Erti Hidup Pada Memberi di Program Khatan Perdana Pulau Larapan

Hilal Asyraf / December 5, 2017, 11:12:41 am

LAPORAN DITULIS OLEH DR AZRUL, KETUA TIM LANGIT ILAHI KOMUNITI

Bertarikh 23 hingga 27 November 2017, gabungan badan- badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan- kumpulan korporat dan persendirian yang terdiri daripada Ehsan Care, MERCY Kulinari, Pertubuhan Wanita Prihatin, Komuniti Masjid Seksyen 7, Yayasan Kasih Tauhid, Shah Alam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) telah menjemput Tim Langitilahi Komuniti bagi menjayakan penganjuran program kemasyarakatan di Pulau Larapan, Semporna. Ini merupakan koleksi ke dua Tim Langitilahi Komuniti turun kepada masyarakat selepas siri pertama pada Misi Lojing, Gua Musang, Kelantan pada penggal pertama tahun ini. Fokus Langitilahi Komuniti kali ini adalah untuk memberikan khidmat kesihatan kepada masyarakat selain mengumpulkan komuniti- komuniti berlatarbelakang perubatan yang mengikuti laman sesawang Langitilahi.com. Justeru, pelbagai persiapan yang sewajarnya telah di susun, rancang bagi dan menjayakan program ini.

Secara dasarnya, program ini dirancang penganjurannya bagi mencapai beberapa objektif berikut,

  1. Menyantuni masyarakat di Pulau Larapan
  2. Menkhatankan remaja dan kanak- kanak lelaki Kampung Larapan
  3. Menyampaikan dakwah yang mudah difahami bagi menggalakkan masyarakat di sini mempraktikkan Islam dengan lebih baik
  4. Mendekati dan memberi motivasi kepada golongan belia dan pelajar untuk meneruskan pendidikan sekurang- kurangnya ke peringkat menengah

23 November 2017, Khamis

Sukarelawan- sukarelawan daripada badan- badan NGO dan kumpulan- kumpulan yang terbabit mula bergerak  daripada Lapangan terbang KL ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau. Terima kasih diucapkan kepada syarikat Preston Shipyard Sdn. Bhd. yang menaja penerbangan Tim Langitilahi Komuniti ke Sabah. Sumbangan besar ini benar- benar bermakna bagi kami untuk berbakti ke sana. Kira- kira dalam pukul 6 petang, semua sukarelawan daripada semenanjung selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau.

Perjalanan Tim Khatan Perdana Pulau Larapan daripada Tawau ke Semporna yang menaiki 2 buah Toyota Hilux telah di taja oleh En Tahan, pengusaha syarikat nelayan Sri Timbulus di Lahad Datu, Sabah. Setelah sejam perjalanan, kira- kira pukul 7 petang, tim sukarelawan selamat tiba di pekan Semporna dan menikmati makan malam bertemakan makanan laut yang lazat sambil menikmati bayu laut malam yang nyaman. Pada masa yang sama, kumpulan sukarelawan daripada Tim Langitilahi Komuniti yang berada di Sabah selamat tiba di Semporna.

Usai makan malam, kami mengadakan sedikit taklimat mengenai perjalan program esok hari selain sesi suai kenal sesama sukarelawan- sukarelawan baru terutamanya daripada Sabah. Pada pukul 10 malam, semua sukarelawan bergerak untuk bermalam di Mydin Inn, penginapan berkonsepkan rumah atas air yang turut memberikan keterujaan pada sukarelawan yang menyertai program kali ini. malam itu kami tidur lena.

24 November 2017, Jumaat

Pagi itu kami bangun awal. Sesudah subuh, kami menikmati keindahan matahari terbit di pesisir pantai Semporna sambil melayan hiruk pikuk nelayan yang mula turun awal ke laut. Desiran angin pagi sepoi- sepoi meniup wajah, sangat mendamaikan.

Sarapan pagi kami sangat unik, mee goreng kicap yang menyelerakan, kuih tradisi masyarakat Semporna yang berasaskan jagung, bamban dan roti sandwich telur dan ayam blackpepper yang sangat lazat yang di sediakan oleh Chef Nurul, wakil daripada MERCY Kulinari yang berpangkalan di Sabah. Kira- kira pukul 10 pagi, kami mula bertolak ke Kampung Larapan Hujung, Pulau Larapan dengan menaiki bot penumpang milik dan dipandu sendiri oleh penghulu kampung. Setibanya di Pulau Larapan, semua sukarelawan lelaki mempersiapkan diri untuk solat Jumaat di Surau Kampung Larapan Hujung manakala sukarelawan wanita membantu Chef Nurul dan Rina, wakil tuan rumah pada program ini bagi mempersiapkan makan tengahari.

