Cerpen: Sebelum Aku Mati

Hilal Asyraf / July 22, 2017, 11:07:45 am

Terkesima.

Itu reaksinya sebaik sahaja mendapat berita yang tidak disangka-sangka daripada doktornya.

Dia datang ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, memandangkan batuk-batuknya tidak hilang selepas beberapa minggu. Walaupun tidak terlalu teruk, namun batuk-batuk itu membuatkannya tidak selesa.

Selepas pemeriksaan, doktor yang bertugas memeriksanya berkerut seribu. Dia ditinggalkan sebentar sebelum dipanggil semula ke bilik pemeriksaan.

“Harap Encik Faiq dapat bersabar mendengar berita ini.”

Dadanya berdegup kencang.

“Encik disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4…”

Selepas itu dunia menjadi sunyi. Sunyi sesunyinya. Matanya membesar, tetapi dia tidak mendengar apa-apa bunyi. Mulut doktor di hadapannya kelihatan bergerak-gerak, namun satu butir bicara pun tidak singgah ke telinganya.

Dunianya seakan-akan runtuh.

“Berapa lama masa yang masih saya ada?” Dia membuka suara, memecah kesepian diri.

Dia dapat melihat bibir doktor itu berhenti bergerak. Menarik nafas, seakan cuba hendak memberitahunya dalam keadaan yang tidak membuatkan dia terkejut, rasa berputus harap.

“Dari beberapa minggu, hingga beberapa bulan lagi.”

Telinganya berdesing. Kata-kata doktor yang selanjutnya tidak lagi didengari. Tubuhnya bergetar. Matanya mula ditakungi air, yang kemudiannya tumpah menuruni pipi. Jantungnya berdegup kencang.

Selama ini dia bukan tidak pernah mendengar tazkirah berkenaan kematian, dia bukan tidak tahu mati itu wujud, bahkan dia sendiri sudah punya beberapa ahli keluarga, rakan dan kenalan yang meninggal dunia.

Namun entah mengapa, kali ini, seakan baru pertama kali dia merasai kebenarannya.

Aku akan mati!

Jerit hatinya.

 

*****

Faiq pulang ke rumah pada petang itu, mengenangkan hidupnya yang singkat dikhabarkan doktor.

Dia membaringkan dirinya di atas sofa pejabat. Dia termenung panjang sambil melihat kipas siling yang seolah-olah memperli kehidupannya.

“Sia-sia aku hidup macam bilah-bilah kipas ini, saling berkejaran tetapi tidak pernah mencapai antara satu sama lain. Apa gunanya mempunyai rumah besar, kereta mewah dan duit banyak tetapi hidup singkat.” bisik hatinya.

Kehidupannya terimbas. Faiq merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Sangat berjaya, sehingga pada usianya mencecah 30-an, dia sudah mencapai status jutawan dengan keuntungan bersih perniagaannya melebihi RM10 juta setahun. Kini dia sudah berusia 35 tahun. Masih muda, dan ramai penganalisa ekonomi menyatakan bahawa dia ialah individu yang mampu memberikan impak kepada ekonomi negara jika dapat meneruskan langkah.

Itu yang dikejarinya. Berada di puncak.

Namun untuk sampai ke puncak, hatta sampai ke tempatnya hari ini, dia telah melakukan pelbagai kesalahan. Faiq menghela nafas panjang. Terkenangkan kesilapan-kesilapan lalu. Berat.

Dia memalingkan matanya ke arah tempat lain. Lalu dia terpandang potret keluarganya tergantung di dinding ruang tamunya.

“Sarah,” bisik hatinya dalam keadaan penuh sebak.

Dia menatap gambar potretnya bersama seorang wanita bertudung berusia 20-an yang sedang mengendong anak lelakinya berusia 8 bulan pada masa itu. Gambar itu di ambil semasa hari raya pertama mereka bersama. Mereka memakai baju raya bertemakan merah jambu, warna kesukaan isterinya – Sarah.

Bibirnya dikemam. Seperti menimbang-nimbang sesuatu, sebelum dia menggerakkan tubuhnya ke meja dan mengangkat telefon.

“Alissa, gantikan saya dengan Dato’ Farid untuk semua program dan mesyuarat yang saya terlibat minggu ini dan minggu depan.”

Dia mendengar pertanyaan daripada setiausahanya itu. Sedang matanya lekat pada gambar Sarah.

“Saya nak kena selesaikan urusan penting.” Dia menjawab.

Kemudian telefon diletakkan. Faiq terus bergerak keluar.

