Bila Kali Terakhir Tahajudmu?

Afdholul Rahman Che Ani / June 3, 2017, 00:06:47 am

Pada malam, ada kekuatan dan kemanisannya yang tersendiri.

Ia manis bukan kerana manusia bebas mahu melakukan semahunya di kegelapan yang tidak dilihat oleh orang.

Di mata yang tidak melihat, ada Allah yang sentiasa menilai kerja buat.

Di malam yang gelap, kata-kata menjadi lebih tepat dan lebih kuat panahannya ke jiwa.

Di malam yang gelap, ada kekuatan sejati yang menjadi inspirasi terbangunnya jiwa-jiwa Rabbani.

Di malam yang gelap, sebelum Subuh yang damai, yang tidak terlihat di mata orang, amal-amal yang tidak terpandang akan benar-benar menjadi bekal kekuatan yang sepanjang kehidupan jika ikhlasnya tersembunyi dan terpelihara di jiwa yang dalam.

Tahajud menjadi manis ketika jiwa insan penuh sesak dihimpit dugaan dan ujian. Saat itu, kita tidak pernah jemu menjadikan malam sebagai teman akrab kita kerana di situ kita temui kelazatan berbicara dengan nada penuh ketundukan kepada Allah azza wajall.

Namun, tahajud kian berkurang manisnya ketika hidup kita penuh kelapangan, tiada badai yang mengayun-ayunkan kita, tiada taufan yang datang menerpa pada kita, yang ada hanyalah ujian masa yang banyak, harta yang melimpah, kedudukan yang bagus, urusan hidup yang berjalan seakan-akan lancar saja semuanya. Ketika itu, hampir-hampir tahajud tidak ada lagi dalam senarai penting hidup kita.

Malam telah kehilangan kita sebagai temannya. Dan kita pun tidak merasa apa-apa lagi apabila meninggalkan tahajud di sepertiga malam.

 

Bilakah Kali Terakhir Tahajudmu?

Pernah ditanya kepada Hasan Al-Basri : “Wahai Abu Said, sesungguhnya aku dulu dapat bangun malam dengan baik, aku cintakan qiyamullail, dan aku mempersiapkan kesucian diriku. Lalu kenapa sekarang aku tidak dapat bangun lagi?”

“Dosamu,” jawab Hasan Al-Basri, “…telah mengikat dirimu.”

Bilakah kali terakhir kita bangun untuk bertahajjud?

Semalam? Seminggu lepas? Sebulan lepas? Setahun lepas?

Apa khabarkah pula dengan amal Subuh kita? Masihkah lagi berjemaah untuk terus mendapatkan janji Allah yang meletakkan orang-orang yang menunaikan Subuh berjemaah di bawah lindungan-Nya?

Atau hati kita tidak lagi merasai akan kegentingan sebuah iman ketika Nabi s.a.w. membuat pemisahan antara orang mukmin dan munafik lewat sebuah solat Subuh?

Hidup kita menjadi penuh meriah dengan saban hari dengan isu demi isu yang menanggapi hidup kita. Facebook dan maya menjadi tempat kita berpencak komen dan pendapat yang tidak berkesudahan. Kata-kata kita menjadi bertaburan banyak, begitu juga nasihat dakwah bertaburan melata, tetapi seakan-akan telah hilang seni kekuatannya, berjaya menambat telinga yang mendengar, tetapi hampir hilang ketajaman kesannya ke dalam jiwa kita sendiri

Sebahagian kita mendakwa mempertahankan imej Islam, berjuang atas nama Islam, tetapi melalui hatinya yang saban hari tawar dari kekuatan ruhiyah sebuah tahajud.

Alangkah terpandangnya dirimu di hadapan manusia dengan gelaran ‘muslim’, ‘pendakwah’ dan sebagainya, namun hatimu sendiri di hadapan Allah sedang kering, sakit dan terkapai kelemasan dalam kelalaian.

