Cerpen : Luka Bersalut Bahagia

Balqis Sanusi / February 28, 2018, 23:02:36 pm

“Esok kita jumpa kat tempat biasa, boleh?”

“Kenapa Sufian?”

“Esok saya bagitahu. Jam 6 petang kita jumpa ya. Awak jangan rushing sangat, drive elok-elok dari ofis.”

“Okay. InsyaAllah saya cuba sampai jam 6. Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.” Talian ditamatkan Sufian.

Sumayyah termangu seketika di meja makan selepas menerima panggilan itu. Sufian tak pernah serius begitu. Sumayyah dapat mengagak mesti ada sesuatu hal besar Sufian nak bincang dengannya esok hari.

‘Ada apa Sufian nak jumpa esok?’ Dia bertanya pada diri dalam hati.

‘Ish,risau sangat lah aku ni, tunggu esok je lah.’ Bisik hati Sumayyah lagi.

Dia sambung menyuap makanan tengah hari yang dah dimakan sebahagiannya tadi sebelum menjawab panggilan Sufian. Tengah hari tu dia keseorangan saja sebab Dina, teman rapatnya tak dapat makan bersama.

Kelihatan pelanggan-pelanggan di restoran itu juga dah ramai beransur pulang. Sumayyah melihat sekilas jam di tangan kirinya, dah menunjukkan jam 1.40 tengah hari. Dia segera menghabiskan makanan dan kembali ke ofis.

 

——————————

Terkocoh-kocoh Sumayyah berlari menuju ke arah Sufian yang sedang duduk di bangku tepi tasik. Dia dah terlambat 10 minit. Risau dia Sufian dah lama menunggu.

“Sufian, maaf sangat saya lambat. Dah lama ke sampai?”

Sufian berdiri sebagai tanda menyambut kehadiran Sumayyah. Senyuman terukir pada wajah Sufian.

“Tak apa Sumayyah. Kan saya dah pesan semalam tak perlu rushing. Drive je elok-elok. Saya juga baru sampai.”

Sumayyah tersenyum sama. Sufian memang begitu, selalu memahami dan bertimbang rasa dengan Sumayyah, tambah-tambah selepas mereka mengikat tali pertunangan.

“Oh.. Alhamdulillah, tak adalah lama awak menunggu saya. Tak nak persilakan saya duduk?” Tanya Sumayyah, saja bergurau dengan Sufian.

“Eh yelah, jom duduk. Hihi.”

Mereka sama-sama duduk di bangku menghadap tasik. Untuk seketika, kedua-dua mereka membisu.

“Sufian, awak okay ke? Macam ada hal penting awak nak bincang hari ni.” Sumayyah mulakan perbicaraan. Dia menoleh ke arah Sufian yang berada di sisi kanan.

Sufian menundukkan sedikit badan, kedua-dua tangannya digenggam. Dia menyusun kata untuk disampaikan kepada Sumayyah, insan yang disayangi itu.

Sumayyah ternanti-nanti jawapan dari Sufian. Semakin berdebar apabila melihat Sufian berkelakuan begitu. Dia cuba menenangkan diri dan sabar menanti.

“Sufian, kenapa awak diam? Apa awak nak sampaikan pada saya?”

Huh.. Sufian melepaskan nafas kecil. Dia kembali duduk seperti tadi, bersedia untuk menyampaikan satu berita kepada Sumayyah.

‘Ya Allah, aku berserah segala pada-Mu.’ Doa dipanjatkan dalam hati Sufian.

Dia memberanikan diri memandang kepada Sumayyah juga, gadis yang sudah pasti diselubungi 1001 tanda tanya sejak semalam. Dia yakin pasti itulah yang dialami Sumayyah sebab dia tak pernah begitu dengan Sumayyah selama setahun perkenalan mereka.

“Sumayyah, mungkin apa yang saya nak bagitahu nanti berat untuk awak. Tapi saya minta maaf sangat Sumayyah, ini terbaik untuk kita.”

“Sufian… Apa awak nak sampaikan ni?” Wajah Sumayyah mulai berubah. Mereka saling berpandangan.

Disebabkan tak berdaya Sufian menatap lama wajah Sumayyah selepas ini, dia menundukkan kepala.

“Kita putuskan pertunangan kita. Maafkan saya Sumayyah. Maafkan saya.”

Terpana Sumayyah mendengar ungkapan dari Sufian. Apakah dia tersalah dengar? Apakah dia di alam mimpi?

“Apa semua ni Sufian? Kenapa tiba-tiba awak nak putuskan hubungan kita?”

“Tolong maafkan saya. Saya ada sebab buat keputusan ni. Dah seminggu saya fikirkan sebelum buat keputusan ni. Tolong sampaikan kemaafan saya juga kepada mak dan ayah awak. InsyaAllah saya akan datang ke rumah awak. Sebagaimana saya datang cara baik, saya juga nak ia berakhir dengan baik.”

