Esok Masih Ada

Miefa Mohar / January 18, 2018, 10:01:39 am

Kopi dihirup. Ibu jari masih leka scroll telefon pintar miliknya dan mata masih fokus tertancap di skrin 5 inci itu. Dia asyik dalam pembacaannya sehinggakan tidak terganggu sedikitpun dengan keriuhan di warung itu.

“Oi Mad, apa yang sibuk sangat tengok telefon tu? Meh lah sini sembang sembang, bercampur orang…” Seorang lelaki berusia 50-an menegur Mad, lelaki tua yang ralit dengan telefon bimbitnya. Mad mengangkat kepala. Senyum. Berlipat lipat kulit tua nya apabila tersenyum.

“Takpa, korang borak jelah dulu. Kejap lagi aku join.”

“Aik… Orang lain pun ada telefon juga. Tapi takdalah taksub sangat macam kau ni. Dah macam budak-budak baru dapat mainan.” sekali lagi lelaki yang bernama Musa itu menegur Mad. Kali ini Mad hanya membiarkan sahaja dan meletakkan fokusnya terhadap pembacaannya.

“Tak faham betullah aku Mad ni. Orang tua perangai tak macam orang tua. Apa benda tah yang sibuk sangat kat telefon tu. Tak campur orang dah. Datang warung tapi main telefon baik duduk rumah je. Betul tak?” Musa meminta sokongan daripada ahli mejanya yang mengangguk angguk setuju.

“Biarlah ke dia, Musa oiiii. Nanti ada masalah baru tau nak cari masyarakat.” Jusoh menghirup teh tariknya yang semakin dingin.

“Eh korang ni. Bercakap macam dia tu takda kat sini pula.” Adris menjeling Mad yang kelihatan masih leka dan langsung tidak mempedulikan keadaan sekeliling.

“Alah, bukan dia dengar pun. Kalau dia dengar sekalipun, baguslah. Cakap cakap ni kalau orang tu tak dengar, jadi mengumpat. Kalau dengar, jadi mengutuk. Kurang sikit dosa hahahaha.” Pecah ketawa satu meja yang dihuni oleh Musa, Adris, Jusoh dan Malim yang hanya mendengar dan ketawa bila perlu.

“Dalil mana korang dapat tu?” Tiba-tiba Mad mencelah sementara kepalanya masih lagi tertunduk. Terdiam satu meja yang tadinya riuh ketawa itu.

“Eh laaa dengar ke? Ingatkan fokus sangat kat telefon tu dah takda roh dah kat sini.. Tinggal jasad je hahahaha.” Sekali lagi kata-kata Musa menjadi punca ketawa di meja 21 itu. Mad, tanpa membalas apa apa, lantas berdiri dan meninggalkan kedai tersebut setelah meletakkan bayaran air kopinya di atas meja. ‘Esok masih ada. Aku datang lagi.’

***

Keesokan harinya, hari yang baru. Mad tiba di warung Pak Senin seawal jam 8.30 pagi. Setelah memesan air kopi dan roti banjir, beliau mengeluarkan telefon pintarnya dan mula menyambung talian wifi yang disediakan di warung itu. Tidak lama kemudian, muncul Musa, Adris dan Jusoh memenuhi meja 21 seperti biasa. Terjuih juih mulut mereka melihat Mad yang masih khayal dalam pelayaran internetnya.

“Aik Musa, senyap pula harini? Tak nak tegur aku ke?” Mad mengangkat kepala dan tersenyum kepada sekumpulan lelaki yang seusia dengannya sebelum menyambung pembacaannya.

“Malas aku. Eh Senin, mana suratkhabar harini?”

“Ada tu haa kat atas kaunter. Ambillah sendiri. Takkan nak berhantar juga. Macam tak biasa.”

“Kau ni, aku tanya sikit je. Menyindir pula.” Musa mengambil akhbar Sinaran Kota dan membuka lembaran demi lembaran. Terhenti di satu laman, Musa bersuara kuat.

“Apa ke bodohnya undang-undang kita ni? Hish… Tak faham betullah aku! Yang salah dibela, yang menjadi mangsa pula yang kena hukum. Mana keadilan?? Korupsi betul..” Adris dan Jusoh yang sedang leka bermain dam terhenti.

“Apa benda yang kau membebel ni, Musa? Kenapa?” Jusoh bertanya.

“Takdalah.. Korang tau tak ada rumah kena rompak, lepas tu, mangsa tu bunuh si perompak tu. Tapi si mangsa juga yang kena tahan dengan polis. Tak faham aku. Dia kan nak pertahankan diri?”

