Cerpen: Dakwah Seekor Nyamuk

Miefa Mohar / March 9, 2018, 12:03:31 pm

3.30 petang. Kelas ekonomi baru sahaja selesai. Baihaqi menunggu seisi kelas reda barulah dia bergerak menghampiri pensyarah yang masih mengemas barang. Dia bertanya beberapa soalan berkenaan pelajaran yang baru sahaja diajar agar dapat memahaminya dengan lebih baik. 15 minit berlalu. Akhirnya pensyarah itu keluar dan Baihaqi mengiringinya sehingga ke satu persimpangan.

 

Cadangnya, Baihaqi hanya mahu terus pulang tanpa singgah dimana mana. Tapi perutnya yang lapar membawa haluan kakinya ke arah kafe. Lauk tengahari tadi masih bersisa. Baihaqi menyenduk nasi ke dalam pembungkus makanan berwarna coklat kemudian menyelusuri perlahan meja buffet itu untuk memilih lauk. 10 minit kemudian, Baihaqi melangkah keluar dari kafe dengan sebungkus nasi campur berharga RM 6.

 

Dalam perjalanan pulang, dia terserempak dengan seorang rakan, Amirul.

 

“Eh Baihaqi, assalamualaikum! Lama tak jumpa kau.”

 

“Waalaikumussalam. Haah, nama je satu fakulti tapi bukan main susah nak nampak batang hidung.”

 

“Kau nak pergi mana ni? Dah habis kelas ke?”

 

“Aku nak baliklah ni. Dah habis kelas dah. Kau?”

 

“Aku ada kelas lagi pukul 4 ni. Dan aku dah lambat sebenarnya. Eh nanti kalau nak lepak, bagitahulah aku tau! Aku gerak dulu, assalamualaikum.”

 

Kemudian Baihaqi meneruskan perjalanan pulangnya. Dia menunggu bas di perhentian bas berhadapan dengan fakultinya. Setelah jarum jam menginjak ke pukul 4.15 barulah sebuah bas berwarna biru menghampiri perhentian bas itu. Jarak dari fakulti ke perhentian bas rumah sewanya tidak jauh. Hanya mengambil masa lebih kurang 7 minit sahaja. Sampai sahaja di perhentian bas rumah sewanya, Baihaqi berjalan dengan tenang. Udara petang dihirup perlahan sambil mengatur langkah pulang ke rumah sewanya. Jam menunjukkan angka 4.30 petang.

 

‘Sempat lagi ni.’ bisik hati Baihaqi.

 

Sampai di persimpangan rumahnya, barulah Baihaqi melajukan langkah, hampir berlari. Sampai sahaja di hadapan pintu pagar, dia dengan pantas mengeluarkan kunci. Langkahnya kelam-kabut. Masuk ke dalam rumah, beg dicampak merata dan kakinya melangkah ke bilik air. Matanya sempat menjeling ke jam dinding di ruangtamu. 4.40.

 

Pili air dibuka kasar, air disimbah rakus mengenai wajah, tangan, kepala dan kaki. Sejadah dibentang dan takbir diangkat selaju yang mungkin. 3 minit kemudian, salam pertama diberi. Serentak dengan itu, kedengaran azan Asar berkumandang.

 

“Solat hujung waktu lagi ke, Qi?” Isa, rakan serumah Baihaqi muncul dari arah biliknya sambil memegang sebiji mug kosong untuk dibawa ke dapur. Baihaqi tidak menjawab. Dia segera bangkit untuk menunaikan solat Asar pula. Mujur sempat selesai solat Zuhur tadi. Tidak perlu diqadha’ kan.

 

Selesai solat Asar, Baihaqi baring-baring di atas katilnya sambil bermain aplikasi permainan di telefonnya. Wajah Isa terjengul di muka pintu biliknya.

 

“Qi, kau dah makan ke? Jom makan.” Baihaqi menjeling jam di telefon. 6.30 petang. Patutlah perutnya berbunyi. Makanan yang dibeli tadi belum sempat dijamah.

 

“Belum. Kau ada makanan ke? Aku dah beli tadi nasi untuk aku.”

 

“Ada. Aku masak yang mudah je. Ikan goreng dengan air asam je.”

 

“Adui, yang mudah tu buat aku kecur air liur lah pula. Nak sikit hehe.” dengan muka tidak malu, Baihaqi meminta. Isa menolak bahunya.

 

“Kau kan dah beli makanan. Sibuk je nak mengendeng kat makanan aku!”

 

Petang itu makan malam Baihaqi hanya ditemani Isa tapi disulam gelak tawa yang berterusan sehingga satu ketika salah seorang dari mereka tersedak kerana terlalu banyak ketawa sambil mengunyah makanan. Waktu terus berlalu. Selepas makan, Baihaqi menonton drama pukul 7 di TV3. Leka menonton, tak sedar waktu yang berlalu. Sewaktu azan Maghrib berkumandang di televisyen, Baihaqi hanya buat tidak tahu dan meneruskan aktivitinya selepas itu.

