Bila Kamu Jauh Dari-Nya

Afdholul Rahman Che Ani / June 3, 2017, 00:06:48 am

Pernahkah hidup kita terasa begitu suram sekali?

Pernahkah hidup kita terasa begitu kosong, sia-sia tanpa ada makna?

Maka, apakah pernah kita duduk seketika memeriksa kenapa sampai boleh terjadi perkara sebegitu pada diri kita?

Hidup terasa kosong kadangkala bukan kerana kita tidak buat apa-apa, bahkan kita melakukan pelbagai perkara. Kita bekerja, kita belajar, kita ke sana, kita ke sini, kita sibuk dengan program itu ini, banyak perkara yang kita lakukan sepanjang hari kita.

Bukanlah kosong itu disebabkan oleh kita tidak buat apa-apa, kita telah melakukan pelbagai perkara, tetapi kadangkala apa yang telah kita lakukan itu seolah-olah tidak memberi makna apa-apa pada diri kita.

Ada masa-masa pula, kita pernah memperoleh suatu kejayaan yang besar dalam hidup, tetapi kejayaan itu seolah-olah tidak ada makna besar dalam hidup kita. Diberi anugerah sebagai pengarah syarikat terbaik ataupun pekerja syarikat terbaik atau pelajar cemerlang, tetapi kadangkala semua itu gagal membuatkan hati kita merasa tenang.

Kenapa?

 

Barangkali Kerana Jauhnya Kita Dari Allah

Mungkin kerana jauhnya diri kita dari Allah menyebabkan kita terasa kehidupan ini kosong dari makna.

Apakah yang membuatkan kehidupan ini lebih hilang sinarnya berbanding jauhnya kita daripada Pemilik sebenar kehidupan kita ini, iaitu Allah Azz Wajalla?

Allah s.w.t. yang memberikan kehidupan ini kepada kita, maka Allah s.w.t. jugalah yang tahu apakah yang terbaik untuk kita. Sebab itu, bila kita menjauh dari Allah s.w.t., kita kehilangan panduan dalam mencari penyelesaian terbaik bagi segala masalah dalam hidup kita.

Bisa saja kita temui kebaikan dalam kesusahan dan kedukacitaan yang kita hadapi, tetapi bila kita jauh dari Allah s.w.t., maka tidaklah kesusahan dan kedukacitaan itu melainkan hanya semata-mata menjadi penghalang dan pembantut untuk kita berkembang maju dalam hidup.

Kita boleh beralasan dengan kesusahan dan kepayahan hidup, tetapi bila jiwa kita dekat dengan Allah s.w.t., maka kesusahan dan kepayahan hidup tidaklah menjadi alasan untuk kita sentiasa bergerak memperbaiki diri kita.

Begitu juga segala anugerah dan nikmat yang kita perolehi dalam hidup. Ramai orang yang menjadi alpa dan leka bila mendapatkan pelbagai anugerah dalam hidup, tak kurang juga ramai orang yang mencari makna hidup di sebalik banyaknya kejayaan yang dia perolehi. Tetapi orang yang dekat hatinya dengan Allah s.w.t., segala anugerah, rahmat dan nikmat yang dimilikinya tidak lain hanyalah sebagai pemangkin untuk dia lebih taat dan tunduk kepada Allah s.w.t.

 

Bila Jauh Dari Allah, Kita Terdedah Kepada Kelemahan

Sejarah ummat terdahulu telah membuktikan bahawa manusia mana pun yang jauh daripada Allah s.w.t., dia terdedah kepada ancaman dan kelemahan dalam hidup.

Firaun, bukan sekadar jauh daripada Allah, bahkan mengaku sebagai Tuhan pula, telah ditenggelamkan dalam belahan air laut oleh tongkat Nabi Musa.

Qarun yang berbangga dengan banyaknya harta dan anak kunci kepada gedung-gedung hartanya sehingga telah melalaikan dia daripada Allah s.w.t. akhirnya dimusnahkan dengan diterbalikkan bumi ke atasnya.

Kaum Nabi Luth yang terlibat dengan homoseksual yang luar daripada tabii, telah dihancurkan dengan diterbalikkan bumi ke atas kaum itu.

Kaum Nabi Nuh yang menolak dakwah Nabi Nuh, menyebabkan mereka musnah dalam banjir besar yang Allah datangkan kepada mereka.

Kaum Musyrikin Makkah yang dapat ditewaskan dalam Perang Badar kerana perbuatan mereka yang bukan sekadar tidak menerima dakwah Nabi s.a.w., malah mencaci dan menindasnya pula. Sehinggalah dengan tindakan mereka itu serta kuatnya hubungan mukmin dengan Allah ketika itu menyebabkan Allah menghantar ribuan malaikat untuk membantu orang-orang beriman.

Ada banyak lagi contoh daripada generasi terdahulu yang apabila menjauh saja mereka daripada Allah s.w.t., maka mereka terdedah kepada banyak kelemahan dan kekurangan.

Benar. Kita ini manusia, tidak punya satu apa kekuatan pun melainkan semuanya dimiliki oleh Allah s.w.t. Segala kemampuan, keupayaan dan kekuatan untuk melakukan pelbagai perkara pada hari ini semuanya hanyalah pinjaman sahaja. Allah yang memberinya, maka Allah boleh menariknya pada bila-bila masa saja.

Begitulah contoh yang telah ditunjukkan melalui generasi terdahulu yang telah dibinasakan oleh Allah s.w.t. Bila mereka jauh dari Allah s.w.t., maka mereka lemah selemah-lemahnya.

Tidak ada kekuatan apapun yang dapat melindungi mereka daripada azab Allah s.w.t. setelah mereka menjauh dari Allah s.w.t.

 

Penutup : Makna Hidup Terletak Pada Jujurnya Kita Kepada-Nya, Kembalilah Merapat Pada-Nya

Sebab itu, kembalilah memerika hubungan kita dengan Allah s.w.t. bila kita dilanda masalah, terasa hidup kosong tidak ada makna, bila hidup terasa suram, bila kegembiraan semakin menyebabkan kita lalai kepada Allah.

Tidak ada makna lebih besar dalam hidup ini untuk dijadikan sebagai bekal pulang bertemu-Nya melainkan jujurnya kita dalam hubungan dengan-Nya.

Kalau kita benar-benar jujur terhadap hubungan kita dengan Allah s.w.t., maka kita akan selalu bermuhasabah melihat di manakah kedudukan kita di hadapan Allah s.w.t. pada hari ini?

Apakah semakin dekat atau semakin jauh?

Kadangkala kita dilanda masalah adalah kerana buruknya hubungan kita dengan Allah s.w.t.

Kadangkala hidup kita terasa suram adalah kerana permulaan hari kita yang telah mengabaikan ketaatan kepada-Nya.

Kadangkala kegembiraan jadi tidak begitu bermakna kerana jauhnya kita daripada Dia.

Periksalah kembali hubungan kita dengan-Nya. Bila terasa jauh, kembalilah merapat. Bila terasa masih sambilewa dengan-Nya, maka kembalilah bersungguh-sungguh.

Hidup ini tidak ada makna bila kita jauh daripada-Nya. Biarlah sebesar apapun kejayaan yang kita ada pada hari ini, tetapi kalau kita jauh dari Allah s.w.t., tiadalah kejayaan itu bernilai apapun di sisi Allah s.w.t.

Satu hari nanti, kita akan kembali kepada-Nya. Apakah ketika itu, segala apa yang kita miliki dan telah lakukan dalam kehidupan ini mampu membantu kita di depan-Nya?

Muhasabah. Kembalilah merapat !