Dalam Lima Minit Engkau,

Ismie Hazira / October 17, 2017, 11:10:00 am

True friends are families which you can select – Audrey Hepburn.

#

Sesak.

Dia meraba-raba tempat tangan boleh berpaut bila kaki sudah mencecah lantai bilik. Sesak dada makin bertambah-tambah sejak akhir-akhir ini. Sampai saja dia bersandar pada dinding di sebelah katil, badan yang terasa longlai direbahkan serta merta. Dan selepas rebah sebegitu rupa, satu demi satu lapis pakaian ditarik meninggalkan tubuh. Membuka ruang kepada diri sendiri dan pernafasan untuk seimbang.

Posisi kini tertengadah menghadap siling kosong putih dengan kipas yang berpusing perlahan. Lima jari sebelah kanan dibukakan luas-luas, sebelum diletakkan ke atas dada.

Sesak dan menekan.

Macam ada tali yang sedang dijerut mengetatkan ruang dada tempat bernafas. Jantung berdebar-debar tanpa sebab yang nyata. Nafas jadi bertingkat-tingkat tersekat walaupun dah cuba diatur semula setiap kali breathe in and out.

Dia cuba bertenang. Turun naik dada masih laju entah menghambat apa.

Sesak dengan luka.

Sesak dengan kesakitan.

Sesak dengan kenangan.

Sesak dengan memori lama.

Sesak dengan ekspektasi yang tak pernah realistik.

Dia tahu yang semua perkara itu yang sebenarnya menjadikan dia sesak dan tertekan. Dia sekadar tersengih.

Sorry, soul. Couldn’t treat you better than this.’ Tangan masih di dada. Mencuba menyeimbangkan aturan nafas.

Dalam posisi yang masih sama, terlentang tanpa upaya, dia memanjangkan tangan menarik sesuatu daripada beg sandang yang dah ditolak jatuh ke lantai. Saiz katil yang hanya selesa dan muat untuk dia seorang, lagi-lagi dalam keadaan sesak sebegitu.

“Assalamualaikum,” Pintu bilik ditolak perlahan.

Roommate.

Dia senyum perit.

“Kau kenapa?” Berkerut dahi kawan. Iyalah, siapa tidak terkejut bila masuk ke bilik, ada tangan yang terjulur lemah mengalahkan Ju-on Jepun yang popular dengan genre seram itu.

“Aku sesak dada,”

“Lagi sekali?” Roommate dia bergerak dari depan pintu mendekati dia.

“Bukan lagi sekali. I lost count.” Dia cuba memecahkan suasana serius.

“Main-main la kau. Ni ada kelas petang tak?” Roommate menghampiri katil. Memegang kaki dan tangannya, memeriksa suhu. “Sejuk lagi tu. Kau ni,”

“Aku ok. Nak rest kejap.” Benda yang diraba daripada beg sandang dikeluarkan. Telefon bimbit berbentuk segi empat berwarna emas yang dah pudar warnanya digenggam kemas,

Aplikasi whatsapp dibuka. Jarinya bergerak mencari nama seseorang.

Caught you. Dia senyum dalam dada yang kian menyesak. Pada skrin telefon, terpapar perbualan antara dia dengan seseorang.

-Sesak dada.-

Ringkas pesanan itu ditaip. Kemudian disertakan dengan emoji yang memakai topeng muka, tanda sakit.

Butang send ditekan.

-Kau kat mana sekarang?-

Whatsapp berbalas tak sampai lima minit

Dia senyum kesakitan. Dada makin sesak. Skrin telefon gelap tanpa sempat membalas whatsapp yang masuk.

‘Satu minit.’

“Rehat la. Kau letih agaknya,” Roommate prihatin. Dia angkat ibu jari dan telunjuk yang dibulatkan, dengan tiga jari lain terangkat ke atas, tanda ok.

Dalam masa-masa yang dunianya terasa sesak, she just need one thing.

‘Dua minit.’

Dan dalam sesaknya pernafasan tidak terkawal, sejenis perhatian yang melapangkan, adalah penawar yang paling mujarab baginya.

Untuk dirinya.

‘Tiga minit,’

Untuk beberapa saat, dengan kelopak mata berat tertutup tetapi masih separa sedar, dia kembali mengatur setiap tarik nafas selari dengan detik jarum jam. Percubaan menstabilkan diri.

Pintu bilik dikuak untuk kali yang kesekian.

‘Empat minit,’

Sorry, sorry,” Lembaga di depan itu mengangkat tangan, sebagai tanda hormat pada rakan bilik yang sedang berehat di atas katil, masing-masing melepaskan lelah dari kelas pagi untuk menyambung ke petang.

‘Cukup lima minit.’ Dia senyum dalam diam.

“Eh takpe. Masuklah. Ada tu ha,” Suara roommate samar-samar menyentuh cuping telinga.

“Ah ye, macam mana keadaan?” Lembaga yang semakin jelas itu nampak tergaru-garu kepala yang tidak gatal.

Dan secara samar-samar juga suara itu menyapa jiwa. Menenangkan tanpa sedar.

“Saya pun baru balik je sebenarnya. Masuk-masuk tengok dia dah terbaring macam tu, saya suruh rehat je sebelum kuliah petang.”

“Tak suruh ke klinik ke? Kerap juga dengar dia mengadu sesak dada, belakangan ni,”

“Tak mahu pulak dia. Esok-esok baik la, katanya.” Kelopak mata yang memang sedia pejam terasa lapang.

Lembaga yang masuk tadi menghampirinya, duduk di sisi. Tindakan yang sama. Jari dan kaki disentuh bersilih ganti.

“Kau ni, kalau tak buat aku risau, memang bukan kau.” Bernada rendah, tapi cukup untuk sampai ke telinganya. Menjemput senyum dalam sakit.

Sesak dada terasa semakin berkurang. Jari dia yang memegang untuk memeriksa suhu tadi, dibalas dengan genggaman yang sedikit kuat.

“Cukup lima minit,” Perlahan dia menyusun kata.

#

(Imbas Kembali)

“Jatuh kat mana pulak kali ni? Cuba jalan tu tengok jalan, don’t forever stuck on your phone like gum.” Izzah berdiri mencekak pinggang di hadapan kelasnya.

Dia ketawa. “Oi, telefon pun aku tak pegang tau tadi,”

“Habis ni macam mana nak gerak pergi kelas, kafe, mandi?” Muka Izzah berkerut seribu. Bising betul.

“Solat kau tak sebut,” Selamba dia membalas.

“Zap !” Izzah tutup muka. Tanda sentap dengan gurauannya.

Mereka ketawa.

Alright, got to go. If anything, count on me like one, two, three and i’ll be there, by Allah’s will. Or otherwise, paling lambat aku sampai dalam lima minit.” Izzah kenyit mata.

“Aku pegang lima minit kau!” Laungan disambut dengan lambaian tangan dan ketawa dari sebelah sana.

#

“Apa?” Telinga didekatkan kepada dia.

Thanks, mate.” Dia senyum.

I just need your attention, after all.

“Semoga Allah hapuskan dosa kecil kau, dengan sakit kau.” Sepotong doa itu menyentuh telinga.

Jiwanya terasa dipeluk sesuatu yang sejuk, dingin yang menyamankan.

You don’t choose your family. They are God’s gift to you, as you are to them. – Desmond Tutu

Mata dipejam terus kali ini. Dan suasana menjadi gelap gelita.

#