Alangkah terpandangnya dirimu yang memiliki kedudukan yang hebat, harta yang banyak, kerja yang bagus-bagus, namun keterperdayaan kepada dunia telah mengikat jiwamu dari berkeinginan untuk menambah baik lagi amalmu tanda mensyukuri anugerah-Nya.

Alangkah terpandangnya dirimu sebagai para kader dakwah yang berada dalam sebuah harakah Islam, bersabung kata dan pesanan tarbiyah dan dakwah di bibirmu, di dalam usrah dan ijtima’mu, di dalam tamrin dan muktamarmu, namun kau cuaikan doa qiamullail dan zikir tahajjud dalam hidupmu.

 

Wahai Yang Lemah Jiwanya, Bangunlah !

As-Syafie membahagikan malamnya kepada 3 bahagian. 1/3 untuk menulis, 1/3 untuk solat, 1/3 untuk tidur.

Imam Abi Ubaid, Al-Hafiz Al-Hashiri Jaafar bin Ahmad An-Naisaburi dan Abu Zaid Al-Ansori juga membahagikan semisal itu.

Tidak hanya itu. Ketika Nabi s.a.w. menerima arahan awal untuk dakwah, ayat terawal selepas ayat iqra’ adalah ayat qiamullail, ayat bangun malam.

Di awal dakwah, qiamullail adalah sebuah kewajipan. Termasuk untuk para sahabat Nabi s.a.w. sehinggalah dimansuhkan kewajipan itu kemudiannya untuk para sahabat dan ummat. Kerana beratnya beban dakwah, beratnya tanggungan kalimah seruan Islam dan iman dalam jiwa insan, maka bekal yang diperlukan harus besar juga untuk dapat menampung beban itu.

Islam dan iman boleh dimiliki oleh sesiapa saja, tetapi untuk bertanggungjawab terhadap kalimah itu, ia tidak mungkin dapat digalas oleh mereka yang jiwanya lemah, cepat mengalah, cepat terasa lelah dengan ujian yang kecil.

Kalau baru dakwah sedikit, kemudian dikata dicaci maki disindir oleh seorang dua orang sudah membuatkan kita terasa hati, Nabi telah pernah dilempar dengan perut unta ketika solat, dilontar batu hanya kerana tidak menerima dakwahnya, ditohmah dengan tohmahan gila dan ahli sihir, dicela, dibunuh orang-orang kecintaannya.

Abu Bakar as-siddiq, yang terkenal baik di dalam masyarakatnya itu pun dipukul dihenyak teruk kerana membacakan Al-Quran di khalayak Quraisy.

Mus’ab bin Umair yang meninggalkan puja-puji orang kepada kekayaannya dulu itu lalu hidup sederhana apa adanya, hampir-hampir saja dibunuh ketika diacukan senjata di lehernya saat beliau menunaikan tanggungjawab dakwahnya di Madinah.

Inilah tanggungan sebuah kalimah keimanan. Ia berat pada tanggungannya, namun dengan bekal doa dan sujud di malam hari, ia menyuntik kekuatan untuk terus istiqamah di atas pendirian yang benar.

 

Penutup : Lambung Mereka Dari Tempat Tidur Mereka

Kita tidaklah akan menukar amal tahajud di malam hari yang sunat ini menjadi wajib. Tetapi mencuaikannya juga adalah tanda dari kelalaian dan iman yang mandul.

 “Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya.

 Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.” [HR Bukhari : no. 6502]

Peliharalah tahajjud atau qiamullail, berdoalah, menangislah, mengadulah, mintalah pada Allah di gelap pekat malam yang tidak terlihat untuk sebuah hati yang sentiasa bersinar bercahaya.

“Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya).” [As-Sajdah : 15-16]

 

————————–

Rujuk :

  • Sohih Bukhari
  • Risalah Al-Mustarsyidin, Harith Al-Muhasibi
  • Qimatuzzaman ‘Indal ‘Ulama’, Abd Fattah Abu Ghuddah