“Yeke? Tu lah.. Aku dah kata. Malaysia ni memang dah tak lama dah. Dari kerajaan, sampai ke kehakiman semua tak boleh pakai! Terang-terang orang tu kena rompak kot. Dahlah kena rompak, lepas tu kena tahan pula. Ish, stres aku!” berapi api kemarahan Jusoh terhadap sistem kehakiman Malaysia. Mad yang tumpang mendengar bangkit dan menghampiri meja 21.

“Assalamualaikum. Aku nak duduk sekali boleh?” serentak ketiga tiga pasang mata memandang Mad.

“Waalaikumussalam. Haaa boleh boleh. Duduklah. Bukan senang Mad nak join kita ni.” Adris mempersilakan Mad dengan ramah. Mad tersenyum lantas duduk.

“Maaflah aku tumpang dengar apa korang borakkan tadi. Menarik topiknya, sebab tu aku rasa nak tumpang menyibuk sekali. Hehehe.” Musa menjeling Mad sambil meneruskan pembacaannya. Beberapa saat selepas itu, dia melipat dua suratkhabar itu dan meletakkannya diatas meja.

“Hah, memandangkan kau yang tak pernah-pernah campur masyarakat sejak dapat telefon baru ni, aku nak tau lah juga pendapat kau. Kau baca ke tidak suratkhabar ni? Tahu ke perkembangan negara ni semua? Kau dengar dah kan apa aku cakap tadi? Kau setuju tak yang sistem kat Malaysia ni semua hancur. Dari kerajaan memimpin sampailah ke kehakiman.” Mad menarik nafas panjang dan kelihatan berfikir seketika sebelum meneruskan kata kata.

 

“Okey, memandangkan kau dah tanya pendapat aku, biar aku kongsikan. Kalau kau nak tau, undang-undang Malaysia ni dah hampir sempurna dah dari segi hukuman jenayahnya. Seksyen 103 Kanun Keseksaan ada kata untuk kesalahan merompak, pecah masuk rumah, mencuri haa semua tu kalau terjadi, kau boleh bunuh pesalah tu. Tapi seksyen 105 ada sedikit batasan lah. Antara perkara yang kita kena tengok adalah kita tak boleh sampai tahap membunuh perompak tu kalau dia dah berhenti menimbulkan ancaman terhadap nyawa kita atau ketakutan akan kematian serta merta atau cedera serta merta. Kalau dia buat juga, dia tak boleh guna seksyen 103 ni untuk pertahankan diri dia. Contohnya dalam kes rompakan yang kau baca tu. Aku dah baca dah kes tu. Perompak tu tak sempat nak buat apa pun. Dia sempat masuk rumah, ambil beberapa barang, dah nak keluar dari rumah tu tanpa mengapa apakan si tertuduh pun. Kejutkan pun tidak. Tapi si tertuduh tu terus tembak dengan senapang patah dia. Takda sebarang ugutan atau ancaman terhadap nyawa tapi tertuduh terus bunuh. Jadi sebab tu lah si tertuduh tu kena tahan.” Warung yang tadinya agak riuh kini sunyi sepi. Ada yang melopong mendengar penjelasan Mad yang jarang bersuara. Melihatkan suasana yang memberi perhatian penuh padanya, Mad menyambung lagi.

“Jadi kita tak boleh senang-senang nak kata sistem kehakiman kita ni tak adil lah, peguam tak hebat lah, hakim mabuk lah. Belajar dulu undang-undang kita ni. Baru boleh faham kenapa hakim tu buat keputusan macam tu. Jangan mudah sangat nak buat kesimpulan sendiri. Ada sebabnya kenapa hanya hakim yang boleh memutuskan seseorang tu bersalah atau tidak. Sebab dia ada ilmu tentang ni. Kita tak. Jangan hanya tahu nak bergosip, mengumpat orang sana sini. Baca juga benda benda berfaedah.”

Wajah Musa tak puas hati. Dia cuba menyembunyikan kekagumannya dengan kerutan.

“Eleh, jangan jangan kau memandai-mandai je! Mana kau tahu semua ni?” suara Musa kuat sekali menghangatkan suasana.

“Dengan membaca.”

“Aku pun baca juga suratkhabar. Tak pernah dengar pun pasal ni. Kau nak kelentong kami kan?” Musa masih tidak berpuas hati. Dengusannya semakin kuat.

