Doa Mendapat Jodoh & Keturunan Yang Baik

Hakim Darno / June 21, 2018, 08:06:21 am

Dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

Surah al-Furqan (25) : 74.

 

 

Siapakah Yang Berdoa?

 

Doa ini merupakan sambungan daripada sifat-sifat hamba yang rapat dengan Tuhan Rahman atau Ibaadur Rahman. Mereka bukan sahaja mahu dirinya yang rapat dengan tuhan, tetapi mereka juga mahu keluarga mereka dan seterusnya keturunan mereka juga rapat dengan tuhan.

 

Teringat dahulu saya terbaca surat khabar yang mengatakan kadar perceraian di Malaysia amat membimbangkan. Bayangkan dalam tempoh satu jam, ada lebih kurang 6 pasangan yang bercerai.

 

Apabila diteliti kebanyakan mereka yang bercerai adalah mereka yang usia perkahwinannya tidak sampai lima tahun. Seolah-olah telah menjadi satu trend di Malaysia.

 

Adakah perkahwinan satu perkara yang main-main?

 

Jadi doa ini sangat baik untuk diamalkan oleh para suami, isteri dan lebih-lebih lagi sangat sesuai kepada bakal suami dan juga bakal isteri.

 

Hamba yang rapat dengan Tuhan berdoa dengan sepenuh hati supaya dianugerahkan isteri-isteri yang solehah dan juga anak-anak yang soleh solehah.

 

Anugerah ini umpama hadiah dan biasanya hanya orang yang terpilih sahaja yang mendapat anugerah atau pun hadiah ini.

 

Dia berdoa mengharapkan supaya ahli keluarganya sahaja yang terbayang di fikirannya, yang berada di hatinya dan yang sentiasa dirinduinya. Tidak perlu kepada perempuan-perempuan lain.

 

Sebagai seorang suami sudah pasti dia banyak berfikir. Berfikir tentang bil-bil yang perlu dibayar, tambah pendapatan, masalah kerja, kereta rosak, sinki tersumbat, beli barang dapur dan sebagainya.

 

Namun, apabila dia balik sahaja ke rumah, melihat gelagat ahli keluarganya, tiba-tiba segala masalah yang bertimbun-timbun tadi seolah-olah telah selesai. Apabila dia berada di luar rumah pula, dia berharap supaya Allah melindungi ahli keluarganya daripada perkara yang tidak baik. Lalu dia dapat keluar mencari nafkah dengan jiwa yang tenang.

 

Maksudnya sejuklah mata mereka melihat ahli keluarga mereka yang menyenangkan hati mereka dan membanggakan mereka.

 

Dia mengharapkan supaya ahli keluarganya juga dapat memberi sesuatu sumbangan untuk Islam. Sumbangan dalam bentuk melakukan sebarang kebaikan dan juga menjauhkan diri daripada melakukan kejahatan.

 

Apabila seorang yang beriman melihat orang yang taat kepada Allah SWT, dia merasa gembira dan hatinya merasa tenteram di dunia dan akhirat. Apalah perkara yang paling membahagiakan emak ayah kalau bukan melihat anak-anaknya menjadi soleh solehah. Mereka sembahyang, mengaji, buat baik dan tolong orang tanpa perlu disuruh.

 

Oleh sebab itu, dia selalu akan mengajak isteri dan anak-anaknya beribadah kepada Allah SWT bersama-sama. Mewujudkan persekitaran yang baik. Menjadi contoh tauladan yang baik dan ini boleh diikuti oleh orang lain. Mereka menjadi sebaik-baik teladan dan ini menyebabkan dia mendapat pahala yang banyak dan kedudukan yang baik.

 

Dari Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda,

 

Apabila manusia itu meninggal maka terputus amal perbuatannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah amal jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.

Hadis Riwayat Muslim.

 

Dia memohon juga supaya anak-anaknya nanti boleh menjadi pemimpin yang menjadi contoh tauladan dalam kebaikan dan mengamalkan perintah agama kepada masyarakat.

 

Akhir sekali dia meminta supaya menjadi imam kepada orang-orang yang bertakwa. Adakah ahli keluarga kita orang-orang yang bertakwa? Mungkin ya dan mungkin tidak. Namun doa ini mengajar kita supaya kita mempunyai impian melatih ahli keluarga kita menjadi orang yang bertakwa.

 

Jika orang di bawah kita pun terdiri daripada mereka yang bertakwa, kita pula bagaimana?

 

Sudah pasti tahap kita lebih tinggi daripada orang-orang yang bertakwa. Ini bukan tahap biasa-biasa. Mahu tidak mahu, kita perlu menjadi orang yang layak menjadi ikutan. Menjadi pemimpin. Senang kata, kalau kita nak anak kita soleh solehah, kita sebagai ibu bapa perlu menjadi soleh solehah terlebih dahulu.