Didikan ayah

Fathy / June 21, 2018, 20:06:50 pm

“Taen, ambil ini. Gunakan sebaik mungkin. ’’Kata ayah kepadaku sambil menghulurkan sebuah telefon bimbit berjenama Samsung Colby yang berharga RM350.

Aku menghulurkan tangan kanan.

“Terima kasih ayah.’’ Aku membalas sambil senyum tidak ikhlas.

Riak wajah ayah kelihatan senyum, lalu melangkah ke bahagian dapur.

Aku pula tidak tahu, mahu gembira atau tidak dengan pemberian ini.

Memang aku pernah meminta dari ayah sebuah telefon, senang untuk aku berkomunikasi dengan keluarga dan kawan di sekolah tetapi tidak macam ini.

Kalau ditolak pemberian ini, kemungkinan ayah tak memberiku peluang lagi memiliki telefon dan kemungkinan juga ayah akan menukar yang lebih canggih.

Aku kena ambil risiko jika aku pegang pendapat yang kedua ini.

“Tapi…tak akan ayah tak tahu zaman sekarang mana ada dah orang beli jenama Samsung Colby ini. Sudah ketinggalan, memori hanya 512 MB saja.

Tak cukup untuk install media sosial seperti Intagram, Facebook, Twitter dan banyak lagi. Cukup untuk WhatsApp saja.” Dengus aku.

                               ****
Aku berteleku di jendela tingkap sambil memerhatikan air hujan yang mula renyai-renyai berlatar belakangkan pasu bunga mak.

Hati rasa tenang seketika. Betullah kata orang, antara salah satu cara mencari ketenangan dengan melihat ciptaan Tuhan. Laut, hutan hijau, awan putih yang berkepul-kepul seperti kapas itu semua ciptaan Allah.

Selain itu juga, Al-Quran harus selalu dibaca, tadabbur ayat, supaya hati terus dipelihara dari sifat-sifat yang tidak baik. Begitulah mak, memesan kepadaku setiap kali pulang dari asrama.

Tetapi hati jika tidak dipenuhi hajat, mesti resah dan gelisah, macam cacing kepanasan saja.

Aku mesti tanya kepada ayah, kenapa tidak dapat telefon yang lebih canggih.

Ayah seorang perniagaan yang berjaya, mempunyai restoran tiga cawangan di Negeri Perak ini.

“Taen…” Ayah memanggil namaku dari arah ruang tamu.

“Ya ayah.” Aku membalas.

“Mari sini sekejap.”

“Baiklah ayah, Taen ke sana.” Ujar aku sambil menutup pintu tingkap.

Memandangkan rumah kami dua tingkat, aku harus menurun lima anak tangga untuk ke ruang tamu. Sudah sampai, aku melabuhkan punggung ke sofa bersebelahan ayah.

“Macam mana telefon baharu itu, ada rosak ataupun baik-baik saja.”

“Telefon tu tak rosak ayah, elok dan berfungsi.”

“Seronok dapat telefon itu?” soal ayah ayah.

Dek ayah menyoal soalan ini, mulutku bungkam seketika, dadaku bernafas laju.

“Nak terus terang atau jawab saja seronok. Tapi kalau jawab seronok, melepaslah peluang untuk dapat telefon yang lebih canggih. Itu kalau ayah setuju dengan aku, boleh jadi ayah marah aku, kalau aku tak sudi menerima telefon yang sekarang aku guna ini.

‘’Ah!, sesak dada aku. Apa yang aku harus buat.” Bentak aku dalam diam.

“Taen.”

“Taen. Ayah tanya ni, seronok atau tidak.” Ayah meninggikan suaranya.

“Urm… sebenarnya… Taen bukan tidak suka akan telefon ini ayah.” Sambil aku menunjukan telefon itu yang berada di atas meja di hadapan kami.

“Lepas itu?’’ Kata ayah.

“Kawan Taen semua ada telefon yang lebih canggih tapi ayah beri telefon ini. Ada whatsApp sahaja. Tak seronok ayah.” Jawab aku.

“Taen umur berapa,” ujar ayah.

“15 belas, kenapa?”

“Umur 15, bukan sepatutnya ada telefon canggih-canggih. Cukuplah sekadar boleh hubungi.

Ayah tidak mahu kamu membuang masa menghadap telefon 24jam, dan ayah risau dengan teknologi tanpa batasan ini.

Bukan ayah tidak faham, ayah faham. Kerana itu ayah tanya kamu, seronok ataupun tidak. Ayah sayang kamu dan ayah tidak mahu kamu hanyut dan terus tenggelam dengan keseronokkan yang tidak ada hala tuju.

Kamu perlu ada visi dalam hidup, supaya tidak samar-samar untuk terbang masa hadapan kelak.

Jadilah burung yang pandai mencari makanan sendiri dan untuk orang lain. Bukan burung yang paruhnya selalu berbunyi-bunyi kerana suka meminta-minta.

Bukan tidak boleh seronok, tetapi berpada-padalah ya Taen. Ayah boleh sahaja beri kamu telefon yang mahal dan canggih tetapi untuk boleh membunuh jiwa kamu dalam senyap.

Nanti kalau kamu nak telefon yang canggih, kamu harus kerja dan dapatkan apa yang kamu mahu.

Bukan sahaja telefon tetapi benda-benda lain pun boleh selagi tidak melanggar syariat Ilahi.

“Terima kasih ayah atas nasihat ini” Kata aku sambil mendapatkan tangan kanan ayah untuk mengucup sepuas-puasnya.

“Maaf jika selama ini Taen bersangka buruk terhadap ayah” Kata aku lagi.

“Tidak apa, hidup ini adalah sebuah perjalanan dan kamu masih muda, perlajarilah ilmu-ilmu mendatang.

“Baiklah ayah, esok nak sekolah, Taen tidur dahulu ya. Selamat malam.” Ucap aku sambil melemparkan senyuman.

“Ok, selamat malam juga, jangan lupa baca doa sebelum tidur,”

“Ok.” Jawab aku sambil melangkah anak tangga.