Hari Baru Itu Hadiah!

Hilal Asyraf / June 2, 2017, 21:06:34 pm

Bangun tidur.

Mungkin bagi ramai, biasa sahaja. Hal ini kerana, sekiranya dia berumur 30 tahun, dia sudah bangun tidur sebanyak 365hariX30=10950 kali. Belum dikira tidur-tidur tambahan yang dilakukan seperti tidur siang, tidur balik selepas bangun pagi, tidur di dalam kelas dan macam-macam tidur lain.

Hari baru dianggap ‘biasa’. Hanya satu lagi hari.

Ini ialah perspektif yang perlu kita ubah sebenarnya.

Hendaklah kita menyedari betapa hakikatnya hari baru ialah hadiah. Dan pemberinya ialah Allah SWT. Hari baru ialah tanda kita masih dirahmati, mempunyai peluang, diberikan masa.

Hari baru hakikatnya hari yang penuh bermakna.

Tanda Allah SWT masih sudi menghalakan pandanganNya kepada kita.

 

Dengan keadaan kita sebegini, sememangnya patut kita bersyukur

Apakah keadaan kita?

Sungguh kita adalah manusia yang lemah dan tidak sempurna. Banyak kekurangan, banyak kesilapan. Baik dengan Allah SWT, ataupun dengan manusia, yang mana masalah kita dengan manusia itu pun terhasil kerana kerosakan hubungan kita dengan Allah SWT.

Saban hari kita melakukan kesalahan. Kadangkala kita tidak peduli sampai tidak terkira. Dengan Allah kita sambil lewa. Dengan manusia kita buat banyak angkara. Kantung dosa kita bertambah, tanpa kita berusaha menghapuskannya.

Itulah keadaan kita.

Dan kita tidur seakan-akan hari itu tiada salah yang kita lakukan.

Esoknya Allah mengizinkan kita melihat hari baru? Betapa kasihnya Allah SWT kepada kita.

Bukankah itu sudah cukup untuk kita sepatutnya bersyukur dengan kesyukuran yang tidak terhingga?

 

Allah tetap bangunkan kita, walaupun Dia berkuasa membalas kekufuran kita.

Berapa ramai yang mati semasa tidur?

Ramai.

Tetapi hairan bukan, Allah masih menghidupkan kita. Anda masih hidup. Saya masih hidup. Sedangkan semalam kita adalah manusia yang berdosa. Kita tidak bertaubat pun. Kita tidak peduli pun. Kita jauh daripada Allah. Kita tidak ingat Allah pun semasa hendak melelapkan mata. Kita tidak pernah rasa hendak sedih kalau-kalau esok bukan hari kita.

Tetapi Allah bangunkan kita juga. Walaupun Dia berkuasa membalas segala kebiadapan kita kepadaNya dan kepada manusia lain, dengan menghentikan hayat kita semasa tidur kita. Supaya kita tidak sempat bertaubat. Supaya kita mati dalam kekufuran dan masuk ke neraka.

Allah SWT boleh sahaja melakukan itu semua terhadap kita.

Tetapi Allah tidak lakukan demikian pada kita. Kepada saya yang menulis dan anda yang membaca.

Bagaimana agaknya kita, dengan keadaan kita hari ini, sekiranya kita mati di dalam tidur kita semalam?

Oh, anda telah berumur berapa?

30 tahun? Telah 10950 kali anda di’beri’kan peluang oleh Allah SWT.

 

Hari baru adalah hadiah

Mata kita terbuka pada hari baru, berapa ramai yang mensyukurinya. Sesungguhnya ramai yang tidak sedar bahawa semasa tidurnya, dia sedang melangkahi jambatan yang di bawah mempunyai api yang sangat marak dan dasyat. Tetapi dia berjaya melepasinya dan dia bangun pada hari yang baru.

Namun siapakah antara kita yang menggunakan hari barunya untuk memperbaiki semalamnya? Atau kita menggunakan hari baru kita untuk menambah lebih kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah dan manusia?

Hari baru adalah hadiah. Berapa ramai antara kita yang menghargainya? Berapa ramai antara kita menggunakan hari barunya dengan sebenar-benarnya?

Atau kita menganggap, ia hanyalah kitaran biasa?

Bangun tidur, hidup, tidur semula, nanti esok bangun balik.

Adakah begitu?

Sehingga kita menjadi ‘buta’ dengan pembukaan peluang yang Allah berikan kepada kita.

Hari baru adalah hadiah. Ia adalah tanda rahmah. Dan ia tanda bahawa masih terbuka untuk kita pintu maghfirah. Tanda peluang masih diberikan kepada kita oleh Allah. Dengan hari baru, dosa-dosa semalam boleh kita tebus, kekurangan-kekurangan semalam boleh kita tambahkan, silap dan salah semalam masih boleh kita minta ampun, hutang semalam masih boleh kita bayar.

Tetapi siapakah yang menghargai hari baru?

Bagaimanakah layanan kita dengan ‘hadiah’ Allah ini?

 

Penutup: Siapa yang buang hadiah, dia kurang ajar.

Adakah anda suka dengan orang yang mem’buang’ hadiah yang anda berikan?

Saya tidak pasti jika anda suka. Tetapi saya tidak suka. Saya namakan orang sebegitu kurang ajar.

Bagaimana pula dengan orang yang mem’buang’ hadiah yang Allah berikan?

Allah berikannya hari baru untuk menebus hari semalam, tetapi dia menggunakannya ke arah kemungkaran dan keingkaran. Menambah dosanya. Terus membuat onar di atas dunia. Allah SWT memberikannya hari baru, perkara pertama yang dia lakukan ialah meninggalkan solat Subuh, contohnya?

Bagaimana? Apa pandangan anda?

Tidakkah kita malu dengan diri kita?

Jadi hari ini bagaimana?

Dan apa pula perancangan untuk esok sekiranya esok masih menjadi ‘hadiah’ kepada kita?

Seorang mukmin yang baik, adalah yang menghargai apa yang Allah berikan kepadanya.

Maka di manakah kita?