Doa Menuju Tuhan

Hakim Darno / June 27, 2018, 00:06:26 am

Lafaz Doa

 

Tunjukilah kami jalan yang lurus. Surah al-Fatihah (1) : 6.

 

 

Apakah Maksud Jalan Yang Lurus?

 

Allah SWT telah mengajar kita, antara doa yang perlu kita sentiasa ulang adalah ayat keenam Surah al-Fatihah. Paling minimum kita akan baca doa ini pada setiap hari adalah sebanyak 17 kali.

 

Menurut ahli tafsir, mereka telah membahagikan “Jalan yang lurus” itu kepada empat iaitu al-Irsyad, al-Taufiq, al-Ilham dan al-Dilalah.

 

Apa itu al-Irsyad? Kita berdoa supaya Allah anugerahkan kepada kita kecerdikan dan kecergasan supaya dapat membezakan di antara mana pihak yang benar dan salah.

 

Apa itu al-Taufiq? Kita berdoa supaya apa yang kita mahu itu bersesuaian hendaknya dengan apa yang direncanakan oleh Allah.

 

Apa itu al-Ilham? Kita memohon supaya diberi petunjuk agar dapat mengatasi sesuatu perkara yang sulit.

 

Apa itu al-Dilalah? Kita memohon supaya ditunjukkan dalil-dalil dan tanda-tanda di mana tempat yang berbahaya, di mana yang tidak boleh dilalui dan sebagainya.

 

Ada juga pendapat mengatakan bahawa “Jalan yang lurus” itu adalah agama yang benar, Agama Islam dan juga Kitab Allah (al-Quran).

 

Melihat kepada tafsiran-tafsiran para ulama, kita boleh simpulkan bahawa “Jalan yang lurus” itu adalah agama Islam dan rujukan utamanya adalah al-Quran. Melalui ayat ini, Allah mahu ajar kepada kita bahawa dalam menjalani kehidupan ini kita mesti mohon pertolongan daripada Allah SWT.

 

 

Kita Nak Minta Apa Pada Allah?

 

Lalu, perkara pertama yang kita perlu mohon kepada Allah adalah jalan yang lurus bukan yang lain. Namun, tidak salah untuk kita memohon apa sahaja kerana Allah Maha Kaya dan Maha Pemberi. Kita boleh sahaja memohon kepada Allah untuk menjadi kaya, dapat rumah besar, kereta mewah dan sebagainya.

 

Tetapi kita kena ingat bahawa perkara itu semua merupakan perkara yang remeh. Alangkah malangnya apabila kita memiliki segala kemewahan dunia tetapi kita tidak mendapat petunjuk daripada Allah SWT.

 

Contohnya seperti Abu Lahab yang sangat kaya pada zamannya namun tidak mendapat petunjuk daripada Allah SWT. Malah, dia ingin menebus segala dosanya dengan segala harta  yang dia ada namun langsung tidak ada nilai di sisi Allah SWT.

 

 

Tadabbur : Mengapa Perlu Mohon Petunjuk Jalan Yang Lurus?

 

Kita tanya pada diri kita, sekarang ini kita telah menganut agama Islam dan kita juga telah membaca al-Quran, jadi mengapa perlu lagi kita mohon petunjuk jalan yang lurus?

 

Pertama, kerana kadang-kadang kita masih belum lagi mengamalkan agama Islam secara keseluruhannya. Atau pun sebagai contoh kita baru sahaja mengamalkan dua pertiga al-Quran. Jadi kita memohon supaya kita dapat mengamalkan agama Islam secara keseluruhan seperti mana yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

 

Kedua, sebenarnya kita memohon kepada Allah SWT supaya kita berpegang teguh dengan petunjuk. Seperti mana yang kita tahu bahawa hati kita ini mudah berbolak balik, oleh itu kita memohon supaya Allah SWT tetapkan hati kita dalam petunjuk.

 

Lalu Allah SWT telah memperincikan lagi pada ayat yang seterusnya tentang “Apa itu jalan yang lurus?” Jalan yang lurus bermaksud jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

 

Oleh sebab itu, kita sangat-sangat memerlukan doa ini dan Allah SWT juga telah mewajibkan kepada kita untuk membacanya sebanyak 17 kali sehari paling minimum. Insya-Allah setelah kita mendapat petunjuk, kita akan dapat apa yang kita perlukan di dunia ini seperti harta, kesihatan, pekerjaan, kekayaan dan sebagainya.