olah terasa seperti Allah bercakap secara langsung dengan kita. Bila membaca ayat-ayat tentang syurga, kita terbayangkan kalaulah Allah tidak memberikan kita peluang menikmati semua itu, apa agaknya nasib kita nanti? Bila membaca ayat-ayat tentang seksa dan neraka, kita bayangkan kalaulah kita adalah salah satu golongan yang termasuk dalam ayat yang Allah ceritakan itu, bagaimana pula nanti keadaan kita?

Maka, bila kita melakukan kedua-dua ini dengan bersungguh-sungguh, pasti ia akan mampu memberi kesan kepada pembersihan hati kita.

 

Penutup : Baik Atau Buruk Puncanya Dari Hati, Maka Bersihkanlah Hati Dari Karat

Rasul s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :

“…Dalam hati kamu ada segumpal darah. Apabila baik segumpal darah itu, maka baiklah seluruh (tindakan yang lahir daripada) tubuh kamu. Apabila buruk segumpal darah itu, maka buruklah seluruh (tindakan yang lahir daripada) tubuh kamu. Ketahuilah bahawa segumpal darah itu adalah hati.” [HR Bukhari Muslim]

Hati adalah raja kepada segala keputusan yang lahir daripada diri kita. Memang kita menentukan baik buruknya suatu keputusan menggunakan akal kita, tetapi yang mempengaruhi keputusan akhir kita adalah hati kita.

Sebab itu Allah berfirman :

“Maka Allah telah mengilhamkan dengan jalan fujur dan jalan taqwa. Beruntunglah orang yang mensucikannya dan rugilah orang yang mengotorkannya.” [As-syams : 8-9]

Kerana pentingnya hati dalam kehidupan seorang manusia apalagi seorang yang beriman, maka sangat penting untuk kita menjaga dan membersihkan hati kita daripada karat-karat dosa yang menjauhkan lagi kita daripada Allah s.w.t.

Bersihkan hati kita daripada karat untuk menikmati hidup yang penuh nikmat !