Doktor, Ubat dan Pesakit.

Hakimi Hadi / November 5, 2017, 00:11:40 am

Ahmad cermati setiap saat yang berlalu. Saat-saat seperti menunggu sahabatnya keluar dari bilik pemeriksaan kesihatan ini benar-banar membuatnya terasa masa begitu lama dan panjang.

Kesal sedikit terhadap dirinya yang lupa membawa bahan bacaan sebagai peneman pada waktu lapang sebegini.

“Ah, takpelah.”

Klinik yang serba sunyi itu membuatkan Ahmad cepat diulit kebosanan. Matanya tidak sedikit memerhati setiap infografik kesihatan yang terpapar pada sekitar dinding klinik tersebut.

Tidak terlepas juga setiap tingkah laku dan reaksi yang dirakam oleh kaca matanya: kegembiraan pesakit selepas berjumpa doktor, sikap berterima kasih apabila menerima ubat dan juga kehadiran pesakit-pesakit yang baru tiba di klinik tersebut.

“Wah, penting juga seorang doktor ni.”

“Tapi apa pentingnya seorang doktor? Kenapa manusia tidak mampu hidup sihat tanpa doktor dan ubat?”

Ahmad terus tertanya-tanya sambil memerhati sekeliling. Dan akhirnya dia cuba membayangi nasib akan diri jika hidup tanpa doktor.

“Uhh, ngeri!”

Siapa saja yang ingin hidup dengan penuh penyakit dalam tubuh badan mereka. Jika panas sedikit pun sudah mencari panadol!

“Haa, sempurna!” Ahmad tersenyum apabila melihat cahaya yang semakin menerangi akan jawapan yang dicari-cari.

Yup, hidup manusia sangat terdedah akan virus-virus parasit yang mencacatkan kesempurnaan dalam kehidupan.

Dan perlunya ubat itu sebagai penawar agar mereka pulih dan sihat seperti sedia kala.

Bahkan, doktorlah yang kenal virus-virus tersebut, lalu memberi penawar dan pesanan agar kesihatan terus terjaga.

Dan, begitu juga tentang diri kita. Yang sentiasa terdedah dengan pelbagai penyakit dan kemaksiatan seperti parasit kehidupan sebentar tadi. Yang sentiasa membawa bahaya kepada kehidupan kita.

Analoginya:

Pesakit = Manusia

Ubat = Ibadah

Doktor = Tuhan

Manusia sangat memerlukan tuhan(baca: Allah) seperti perlunya pesakit akan doktor tadi. Kerana tuhan Maha Mengetahui akan kekurangan dan penyakit hamba-Nya. Dan Dia memberi petunjuk atas jalan kehidupan yang benar agar manusia hidup sihat dan terhindar daripada virus durjana yang merbahayakan seseorang itu.

Bahkan, kasihnya tuhan terhadap hamba-Nya, dijadikan solat dan beribadah itu sebagai ubat, penawar dan anti-biotik yang melindungi dan melawan virus-virus parasit kehidupan.

“Ahmad. Oo, Ahmad!”

“Eh zul, dah jumpa doktor?’

“Dah la. Jauh betul termenung kau tu, aku sampai pun kau tak perasan. Haha”

“Takde lah. Kau tu, lain kali jaga kesihatan ya. Ingat pesanan-pesanan doktor.”

“Baik boss. Izinkan saya ambik ubat sekejap.”

“Hahaha. Aku tunggu sini!”