*******

Dia memerhatikan sahaja dari dalam kenderaannya di perkarangan sekolah itu. Sekolah Menengah Islam. Terletak jauh dari rumahnya dan tempat dia bekerja di Kuala Lumpur. Perjalanannya membawanya ke Pulai Pinang. Untuk dia berada di sini, bertemu dengan seseorang.

Faiq menanti sesuatu. Sekali sekala, batuk menyelangi penantiannya.

Loceng sekolah berdering kuat, dan kemudian kelihatan para pelajar berpusu-pusu keluar. Faiq masih menanti. Kemudian matanya membesar. Terus dia keluar dari kenderaannya. Bergerak melawan arus pelajar-pelajar yang mula berjalan menuju ke bas masing-masing yang setia menanti di perkarangan sekolah sebagaimana kenderaannya.

Sampailah dia berdiri di hadapan seorang remaja, yang dia sangat pasti baru berusia 15 tahun. Jiwanya spontan sebak menatap wajah remaja itu.

“Em, pakcik? Kenapa?” Remaja itu menyapa. Segera Faiq menyeka air mata yang hampir mahu tumpah. Menggeleng.

“Tengah tunggu siapa?” Faiq bertanya, tidak menjawab persoalan remaja tersebut.

“Tengah tunggu Mama.” Remaja itu menjawab sambil bangkit. Apakah ‘Mama’nya telah sampai? Faiq menoleh ke belakang melihat luar perkarangan sekolah. Tidak.

Tiba-tiba tangan Faiq hangat, segera dia kembali menoleh ke hadapan. Rupa-rupanya remaja itu mencapai tangan dan bersalaman dengannya. “Pakcik duduklah dulu. Tunggu anak ke?” Sopan.

Kalbu Faiq dipagut sayu. Mengangguk. Segera dia mengambil tempat di sisi remaja tersebut. Mereka sama-sama duduk di bangku kantin, yang menghadap perkarangan sekolah.

Faiq batuk.

“Pakcik tidak sihat ya? Sakit apa?” Remaja itu bertanya mesra, tambah punya nada belas.

Faiq menggeleng. “Habuk.” Berbohong.

“Anak ni, namanya siapa?”

“Saya Faris.” Faiq sudah mengetahui sebenarnya. Dia yang menamakan anak itu. “Pakcik?”

“Faiq.”

“Ah, sama nama dengan bapa saya. Tetapi dia dah lama tak ada. Dah meninggal dunia semasa saya berusia 5 tahun. Saya pun sudah lupa wajahnya bagaimana.” Monyok wajah remaja itu. Hati Faiq disentap. Mungkin itulah cerita yang diceritakan oleh Sarah kepada anak mereka ini. “Mama tak ada simpan gambar atau apa-apa maklumat berkenaan dia, selain namanya sahaja. Itu pun sebab saya kena daftar kad pengenalan. Mama kata, Mama terlalu berduka dengan kehilangan Bapa.”

Faiq memejamkan mata. Perit mendengar luahan hati Faris. Ternyata Sarah sangat terluka dengan perpisahan mereka. Yang disebabkan oleh dirinya, yang mahu kekal dengan cara hidup yang merosakkan, jauh dari prinsip agama dan moral yang dipegang tinggi oleh Sarah.

Akhirnya dia di sini. Kembali sebagai orang yang kalah.

Pesan dan nasihat Sarah dahulu dibalas dengan hinaan, tengkingan, pukulan. Sarah budak kampung, Sarah ortodok, Sarah kuno, entah berapa banyak lagi makian yang dilemparkannya kepada wanita solehah itu, yang hanya mahu melihat hidupnya bahagia bukan sahaja di dunia, tetapi di akhirat sana. Namun dia mabuk mengejar status, kekayaan, dan pengaruh.

Faiq batuk lagi.

Dia ingin menerusan perbualan dengan Faris, anak yang telah ditinggalkannya 10 tahun yang lepas, tetapi sebaik sahaja dia hendak membuka mulutnya…

“Faris!” Suara seorang wanita membelah suasana. Faiq melihat Faris terus bangkit dan bergerak meninggalkannya. “Mama!” Remaja itu melaung.

Dada Faiq berdebar sambil pandangannya mengekori pergerakan Faris.

“Faiq?” Namanya pula disebut.

Matanya mula berlecak.

“Sarah.” Dia menyebut nama wanita bertudung labuh di hadapannya.

Faris terpinga-pinga.

 

=====================================================

Cerpen ini belum tamat. Akan disambung. 🙂

Part 2 & 3, kredit kepada saudara Haikal Zainal.