Dunia Ini Tidak Adil!

Zal Zil / September 17, 2017, 02:09:50 am

“Dunia ini tak adil!”

Katanya sambil menghentak tangan ke atas rumput.

“Ya, mungkin.”

Seorang lagi masih kelihatan tenang menjawab.

“Mengapa jawapan kau selalu ada mungkin?”

“Sebab adanya pemboleh ubah yang kita boleh kawal.”

“Ahh, sudah-sudahlah dengan pemboleh ubah kau tu.”

“Baiklah. Apa yang berlaku yang buat kau rasa dunia ini tak adil?”

Dia cuba untuk menyelami isi hati temannya yang sedang hangat membara. Usah dicurah minyak pada api yang sedang marak.

“Aku letih jalani hidup ini. Aku berlaku jujur namun tidak pernah dipercayai. Aku berusaha kuat, aku ikhlaskan diri namun yang aku dapat sebaliknya. Dikata membuat itu ini, tak amanah, memfitnah, perosak padahal akulah mangsa sebenarnya. Aku yang terluka, yang calar emosinya. Seolah apa yang aku buat selama ini tak ada erti, seolah tak pernah aku berbakti. Aku pergi berjalan untuk tenangkan fikiran, mewaraskan akal namun hati aku makin remuk. Aku lihat mak cik tua berpanasan dan di kepala terhimpun beban. Aku lihat anak kecil yang harusnya ceria berada di sekolah mengenal abjad terpaksa menadah tangan meminta belas kasihan. Sang ibu pula menggendong anak yang masih menyusu juga menadah tangan mungkin hanya itu kemahiran sejak dulu. Pak cik tua tempang tak berkasut berjalan di jalan tar yang panas menuju destinasi yang aku tak tahu mana yang ingin dia tujui. Kemudian aku tiba di bandar, Bangunannya gah-gah sekali, mewah! Pusat membeli-belah luasnya hampir sama stadium. Kondominium, apartmen mengganti rumah-rumah kotak yang aku lihat di pinggir bandar sebelumnya. Sungguh ironi.

Luahannya diakhiri dengan satu keluhan yang panjang.

“Kau rasa apakah penyebabnya?”

“Manusia yang pentingkan diri sendiri?”

“Dan juga kau!”

“Mengapa pula aku?”

Riak mukanya terpamer pelik kerana dirinya pula dipersalahkan.

“Kerana kau berputus asa. Kau rasa penat setelah berbuat. Kau mengharapkan balasan. Bila kau tak jelas tujuan dan matlamat kau kabur untuk lalui perjalanan. Kezaliman bukan kerana banyaknya orang-orang jahat tetapi kerana diamnya orang yang baik. Dunia ini musnah….. kerana bermain-mainnya orang yang faham. Maaf jika kata-kataku ini makin menjatuhkan kau.”

“Tak, terima kasih kerana menyedarkan aku. Apabila terlalu memikirkan mengapa sehingga terlupa wujudnya bagaimana.”

“Marilah kita kembali memperhalus tujuan dan memperkasa usaha kita.”

“Ya, itu yang sepatutnya.”

Masing-masing melontarkan pandangan kembali menikmati kehijauan. Bermuhasabah membersihkan niat yang terpalit di dada.