Dosa Membunuh Jiwa, Keimanan Melawannya!

Hilal Asyraf / June 2, 2017, 22:06:59 pm

Dosa ialah perkara yang tidak kelihatan.

Dosa merupakan balasan yang diberikan bagi orang-orang yang melakukan perbuatan ingkar. Lawan kepada dosa ialah pahala. Orang yang melakukan kebaikan akan dianugerahkan pahala.

Trend hari ini, tindakan yang membawa kepada dosa ini tidak boleh ditegur kerana yang menegur akan dituduh sebagai bajet malaikat, bajet bagus, perasan Tuhan, dan macam-macam lagi. Dari satu sisi, benar, dosa perkara yang tidak kelihatan, jadi seorang manusia itu tidaklah boleh melebih-lebih menghukum orang lain. Hukuman dosa & pemberian pahala itu adalah hak ekslusif Allah SWT.

Namun, kita tidak sesekali juga dapat menafikan akan kewujudan perbuatan-perbuatan yang telah jelas Allah SWT murkai. Sebagai contoh, apabila Allah SWT mengarahkan kita menutup aurat tetapi ada yang membelakangi. Contoh lain, apabila Allah SWT mengarahkan kita beriman, tetapin ada yang membangkangi. Contoh lagi, Allah SWT melarang manusia mendekati zina, tetapi ada juga yang menghampiri.

Semua itu perbuatan yang terzahir. Apakah masih tidak boleh ditegur?

Boleh ditegur dan perlu ditegur. Mengapa?

Kerana dosa hakikatnya membunuh jiwa.

 

Dosa pada pandangan manusia yang beriman

Dosa perlu dipandang besar oleh orang yang beriman. Saya ada menulis di dalam karya-karya saya bahawa satu hari, pensyarah saya bernama Dr Asyraf Banu Kinanah menerangkan berkenaan dosa-dosa. Dari bicaranya, semua dosa-dosa itu seakan besar. Maka seorang pelajar bertanya:

“Ya duktur, wein sogho’ir?” Wahai Doktor, di manakah dosa-dosa kecil?

Dr Asyraf Banu Kinanah menjawab: “Apakah wujud dosa yang boleh dikira kecil?”

Kata-katanya, bukanlah menafikan bahawa wujudnya dosa-dosa kecil. Tetapi dia hakikatnya hendak menyatakan bahawa, dosa yang kecil itu juga adalah besar bagi orang yang beriman.

Dosa itu sendiri, merupakan bencana pada kita.

Ibarat gunung yang menghempap. Begitulah jiwa kita tidak tenang bila melakukan dosa.

Kerana dosa akan membunuh jiwa kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan dosa, maka akan tumbuh pada hatinya satu bintik hitam, sekiranya dia bertaubat, maka akan terkikislah bintik hitam itu. Sekiranya dia tidak bertaubat, maka akan merebaklah binitik hitam itu hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” Riwayat Ibn Majah.

 

Bila hati menjadi hitam

Bila hati menjadi hitam, kita hilang arah, tertutup dari penerimaan terhadap cahaya Allah SWT. Tidak lagi takut pada azab-azab Allah SWT. Maka, mulalah berlakunya pembaziran masa, perlakuan maksiat yang lebih besar dan menarik kita pada kehancuran.

Allah SWT berfirman:

“Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.” Surah Al-Muthaffifin ayat 14.

Kita jadi buta. Jiwa kita terbunuh oleh dosa.

Kerana itu, apabila kita melihat orang-orang yang larut di dalam kehidupan penuh noda ini, garisan antara kebenaran dan kebatilan itu menjadi ‘blur’ padanya. Hati mereka akan mula mengiktiraf bahawa apa yang Allah SWT larang itu juga ‘okay’, dan mereka akan memberikan bermacam-macam alasan untuk menghalalkan apa yang Allah SWT larang.

Saya ada satu kisah, berlaku di hadapan mata saya sendiri, dan sangat terkesan di dalam jiwa saya.

Kisah sekumpulan pelajar yang tinggal di sebuah asrama. Mereka tidak menjaga kebersihan. Sampah di sana sini. Lama kelamaan, asrama itu mula berbau busuk. Tersangat busuk. Namun, tiada seorang pun penghuni asrama itu yang perasan akan bau busuk tersebut.

Sehinggalah datang beberapa orang senior yang telah mendapat arahan warden untuk membantu pembersihan asrama tersebut, barulah pelajar-pelajar tersebut dapat membezakan kehidupan mereka di tengah kebusukan, dengan kehidupan baru yang wangi dan lebih bersih.

Mengapa mereka gagal menghidu kebusukan asrama mereka sendiri?

Kerana mereka hidup di dalamnya, dan telah terbiasa dengan bau busuk yang meningkat sedikit demi sedikit.

Demikianlah kemudiannya jiwa insan yang terbiasa dengan dosa.

Dosa bakal dianggap biasa.

Dan apabila dosa dianggap biasa oleh individu-individu, apa yang menghalang dosa untuk merebak meracuni masyarakat?

Kita sendiri sudah melihatnya sekarang. Pandang sahaja sekeliling, buka televisyen, dengar radio. Apakah kita akan melihat orang-orang yang patuh pada titah perintah Allah SWT? Atau ramainya bukan?

Fikir.

 

Merugi. Pendosa Yang Tidak Menyesali Perbuatannya.

Allah SWT berfirman:

“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; – Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). Surah Asy-Syams ayat 8-10.

Maka, tidakkah kita rasa gusar dengan dosa-dosa kita?

Sudah berapa lama kita hidup? Mari pandang ke belakang, mari lihat ke arah semalam. Berapa banyak dosa kita sudah terkumpul dan tidak pula kita teringat untuk bersimpuh di hadapan Allah SWT meminta keampunan?

Apakah kita mahu menjadi orang yang hampa?

Cuba bayangkan, waktu dan masa kita melakukan dosa itu, ditukar dengan melakukan amal-amal yang bermanfaat? Bukankah lebih baik?

Bukankah kita sedia tahu bahawa kehidupan ini sementara cuma.

Jadi mengapa kita seperti tidak kisah akan dosa-dosa yang menyelubungi kehidupan kita?

Mengapa bila ada yang menegur, kita membenci dan menuduhnya dengan bermacam-macam tuduhan pula?

 

Penutup: Orang Beriman Tidak Akan Senang Dengan Dosanya

Adakah orang beriman tidak melakukan dosa? Tidak. Orang yang beriman juga melakukan dosa. Tetapi apakah beza orang beriman yang melakukan dosa dengan orang yang tidak beriman melakukan dosa?

Orang beriman, jiwanya akan bergetar hebat ketakutan bila dia melakukan dosa. Dia akan merasa resah, gelisah dan tidak tenang dengan kewujudan dosanya. Maka dia akan bergerak pantas memohon keampunan kepada Allah SWT. Dia tidak redha dengan dirinya yang berdosa. Dia akan cuba berubah. Jika dia gagal, dia akan cuba lagi. Lagi, lagi dan lagi.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” Surah Al-Anfal ayat 2.

Dengan perlawanan inilah, orang beriman itu akan berterusan hidup jiwanya.

Kerana dia melawan. Tidak membiarkan dosa-dosa menjahanamkan hatinya.

Orang yang masih hidup keimanannya, akan senang dengan teguran yang sampai kepadanya. Kerana teguran akan menyedarkannya.

Muhasabah.