“No! Tak perlu! Terima kasih untuk semua ni. Assalamualaikum.”

 

——————————–

3 tahun kemudian.

“Adik-adik sayang, kakak mohon jagalah hatimu.

Adik, kamu semua tahu merindui lelaki ajnabi itu dosa. Tapi kenapa dibiarkan diri melayan rindu tu? Kamu tahu cintakan ajnabi itu dosa, habis tu kenapa dibiarkan cinta itu berkuasa?

Adik, kalau perhati betul-betul, kita buat macam tu seperti kita membakar dan mencalit dosa pada diri sendiri. Sengaja buat. Sengaja kotorkan diri. Sengaja humbankan diri sendiri ke neraka.

Allahu adik… akak nasihatkan macam ni sebab akak tak nak adik terus terpalit dosa.

Kita ni macam debu je. Buat ibadah macam-macam, buat amalan sunat, cakap benda baik tapi cinta kita kepada yang haram. Rindu kita kepada yang haram. Jadi macam mana tu Allah nak terima semua amal ibadah kita, dik?”

“Sebelum berpisah, nasihat terakhir akak kepada adik-adik bidadari syurga, kisah seorang gadis yang sedar dia berdosa mencintai seorang ajnabi. Suatu malam hatinya tiba-tiba je berdebar tersangat kuat, hati tak tenang sangat.

Ketika itu adik tahu dia tengah buat apa?

Dia tengah bermesej dengan lelaki yang dia cintai. Tapi sebab Allah campakkan rasa takut dan hati berdebar tu, dia berhenti mesej terus.

Bukan itu je, dia terus minta putus. Dia tersedar, dia dah tersilap langkah. Terus dihentikan perbuatan dosa tu.

Sedih memang sedih tapi dia sangat yakin Allah pasti nak beri sesuatu. Dia bertaubat nak jaga hati dan dirinya. Dia sesali silap mencintai manusia melebihi Allah swt. Untuk melupakan semua, dia bawa diri, lebih mendekatkan diri pada Allah swt.

Tidak lama kemudian, ada seorang lelaki datang melamarnya. Lelaki soleh, baik akhlak dan indah rupanya. Dengan izin Allah swt, mereka menikah selepas 2 bulan dilamar. SubhanaAllah. . Itulah jalan hidayah gadis itu. Jalan hidayah kita juga ada. Cuma bila dah tersedar buat silap, segeralah minta ampun pada Allah swt.

Nampak tak dik, bila kita mendekati Allah, sesali silap dan dosa kita, Dia gerenti beri balasan terindah kat kita. Yakinlah!

Tinggalkanlah semua yang melalaikan adik dari cinta Allah swt. Tinggalkanlah semua itu demi Allah. Akak yakin Allah akan beri pahala berganda-ganda kat adik di jalan mujahadah.”

 

———————————–

“Mubarak isteriku, akhirnya impian sayang tercapai nak curahkan ilmu kepada adik-adik remaja. Abang sentiasa menyokong dan mendoakan sayang.” Ucap Muhaimin selepas Sumayyah selesai memberi talk di program sahsiah remaja.

Mereka berjalan beriringan menuju ke ruang makan yang disediakan pihak penganjur.

“Alhamdulillah. Berkat berjodoh dengan abang, berkat menjadi isteri abang. Hehe.”

“Alhamdulillah… Nanti sayang nak pergi kelas pengajian mana-mana lagi, bagitahu je abang. InsyaAllah abang boleh daftarkan. Abang memberi kat sayang cara macam ni dan sayang curahkan ilmu tu kepada orang lain. Tingkatkan ilmu dan beri kefahaman pada orang ramai.”

“Ya betul abang. Terima kasih didik sayang hingga jadi macam hari ini. Syukur tersangat syukur kepada Tuhan dipertemukan dengan abang.”

Sumayyah hari ini mampu tersenyum indah. Atas perpisahannya dengan Sufian 3 tahun dulu, Allah memberikan ganti yang sangat berharga dan bermakna dalam hidupnya. Dikurniakan suami bernama Muhaimin, berusaha sedaya mungkin mendidik dirinya dengan ilmu.

Itulah Allah swt. Apabila Dia menarik sesuatu kerana Dia tahu itu tidak baik kepada hamba-Nya. Apabila Dia menarik sesuatu, juga kerana Dia mahu berikan ganti yang jauh lebih baik dari sebelumnya. Itulah cara Allah swt mempamerkan kasih sayangnya.

Alhamdulillah thumma alhamdulillah.

 

“Selalu percaya, disaat dikau sedang mencongak kebaikan disebalik kesakitan, bahkan sebenarnya Dia sudah bersedia ingin bentangkan segunung bahagia padamu. Nantikan saja ‘hadiah’ dari-Nya.” -Balqis Sanusi-