Belajar Tawakal Daripada 3 Manusia Pilihan Allah

Hakim Darno / July 2, 2018, 00:07:21 am

Makan Gaji Vs Kerja Sendiri

 

“Abang, sampai bila nak hidup macam ini? Hidup cukup-cukup makan je.”

 

“Kenapa, awak dah tak tahan ke hidup dengan saya? Awak menyesal ke kahwin dengan saya?”

 

“Bukan macam tu, bila kerja sendiri ini, kadang-kadang cukup dan kadang-kadang tidak. Abang cubalah makan gaji.”

 

“Awak ni kan, saya dah beritahu awal-awal dulu, saya dah nekad untuk kerja sendiri, memanglah sekarang agak susah, saya tahu kadang cukup dan kadang tidak, tapi awak bersabarlah sikit. Awak tak percaya dengan rezeki Allah ke?”

 

“Percaya je.”

 

“Dahlah, kalau awak tak sokong saya pun tak apalah, tapi tolong jangan tanya lagi perkara ini, saya tertekan tahu tak? Sepatutnya awak beri sokongan padu kepada saya, ini tidak, asyik nak tekan saya je, dahlah malas layan awak ni.”

 

Inilah antara dilema yang sering menghantui pasangan yang baru kahwin. Berdasarkan pemerhatian rambang saya, kebanyakan isteri mempunyai gaji yang lebih tinggi dan tetap berbanding suami.

 

Para suami lebih suka bekerja sendiri kerana kebanyakan mereka tidak suka diarahkan oleh orang lain. Mereka suka menjadi bos. Mereka yang akan mengarahkan orang lain.

 

Tetapi mereka kena ingat bahawa memilih jalan ini bukanlah satu perkara yang mudah. Mereka kena betul-betul hadamkan satu perkara iaitu “Tawakal”.

 

 

Belajar Tawakal Daripada Nabi Ibrahim AS

 

Setelah kaum Nabi Ibrahim tidak mampu membalas hujah baginda, mereka telah memutuskan untuk mencampakkan baginda ke dalam api.

 

Ketua-ketua mereka berkata: Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!

 

Surah al-Anbiya’ (21) : 68.

 

Setelah mereka berjaya menghidupkan api yang sangat besar dengan membakar kayu-kayu yang telah dikumpulkan, mereka pun mencampakkan baginda menggunakan alat pelontar (manjaniq).

 

Malaikat Jibril AS ada menawarkan bantuan kepada baginda namun ditolak, baginda hanya menjawab “Cukuplah Allah SWT menjadi penolongku dan Allah SWT adalah sebaik-baik pelindung”.

Hadis Riwayat al-Bukhari (4563).

 

Hasilnya? Satu perkara yang tidak pernah terbayang dan di luar kemampuan manusia. Baginda keluar daripada api seolah-oleh seperti baru keluar daripada bilik mandi. Api tersebut tidak membakar kecuali tali yang mengikat tubuh baginda.

 

 

Belajar Tawakal Daripada Nabi Musa AS

 

Setelah Nabi Musa AS mengemukakan hujah dan bukti-bukti kebenaran-Nya kepada Firaun, mereka tetap sombong dan menentang baginda. Lalu Allah telah memerintahkan kepada baginda supaya membawa keluar Bani Israil daripada Mesir.

 

Nabi Musa bersama rombongannya pun keluar melarikan diri sehinggalah tiba waktu matahari terbit, Firaun bersama tenteranya berjaya mengejar Nabi Musa dan rombongan. Baginda telah menemui jalan mati. Firaun dan tenteranya sudah berada betul-betul di belakang mereka dan di hadapan mereka pula adalah laut yang terbentang luas.

 

Kaum Nabi Musa mula mengeluh, “Habislah kita. Kita akan berjaya ditangkap oleh Firaun”. Apabila Kaum Bani Israil mula menyalahkan baginda, baginda menjawab bahawa Allah bersama kita dan tidak akan meninggalkan kita.

 

Dan sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: Hendaklah engkau membawa hamba-hamba-Ku keluar mengembara, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh dan jangan pula engkau takut tenggelam.

 

Surah Taha (20) : 77.

 

Hasilnya? Satu perkara yang tidak pernah terbayang dan di luar kemampuan manusia. Setelah baginda mendapat wahyu untuk memukul laut menggunakan tongkatnya, laut pun terbelah dan setiap bahagian dari pecahan lautan itu bagaikan gunung besar. Baginda dan rombongannya selamat manakala Firaun dan tenteranya ditenggelamkan oleh Allah.

 

 

Belajar Tawakal Daripada Nabi Muhammad SAW

 

Setelah pelbagai usaha dilakukan untuk menggagalkan dakwah Nabi Muhammad SAW, orang kafir Quraish pun berazam untuk membunuh baginda. Lalu baginda pun mendapat perintah supaya berhijrah ke Madinah.

 

Sebelum itu, Ali Bin Abi Talib telah menawarkan diri untuk ganti tempat tidur baginda. Kemudian baginda pun keluar menuju ke Madinah bersama-sama dengan Abu Bakar al-Siddiq. Mereka keluar pada waktu malam dan melalui jalan yang tidak biasa dilalui oleh orang sehinggalah sampai ke Gua Tsur. Pada masa yang sama orang kafir Quraish bergegas mengerahkan orang ramai untuk mengejar baginda dan menawarkan hadiah yang lumayan. Akhirnya orang kafir Quraish berjaya juga  sampai di pintu Gua Tsur.

 

Pada waktu inilah Abu Bakar al-Siddiq telah melahirkan rasa bimbang tentang keselamatan mereka. Baginda pun memujuk Abu Bakar, “Jangan engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”

 

Surah al-Taubah (9) : 40.

 

 

Pelajaran Daripada Tiga Orang Rasul

 

Nabi Ibrahim AS mengajar kita bahawa tawakal itu merupakan pekerjaan hati dan bukannya pekerjaan fizikal. Mengikut logik akal, boleh sahaja baginda meminta Malaikat Jibril untuk memadamkan api tersebut. Tetapi baginda tidak mahu, kerana baginda tahu bahawa Jibril juga merupakan makhluk sama sepertinya. Jadi apa yang diperlukan pada saat itu hanyalah Allah SWT.

 

Kita boleh mencontohi Nabi Ibrahim AS dengan mengamalkan doa tersebut “Cukuplah Allah SWT menjadi penolongku dan Allah SWT adalah sebaik-baik pelindung”.

 

Nabi Musa AS mengajar kita bahawa tawakal itu adalah kita berusaha bersungguh-sungguh sehingga ke penghujung. Baginda juga mengajar kita supaya yakin dan percaya bahawa Allah sesekali tidak akan meninggalkan orang yang beriman dalam kesusahan. Biarlah satu dunia berpakat untuk menghancurkan Islam, tetapi jika Allah tidak izin, tidak akan berlaku.

 

Akhir sekali Nabi Muhammad SAW mengajar kita bahawa tawakal itu mestilah disertakan dengan usaha. Bukan hanya duduk diam sahaja. Bukan hanya kata “saya bertawakal kepada Allah”. Lihatlah peristiwa hijrah ini, walaupun baginda utusan Allah, baginda tetap menyusun strategi yang sangat rapi bagi menjayakannya.

 

Baginda mengajar kita, walau dekat macam mana pun hubungan kita dengan Allah SWT, kita perlu berusaha, bergerak, menyusun strategi dan yakin bahawa Allah bersama kita.

 

Kepada mereka yang mahu bekerja sendiri, belajarlah tawakal daripada tiga manusia pilihan Allah ini.