Guru Kecil

Muhamad Shakir Abdul Sahood / June 29, 2018, 16:06:27 pm

“Ustaz, dia buat saya.” Teriak Hadif sambil berlari mendapatkan aku yang sedang menuju ke kelas. Tanganku ditarik agar mempercepatkan langkahan kaki.

“Ustaz, dia buat saya.” Dialog yang sama dilontarkan seusai masuk ke kelas dengan jarinya menuding ke arah rakannya, Airil.

“Dia buat apa?” Aku mula melakukan siasatan bak seorang pegawai polis. “Dia tumbuk saya.” Hadif mengadu dirinya ditumbuk oleh Airil. Sebagai seorang guru, aku tidak suka anak muridku berkasar sesama mereka. Jika benar Airil bersalah, pengajaran harus diberikan.

Untuk berlaku adil dan tidak terus menghukum, Airil aku soal sekali lagi tapi kali ini dengan nada yang lebih tegas. “Betulkah kamu pukul Hadif?”

“Betul ustaz, saya tak buat.” Airil menafikan dakwaan ke atas dirinya. Lalu 2 orang murid datang memberi kesaksian. “Kami nampak Airil pukul Hadif, ustaz.”

Berbohong. Satu sikap yang aku tidak mahu mendarah-daging dalam jiwa anak-anak berusia 7 tahun ini. Biar mereka diajar bercakap jujur mengaku kesalahan diri. Khuatir akan terjadi seperti kata orang tua dahulu; siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.

Soalan yang sama aku lontarkan lagi untuk kepastian, “betulkah kamu tak buat? Tetapi kenapa 2 orang kawan kamu kata mereka nampak kamu buat?”.

Dengan muka ‘sekupang’ bak kata orang utara, dia menjawab; “tapi saya tak nampak pun saya buat.” Tepuk dahi aku dibuatnya. “Hebat budak ini pusing ayat untuk tidak mengaku salah.”

Telinga aku sudah kepanasan, menahan marah. Pantang aku dengan orang yang suka berbohong. “Airil! Jangan tipu ustaz.” Bentak aku dengan nada suara yang keras dan tinggi. Bungkam kelas seketika, yang sebelum ini riuh-rendah. Airil juga tersentak dengan teriakanku. Dia menundukkan wajah, daripada riak wajahnya terpancar rasa ketakutan.

Aku tersedar yang aku baru melakukan kesilapan. Sebagai guru harus bijak mengawal emosi. Barulah anak murid mampu berkomunikasi.

“Airil, ustaz tak suka orang berbohong.” Nada suaraku ditukar, agar lebih lembut. Aku tunduk separas dengan ketinggian Airil agar dia lebih selesa untuk berbicara. Kedua-dua tangannya aku usap lembut. Biar dia rasa aman dan tidak terancam.

“Ustaz tak akan marah kalau Airil bercakap jujur.” Aku cuba memujuk. Dengan mata yang bergenang air mata dan suara sedikit tersekat-sekat, dia mengaku akan kesalahan yang dilakukan. “Saya minta maaf ustaz, saya janji tak akan buat lagi.”

“Jangan minta maaf dengan ustaz, pergi minta maaf dengan kawan kamu,” arah aku kepada Airil.  Airil dan Hadif bersalaman sebagai tanda permaafan.

“Selasai sudah satu kes.” Desis hatiku sambil menghembuskan nafas lelah. 5 minit pada awal waktu pembelajaran berlalu begitu sahaja. “Lepas ini pasti akan ada drama yang lain.”

“Para pelajar, sila duduk tempat masing-masing. Buka buku latihan subjek Jawi, muka surat 15.” Suaraku bergema memberi arahan.

***

“Ustaz, soalan ini nak buat macam mana?” Soal Farhan.

“Ustaz, saya tak faham soalan ini.” Damia pula bersuara.

“Ustaz, susahlah soalan ini.” Adam mula merungut.

Nafas lelah kembali dihembus. Baru dapat bertenang daripada drama tadi, kini drama baru mula memunculkan diri.

“Ustaz sudah terangkan sebentar tadi, kenapa masih tidak faham?”

“Kamu bertiga buat apa masa ustaz beri penerangan tadi? Kenapa tidak dengar dengan baik?”

“Kawan-kawan lain boleh buat, kenapa kamu tidak boleh buat?”