 

8.00 malam. Baihaqi melangkah masuk ke dalam biliknya dan baring menghadap siling. Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi berdengung. Ditepis. Hilang seketika tapi bunyi itu datang lagi. Tangannya menepis lagi sekali. Serangga kecil itu tetap mahu berlegar-legar di sekitar telinga Baihaqi. Dengan perasaan geram, Baihaqi bangkit dan mengambil penyembur nyamuk untuk menghapuskan gangguan kecil itu. Tidak menyakitkan, tapi menjengkelkan. Kemudian, Baihaqi menyambung pembaringannya tanpa ada rasa bersalah walaupun belum menunaikan solat Maghrib. Tanpa sedar, akhirnya Baihaqi tertidur.

 

***

“Dia dah baring tu. Abang, pergi cepat jalankan tugas!” gesa Midah.

 

“Ish, sabar kejap. Abang takut. Adik lah pergi.” Imbam menyuruh adiknya pula.

 

“Abang, jangan buang masa. Abang kena tunjuk contoh yang baik kat adik. Cepatlah abang. Masa berjalan ni.”

 

Imbam memberanikan diri menghampiri jasad itu. Berdekatan dengan satu lubang, Imbam menjerit.

 

“Bangun! Pergi solat Maghrib lah woi! Bangun, bangun!” sebuah tapak tangan yang besar dikibas kibas sekeliling kawasan itu. Imbam ketakutan lantas melarikan diri.

 

Kemudian, apabila suasana reda, Imbam menghampiri lagi. Dialog yang sama dilaungkan dengan nada yang lebih kuat. Sekali lagi, Imbam lari ketakutan apabila dirinya bakal diserang.

 

“Adik, abang takutlah. Adik pula pergi. Tolonglah. Kita gilir-gilir eh?” Imbam merayu. Midah mendengus.

 

“Baiklah. Abang tunggu sini!” Midah menghampiri kawasan kejadian. Nafas ditarik dalam.

 

“BANGUN! BANGUN! SOLAT MAGHRIB! LEBIH BAIK KAU CEPAT BANGUN SEBELUM WAKTU HABIS!” Kali ini, tapak tangan besar itu tidak dikibas kibas tapi tubuh itu bangkit dan mengambil satu botol yang cukup dikenali Imbam dan Midah.

 

“Lari!!!!!!!!!!!!!!!!” Imbam dan Midah terbang tidak tentu haluan ingin menyelamatkan diri. Akhirnya, mereka menemui tempat persembunyian yang selamat. Beberapa minit juga mereka meredakan perasaan berdebar yang melampau itu. Imbam menoleh ke arah Midah. Midah kelihatan lelah. Nafasnya tidak teratur dan dadanya turun naik dengan pantas. Imbam risau.

 

“Adik? Adik, kenapa ni? Bangunlah. Adik!” Imbam mencuit-cuit tubuh adiknya. Midah tidak bergerak. Sayapnya yang tadi terkibas laju kini mulai perlahan dan akhirnya berhenti.

 

“Adik, kau tewas di jalan-Nya. Takpalah, dik. Inilah pengakhiran yang terbaik untuk kau. Abang akan teruskan perjuangan kita. Abang takkan mengalah!” Imbam segera terbang dengan semangat yang berkobar. Takkan dipersiakan kematian adiknya di jalan dakwah itu.

 

***

Baihaqi merasa terganggu oleh suatu bunyi yang menjengkelkan.

 

“Ish nyamuk ni! Aku dah sembur tadi, masih ada lagi.” Dalam mamainya, Baihaqi mengomel. Matanya masih terpejam dan kemudian dia kembali senyap. Tapi kesunyian itu tidak lama. Nyamuk itu masih berlegar-legar di telinga Baihaqi dan mendengungkan irama yang tidak menyedapkan halwa telinga. Akhirnya Baihaqi tewas. Telefon bimbitnya dicapai untuk melihat waktu. 8.30! Isyak masuk pada jam 8.40 malam. Segera Baihaqi bangkit dari pembaringan dan lari dengan kadar maksimum menuju ke bilik air.

 

Usai menunaikan solat fardhu yang terakhir untuk hari itu, Baihaqi berteleku seketika di atas sejadah. Sekadar termenung kosong. Fikirannya menerawang.

 

“Tadi masa aku tidur bukan main banyak nyamuk bising kat telinga aku. Sekarang ni takda apa pula. Agaknya…” Baihaqi terhenti sejenak sebelum menyambung.

 

“Agaknya nyamuk tu dihantar oleh Tuhan untuk ingatkan aku solat kut. Nasib baik sempat sebelum masuk Isyak. Fuh.” Baihaqi bangkit dan melipat sejadahnya. Sebelum menutup lampu bilik dan melangkah keluar, Baihaqi menoleh dan tersenyum.

 

‘Terima kasih, nyamuk. Dakwah kau berjaya.’ bisik hati Baihaqi.

 

***

“Alhamdulillah. Midah, abang dah kata abang takkan sia-siakan pemergianmu. Aku akan terus berdakwah meski aku hanya seekor nyamuk!”