Masakan tengahari itu kami dihidangkan dengan masakan tradisi kaum Bajau yang sangat menyelerakan; sotong masak kicap, ikan putih (ebek) masak lemak cili api, rendang ikan pari, kerabu rumpai laut, kahangar (sejenis siput laut) masak kicap dan kerabu manga. Lebih mengasyikkan, kami makan beramai- ramai di pelantar belakang rumah penghulu bersama- sama keluarganya, berselang seli dengan bisikan damai ombak laut Larapan.

Pada petangnya, aktiviti kemasyarakatan bermula dengan lawatan ke rumah- rumah pesakit- pesakit yang melarat dan tenat diketuai oleh Dr Attaful Arshad daripada Tim Langitilahi Komuniti. Pada masa yang sama, sukarelawan wanita bersama- sama Ustaz Jadmin daripada JHEAINS melakukan ziarah rumah ke rumah bagi mendekati kehidupan masyarakat setempat selain menjemput para suri rumah dan kanak- kanak untuk menyertai program wanita dan kanak- kanak pada esok hari.

Tatkala senja merangkak pergi dan usai solat maghrib berjamaah, Ustaz Jadmin mengambil kesempatan memberikan kuliah maghrib yang berkisar tentang amalan- amalan khurafat yang melingkari kehidupan masyarakat Sabah khasnya. Amalan- amalan khurafat yang masih melingkari segelintir masyarakat Sabah benar- benar membuka mata kami tentang besarnya tanggungjawab dakwah dan tarbiyah yang perlu di jalankan di kebanyakan kawasan di Sabah amnya.

Malamnya, persiapan tempat dan logistik bagi acara berkhatan di lakukan, di bantu oleh sukarelawan- sukarelawan pelajar perubatan daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS). Bagi mengakhiri malam Jumaat tersebut, sesi ‘post mortem’ dan taklimat gerak kerja pada esok hari di lakukan yang di kelola oleh pengarah program, En Hisham Misripin

25 November 2017, Sabtu

Hari sebenar bermula. Seawal 7 pagi, anak- anak yang menjadi peserta khatan perdana telah dipersiapkan dengan persalinan baju melayu yang berwarna- warni sambil berpelikat. Anak- anak tersebut di bawa berkumpul ke balai raya yang menjadi lokasi acara berkhatan dilaksanakan. Setelah selesai segala urusan pendaftaran, kira- kira 36 orang peserta khatan berumur daripada 6 hingga 17 tahun di kumpulkan dan berarak ke hujung jeti bagi acara mandi beramai- ramai.

Pelbagai karenah anak- anak yang membesar di persekitaran Laut China Selatan yang luas itu hinggakan ada anak- anak yang berenang jauh ke tengah laut. Usai acara mandi beramai- ramai, peserta khatan di bersihkan dan dihadiahkan sehelai kain pelikat kepada setiap peserta. Taklimat khatan di sampaikan oleh Dr Azrul Yunus selaku ketua Tim Perubatan dan Ketua Tim Langitilahi Kominiti dan disusuli dengan bacaan doa oleh Ustaz Jadmin. Sepanjang acara khatan berlansung, pelbagai karenah peserta dapat disaksikan termasuklah lebih 6 orang peserta yang senyap- senyap melarikan diri tidak mahu dikhatankan. Secara keseluruhannya, prosedur khatan berlansung dengan sangat baik tanpa ada komplikasi yang serius selain perjalanan aktiviti khatan berjalan dengan lancar yang turut di bantu oleh sukarelawan daripada pelajar perubatan UMS.

Pada masa yang sama, sukarelawan wanita yang diketuai oleh Puan Shahrul, daripada Wanita Prihatin sibuk mengendalikan program kesedaran solat kepada komuniti wanita dan Cik Hafidzah daripada PPAS mengelolakan agihan buku sumbangan daripada Perpustakaan Selangor dan set permainan kanak- kanak kepada anak- anak Pulau Larapan.

Pada lokasi yang lain, Chef Nurul dibantu oleh En Hisham, Pengarah Program  dan komuniti wanita setempat bertungkus lumus didapur bagi menyiapkan menu jamuan rakyat; nasi putih, ayam goring berempah dan sayur kobis goreng untuk di hidangkan kepada 2000 orang penduduk Pulau Larapan. Makanan tersebut di agihkan kepada seluruh penduduk kampung di balai raya secara hidangan bergilir- gilir.

Setelah seharian hari yang memenatkan, acara penyampaian sijil kepada sukarelawan di berikan bertempat di salah sebuah jeti panjang di Pulau Larapan. Momento yang indah ini dilengkapkan dengan sesi bergambar beramai- ramai dengan berlatar belakangkan permandangan laut yang luas nan indah.