Bebelan semakin panjang dek keletihan melayan kerenah anak murid. Sudah dijelaskan tentang cara untuk buat latihan tersebut berkali-kali tetapi masih tidak faham.

Mereka bertiga mendiamkan diri. Mata kembali menatap buku latihan tetapi aku yakin fikiran mereka melayang ke tempat lain kerana minda tidak mampu untuk hadam soalan-soalan tersebut.

Meskipun soalan hanya tentang sambungkan huruf-huruf menjadi perkataan, tetap susah untuk anak yang berusia 7 tahun untuk menyelesaikannya. Pada kaca mata seorang dewasa, soalan seperti itu tutup mata pun boleh jawab. Namun, perlu difahami akan perbezaan tahap pemikiran dan kefahaman antara kanak-kanak dan orang dewasa.

Rasa bersalah menyelubungi diri. Sepatutnya sebagai guru aku perlu faham tahap dan kemampuan setiap anak muridku berbeza-beza. Ada yang mampu faham pelajaran dengan cepat, ada yang lambat. Semua itu aku perlu raikan dengan kasih-sayang dan kesabaran.

Aku bergerak menuju ke arah Farhan, sebelum ke tempat Damia dan Adam. Ketiga-tiga anak murid itu aku perjelaskan kembali cara untuk menyelesaikan soalan-soalan itu. setelah diterangkan satu persatu barulah mereka faham dan mampu buat menyiapkan soalan itu.

“Siapa yang sudah siapkan kerja, sila hantar buku ke meja ustaz dan kamu boleh main.” Aku memberi arahan semasa mereka sedang asyik menulis.

“Wah, boleh main.” Semua bersorak kegembiraan apabila mendengar perkataan ‘main’. “Tetapi jangan bising. Siapa bising ustaz tambah soalan lagi.” Aku menyambung memberi peringatan.

“Baik ustaz.” Semua kembali tekun menyiapkan soalan dengan segera supaya dapat bermain. Aku tersenyum melihat telatah mereka.

Kanak-kanak jiwa mereka berkehendak kepada bermain. Jiwa mereka lelah jika ditekan dengan belajar sahaja. Kedua-dua aspek ini perlu diseimbangkan dengan baik, supaya mereka membesar dengan hebat.

Loceng sudah berbunyi menandakan waktu pembelajaran telah tamat. Anak-anak murid diarahkan beratur di hadapan kelas sebelum keluar pulang ke rumah.

Aku berdiri di hadapan barisan mereka, lalu memberi arahan supaya ucapan terima kasih diucapkan.

“Terima kasih ustaz.”

“Maafkan kami, ustaz.”

“Redakan kami, ustaz.”

Entah kenapa setiap kali mereka melafazkan bait-bait ini, hatiku tersentuh. Terasa kata-kata ini dilafazkan dengan penuh keikhlasan dari jiwa anak-anak yang suci. Segala rasa marah, geram dan letih hilang apabila mendengar ucapan ini.

Aku sering membalas ucapan tetapi hanya bergema di dalam hati,

“terima kasih anak-anak.”

“Maafkan ustaz, anak-anak.”

“Redakan ustaz, anak-anak.”

Aku akui bahawa aku bukan guru yang sempurna. Banyak perkara lagi yang perlu dipelajari. Ada kala sering memarahi mereka. Ada kala tidak berlaku adil dalam melayani mereka. aku berharap mereka memaafkan dan meredai diriku ini.

Sebelum pulang ke rumah, mereka bersalaman dengan aku.  Aku suka menyentuh tangan-tangan kecil ini. Tangan kepada insan kecil yang banyak mengajar aku supaya menjadi guru yang lebih baik.

Jika aku mengajar mereka secara langsung dan tersurat, mereka pula mengajar aku secara tidak langsung dan tersirat.

Jika aku mengajar mereka untuk mengenal huruf, mereka pula mengajar aku untuk mengenal sikap mereka.

Jika aku mengajar mereka untuk membaca al-Quran, mereka pula mengajar aku untuk membaca emosi hati mereka.

Jika aku mengajar mereka untuk tunduk rukuk dan sujud, mereka pula mengajar aku untuk tundukkan rasa geram amarah.

Jika aku mengajar mereka untuk memahami sunah Rasulullah, mereka pula mengajar aku untuk memahami fitrah kanak-kanak.

Terima kasih atas tunjuk ajar.

Terima kasih guru kecil.