“Aku baca dari internet. Aku baca berita dari internet. Jadi aku dah tahu dulu semua berita dan sebelum aku bercakap apa-apa, aku akan buat carian sendiri dulu. Baru aku boleh bercakap tentang perkara tu. Kalau aku takda input yang berguna, lebih baik aku diam. Sebab tu aku sibuk dengan telefon aku. Aku sibuk membaca perkara-perkara yang korang tak baca. Lagipun, aku malas nak mengumpat orang.”

“Alah Mad… Kita ni dah tua lah. Sibuk nak main telefon, main internet macam orang muda tu kenapa? Lebih baik kau mengaji.” Tiba tiba Jusoh memutar belit topik.

“Selagi kita ni belum mati, Soh, kita kena cari ilmu. Memanglah ilmu ni secara dasarnya tak nampak berguna untuk orang yang macam kita ni. Rumah dah kata pergi, kubur dah panggil mari. Tapi pencarian ilmu ni jangan pernah berhenti. Tuntutan dalam Islam antara yang utama adalah untuk menuntut ilmu. Bukannya kena pergi sekolah dan universiti je baru dikatakan menimba ilmu. Kalau kau duduk duduk, sambil sembang perkara yang baik dan berkongsi pengetahuan yang ada pun kira menuntut ilmu juga. Rajin rajinlah bergaul dengan buku dan bahan bacaan selain suratkhabar. Suratkhabar ni melaporkan keadaan semasa je. Tak cukup pemahaman kita tentang ilmu tu. Kena buat bacaan sendiri barulah kita faham. Betul tak, Deris?” Mad bertanya kepada Adris yang diam dan kelihatan berfikir. Tak lama kemudian, dia mengangguk angguk setuju.

“Lagipun, kalau nak kata lebih baik aku mengaji, korang ni mengaji ke? Sekurang kurangnya aku takdalah 24 jam kat sini. Tapi yelah, mungkin korang tadarus kat sini ke kan. Aku tak tahu. Eh dahlah, aku nak balik dulu. Hari pun dah makin tinggi ni. Assalamualaikum.”

***

“Eh harini ayah tak pergi warung ke?” Nani bertanya kepada Mad yang duduk leka sambil membaca buku Peribadi karya Hamka.

“Tak.. Malaslah. Nak rehat-rehat je kat rumah.”

“Eh, apa jadi dengan azam ayah haritu nak educate pakcik pakcik tu? Putus asa dah?”

“Hmm.”

“Ayah, ayah juga yang selalu ajar Nani kan supaya jangan putus asa dalam mengajak orang kepada kebaikan ni. Ayah kata nak tengok pakcik pakcik tu semua bersembang perkara yang baik baik kan. Ni kalau ayah duduk rumah je, putus asa, siapa nak tolong diaorang semua?”

“Kamu ni membebel macam mak kamu. Iya, nanti petang sikit lepas Asar ayah pergilah. Sekarang ayah nak rehat je dulu kat rumah.” Nani tersenyum dan masuk ke biliknya meninggalkan Mad sendiri di ruangtamu.

“Assalamualaikum, Mad oooo Mad!” seorang lelaki melaung laung di halaman rumah. Mad berkerut. Jarang orang bertandang ke rumahnya.

“Waalaikumussalam. Oh Deris. Hah kenapa ni? Tak pernah-pernah datang rumah aku.”

“Aku nak belajar dengan kau. Sejak dengar kau cerita pasal undang-undang haritu, aku kagumlah. Banyak juga kau tahu ek? Ingatkan kau sibuk dengan telefon tu kau buat apa lah.”

“Hah nak belajar dengan aku? Aku takdalah tahu banyak mana pun.. Baca sikit sikit tu bolehlah. Bekal ilmu. Mana boleh kongsi, aku kongsi. Ni kau tak lepak warung pula?”

“Malaslah aku. Kau ajar aku macam mana nak guna benda ni boleh?” Adris menghulurkan telefon pintar miliknya. Kelihatan baru, pasti jarang sekali digunakan.

“Boleh boleh.” Mad menunjukkan cara-cara melayari internet dan segala asas yang perlu diketahui. Dalam hati, Mad puas. Hari ini mungkin seorang. Esok lusa, mungkin lebih ramai lagi yang sedar kepentingan ilmu baru. Mad kembali bersemangat untuk menyebarkan kesedaran untuk terus menimba ilmu lagi lagi di kalangan warga emas yang kebiasaannya hanya membuang masa di kedai kopi.

 

‘Esok masih ada. Aku datang lagi.’