Kira- kira pukul 1630H, Dr Azrul Yunus dan Amri daripada UMS mengambil kesempatan menyertai permainan bola tampar menggunakan sistem dan format Kg Larapan; bermain 3 sebelah, kiraan mata 15, 2 kali menyelamatkan bola menggunakan kaki di kira batal dan garisan gelanggang yang sangat mengelirukan. Walau apapun kami sangat menikmati permainan petang itu lebih- lebih lagi pasukan gabungan Dr Azrul Yunus bersama dua pasangan adik beradik Kg Larapan mengungguli permainan petang itu tanpa kalah.

Malamnya, sesi ‘post mortem’ dan taklimat gerak kerja esok hari dilaksanakan dalam keadaan majoriti sukarelawan keletihan tetapi terpancar kepuasan pada wajah masing- masing. Untungnya, taklimat dilaksanakan ringkas dan sangat bermakna bagi sukarelawan yang memang menunggu masa untuk tidur dengan awal.

26 November 2017, Ahad

Hari ini adalah hari yang sangat di nantikan setelah bekerja keras pada hari- hari sebelumya. Kami di bawa oleh Penghulu Pulau Larapan dan di temani anaknya, En Razman seorang pengusaha khidmat ‘Island Hopping’, scuba diving dan snorkeling untuk merehatkan minda dan letih tubuh di gugusan Pulau Tiga (Adal). Maha Suci Allah yang menciptakan segala keindahan alam semesta; kami memang sangat teruja dan terpesona dengan keindahan karang dan hidupan marin yang berwarna warni dan sangat bervariasi.

Daripada pulau ke pulau kami menjelajah hingga tidak sedar lebih 5 jam kami bersnorkeling. Peluang yang ada tidak dipersia- siakan dengan bersama- sama melaksanakan solat Zohor berjamaah dipesisir pantai beratapkan langit Semporna yang indah. Damai. Damai ini tidak terbayar dan tidak terungkap dengan kata- kata. Dalam penat kerja bermasyarakat dan keseronokan beraktiviti luar ianya tidak menyebabkan kami lalai untuk menjadi hambaNya yang bersyukur.

Malamnya, kami dihidangkan dengan hidangan makan malam terakhir yang sangat mengujakan. Kari ikan putih (ebek), sambal landak laut, sotong masak kicap, ketam masak mentega dan sayur kobis goreng. Kelazatannya hingga menyebabkan kami menambah berkali- kali. Malam itu, kami tidur kekenyangan.

27 November 2017, Isnin

Hari akhir, hari perpisahan setelah berhari- harian bertemu berprogram bersama. Pagi itu damai tapi suram kerana hari ini merupakan hari terakhir kami bersama sebelum semuanya pulang ke destinasi masing- masing. Masing- masing sibuk berkemas dan memunggah barang- barang program ke dalam bot penumpang milik Penghulu Kg Larapan untuk bertolak pulang ke Jeti Lepa- lepa.

Sebelum berangkat, semua sukarelawan sempat mengakhiri momento indah beraktiviti di Kampung Larapan dengan mengambil gambar beramai- ramai bersama keluarga Penghulu yang menjadi tuan rumah dan pendukung kejayaan berlansungnya Program Khatan Perdana Pulau Larapan ini. tanpa sokongan penuh pihak tuan rumah sudah tentu program ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sejurus tiba di Jeti Lepa- lepa, kami mengambil kesempatan membeli belah cenderamata dan buah tangan untuk dibawa pulang kepada keluarga di Semenanjung Malaysia. Hiasan bertatahkan mutiara, magnet hiasan dan baju berlatar belakangkan Semporna dan kawasan sekitar menjadi pilihan kami. Tidak kurang juga terdapat sukarelawan membeli rumpai laut kering dan kopi Semporna yang eksotik untuk di bawa pulang.

Bagi menutup hari- hari indah di Semporna, kami menutup misi ini dengan menikmati hidangan lazat sup ‘payau’ (rusa) bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau. Hidangan yang lazat ini benar- benar melengkapkan misi kami ini sepanjang di Semporna- Pulau Larapan, Sabah.

Secara amnya, banyak pengalaman, pengajaran dan peluang baru di peroleh sepanjang keberadaan kami di Sabah. Kami mengenal sosiekonomi- budaya masyarakat Bajau Laut yang punyai kelainan dengan masyarakat melayu, potensi dakwah yang banyak dan perlu dilaksanakan secara konsisten, belajar mengenali skil dan teknik menguruskan hasil ternakan marin, berukhuwah dengan kenalan- kenalan baru dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur, menikmati masakan- masakan eksotik masyarakat Bajau Laut dan menghargai keindahan alam yang Allah kurniakan. Moga di masa hadapan Allah mengurniakan kesempatan, kelapangan dan kesihatan yang baik untuk kami dapat meneruskan kerja- kerja kemasyarakatan ini, apatah lagi dengan sukarelawan- sukarelawan baru daripada pengikut laman sesawang Langitilahi.com. Adakah anda bersedia?