Buat Baik Digandakan Sepuluh, Buat Jahat?

Hakim Darno / May 3, 2018, 10:05:33 am

Pendahuluan

 

Manusia secara fitrahnya suka melakukan kebaikan. Suka tolong orang susah. Suka sedekah orang miskin. Suka gembirakan orang yang sedih. Suka mudahkan orang yang sukar.

 

Sebaliknya ada juga manusia yang suka melakukan kejahatan. Suka menipu, mencuri, merompak, merogol, membunuh dan sebagainya.

 

Jadi buat baik merupakan pilihan kita.

 

Kita kena faham bahawa setiap orang boleh buat baik. Tidak perlu menunggu diri menjadi sempurna. Tunggu jadi orang ternama baru nak tolong orang susah, tunggu kaya baru nak sedekah, tunggu jadi ustaz baru nak nasihat dan tunggu jadi macam-macam lagi barulah nak buat baik.

 

Teringat kata-kata orang yang bijaksana,

 

Orang berbuat baik dibalas baik adalah perkara biasa, orang berbuat jahat dibalas jahat lagi lah biasa, orang berbuat baik dibalas jahat juga biasa tetapi orang berbuat jahat tetapi dibalas baik adalah luar biasa. Itu lah manusia budiman.

 

Itulah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

 

Baginda tidak pernah membalas segala kejahatan yang dilakukan terhadap baginda.

 

 

Orang Yang Bahagia Adalah Orang Yang Buat Baik

 

Sebenarnya kita kena tahu bahawa orang yang buat baik adalah orang yang bahagia. Bukan sahaja bahagia di dunia tetapi bahagia juga di akhirat.

 

 

Firman Allah SWT :

Sesiapa yang datang membawa amal kebajikan (yang telah dikerjakannya) maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh aman sentosa daripada kejadian-kejadian yang mengerikan pada hari kiamat itu. Surah al-Naml (27) : 89.

 

Ketika Hari Kiamat nanti, manusia akan terbahagi kepada dua golongan iaitu orang yang bahagia dan orang yang celaka.

 

Siapakah orang yang bahagia?

 

Orang yang bahagia adalah orang-orang beriman yang melakukan amal soleh. Jika kita beriman dan melakukan amal soleh ketika di dunia, maka kita akan mendapat pahala yang besar.

 

Siapakah orang yang celaka?

 

Orang yang celaka adalah orang-orang kafir, orang-orang yang melakukan maksiat dan seumpama dengannya. Mereka akan dilemparkan ke dalam api neraka dalam keadaan wajah mereka dahulu sambil dikatakan kepada mereka, “Inilah balasan amal perbuatan kalian”.

 

Cuba kita bayangkan sebentar.

 

Jika kita naik motor, kemudian ditakdirkan kita jatuh dan muka kita dahulu yang mencium jalan raya? “Huh”. Tak dapat bayangkan sakitnya. Inikan pula di dalam api neraka.

 

Rahmatnya Allah

 

Firman Allah SWT :

Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun). Surah al-An’am (6) : 160.

 

Menurut ulama tafsir, ayat ini ada kaitan dengan ayat yang saya sebutkan sebelum ini.

 

“Orang yang melakukan kebaikan akan mendapat balasan yang lebih baik daripadanya…”

 

Apakah balasan yang lebih baik itu?

 

Barang siapa yang melakukan satu kebaikan, dia akan mendapat sepuluh kali ganda pahala. Malah boleh jadi sehingga tujuh ratus kali ganda atau berganda-ganda lagi mengikut kehendak Allah SWT.

 

Saya berikan contoh mudah, jika kita sedekah RM1, maka Allah akan beri kita RM10. Jika kita sedekah RM10, maka Allah akan beri kita RM100 dan begitulah seterusnya.

 

Tetapi kebaikan itu tidak semestinya dengan duit, ini hanya sekadar contoh untuk kita mudah faham.

 

Jika satu kebaikan Allah gandakan sepuluh pahala, kalau satu kejahatan pula bagaimana? Adakah Allah gandakan juga?

 

Tidak!

 

Ayat ini beritahu kita bahawa jika kita melakukan satu kejahatan, maka kita akan ditulis  melakukan satu kejahatan sahaja. Inilah bukti betapa Allah sangat mengasihi hambanya.

 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata,

Rasulullah SAW bersabda, Allah Azza Wa Jalla berfirman, ‘Apabila seorang hamba-Ku berkira-kira (dalam dirinya) untuk melakukan kebaikan, maka Aku tuliskan baginya kebaikan walaupun dia masih belum mengamalkannya. Apabila dia telah mengamalkannya, maka Aku tuliskan baginya sepuluh kali ganda yang serupa dengannya. Apabila dia berkira-kira untuk melakukan kejahatan, maka Aku mengampuninya selagi mana dia belum mengamalkannya. Apabila dia telah mengamalkannya, maka Aku tuliskan baginya kesalahan yang serupa dengannya.’

Rasulullah SAW bersabda lagi, ‘Para malaikat berkata, wahai Tuhanku, itulah hamba-Mu yang ingin melakukan kejahatan,’ sedangkan Dia mengetahui perkara tersebut, lalu berfirman, ‘Awasilah dia, jika dia melakukannya, maka tulislah baginya suatu kesalahan yang serupa dengannya. Jika dia meninggalkannya, maka tulislah ia baginya suatu kebaikan. Sesungguhnya ia meninggalkannya kerana-Ku.’

Baginda bersabda, ‘Apabila salah seorang dalam kalangan kalian yang baik Islamnya, maka setiap kebaikan yang dikerjakannya ditulis dengan sepuluh sehingga 700 kali ganda, dan setiap kejahatan yang dikerjakannya ditulis dengan kejahatan yang serupa (tanpa digandakan) sehinggalah dia bertemu Allah,’” Riwayat Muslim.

 

Kesimpulan

 

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir, para ulama telah mengkaji tentang keadaan orang yang meninggalkan maksiat dan menyimpulkan bahawa mereka ini terbahagi kepada tiga kategori.

 

Pertama, kadang-kadang dia meninggalkannya kerana Allah SWT. Ini ditulis baginya satu kebaikan kerana dia meninggalkan kejahatan itu semata-mata kerana Allah.

 

Contoh, seseorang yang ada niat mencuri, tiba-tiba teringat dengan azab api neraka, jadi dia tidak jadi mencuri kerana takut dengan azab Allah yang sangat pedih. Maka dia akan mendapat satu pahala.

 

Kedua, kadang-kadang dia meninggalkannya kerana lupa atau lengah. Dalam keadaan ini, dia tidak mendapatkan pahala atau dosa sebab dia tidak meniatkan suatu kebaikan dan tidak pula melakukan satu kejahatan.

 

Contoh, seseorang yang ada niat mencuri, kemudian dia terlupa atau pun tertidur, maka dia tidak akan mendapat apa-apa sama ada dosa atau pun pahala. Tidak dapat pahala sebab dia tidak niat untuk melakukan kebaikan. Tidak dapat dosa sebab dia tidak melakukan sebarang kejahatan.

 

Ketiga, kadang-kadang dia meninggalkannya kerana tidak mampu melakukan atau malas setelah berusaha melakukan namun tetap tidak berjaya. Perbuatan ini dikira telah melakukan kejahatan tersebut.

 

Contoh, seseorang yang ada niat mencuri, dalam usaha dia nak mencuri itu tiba-tiba ada ramai orang atau pun ada orang yang jaga, setelah dia berusaha pelbagai cara untuk mencuri, tetapi tidak berjaya lalu dia pun balik, maka dia dikira telah melakukan kejahatan tersebut.