BASIKAL KE SEKOLAH- SIK, KEDAH

Ameen Misran / February 5, 2018, 17:02:06 pm

Tahun 2018, Langitilahi Komuniti telah memulakan langkah dengan menyertai dan bersama- sama menganjurkan satu lagi kerjasama program komuniti di daerah Sik, Kedah. Langitilahi.com bersama Ehsan Care, Yayasan Kasih Tauhid dan Komuniti ‘facebook’ Shah Alam Residents (Shah Alam Residents) telah bekerjasama melaksanakan sebuah program komuniti yang berkonsepkan pro- aktif bagi mencari, mendekati dan menyentuh masyarakat yang memerlukan secara lebih dekat. Rentetan daripada respon, maklumat serta data yang telah diperoleh, justeru kami telah memilih komuniti yang memerlukan di sekitar daerah Sik, Kedah sebagai destinasi pertama program Basikal Ke Sekolah pada tahun ini.

Objektif utama program ini adalah untuk menyantuni golongan- golongan yang memerlukan di sekitar daerah Sik selain menyalurkan bantuan berupa keperluan pengangkutan ke sekolah, memberikan kemudahan rawatan perubatan rumah ke rumah bagi pesakit- pesakit yang melarat dan kurang upaya. Disamping mengagihkan sumbangan barang- barang keperluan harian seperti beras, gula, milo dan lain- lain selain pakaian- pakaian terpakai. Justeru, tarikh 3 Februari 2018 telah di pilih bagi menjayakan Jelajah pertama program ‘ Basikal Ke Sekolah’ ini.

JUMAAT, 2 FEBRUARI 2018

Pasukan relawan komuniti maya Langitilahi.com (Langitilahi Komuniti) terdiri daripada Dr Azrul Yunus, Cik Nadzirah dan Cik Hartini telah memulakan perjalanan ke Sik pada lewat petang Jumaat setelah persiapan ubat- ubatan dan peralatan perubatan telah siap di sediakan. Perjalanan panjang kami turut di sertai oleh Cik Hafidzah wakil Perpustakaan Shah Alam. Perjalanan selama 5 jam ini berjalan dengan lancar dan kami semua selamat tiba di D’Puncak Beris Lake Resort pada awal paginya.

 

SABTU, 3 FEBRUARI 2018

Pagi itu kami bangun awal. Usai subuh, kami bersiap awal untuk menyaksikan keindahan terbit matahari di sekitar Tasik Beris yang sangat mengujakan. Pemandangan tasik sungguh indah, hijau hutan yang damai sambil menghirup udara dingin pagi yang segar. Panorama pagi yang indah ini secara tidak lansung menaikkan semangat kami untuk melaksanakan khidmat masyarakat pada hari ini di samping meningkatkan rasa syukur kami kepada Yang Maha Bijaksana. Seawalnya, ketua program, En Hisham Misripin, relawan- relawan daripada Ehsan Care dan Shah Alam Residents telah tiba awal pada hari sebelumnya.

Setibanya Cikgu Rashid, pengelola tempatan untuk agihan sumbangan kepada komuniti Sik di penginapan relawan, kami telah di bawa ke sebuah warung kecil di pekan kecil untuk sarapan pagi. Usai, sarapan, taklimat ringkas telah di berikan oleh Cikgu Rashid berkenaan perjalanan program pada hari itu dan sesi suai kenal ringkas sesama relawan- relawan yang terlibat. Kami juga beruntung dengan tibanya sumbangan basikal tambahan daripada penyumbang- penyumbang di Perak yang di bawa oleh Abang Rosli Din dan isteri pada pagi itu.

Secara amnya, agihan basikal kepada komuniti yang memerlukan ini di bahagikan kepada 4 lokasi. Destinasi pertama ialah di sekitar mukim Galau. Sebanyak 12 basikal serta sumbangan barangan keperluan harian telah diedarkan. Pada masa yang sama, pasukan perubatan daripada Langitilahi Komuniti melaksanakan lawatan rumah ke rumah.

Usai destinasi pertama, seterusnya kami bergerak meneruskan agihan ke beberapa mukim yang lain di samping pasukan perubatan Langitilahi Komuniti melaksanakan tugasan pemeriksaan kesihatan dan rawatan kepada pesakit- pesakit terlantar daripada rumah ke rumah. Rata- rata komuniti Sik ini terdiri daripada golongan- golongan masyarakat berusia yang tinggal di rumah yang kecil yang terdiri daripada 2 hingga 3 generasi  bersama. Ada yang melarat dan tidak berkesempatan mendapatkan rawatan perubatan di fasiliti perubatan terdekat di sebabkan kekangan kenderaan dan kemudahan jaringan jalan raya jauh ke kawasan rumah. Rentetan itu, terdapat banyak komuniti setempat yang mempunyai masalah seperti darah tinggi dan kecing manis tidak terkawal tidak di rawat di sebabkan kekangan di atas. Malahan, terdapat beberapa warga emas yang kelumpuhan akibat kemalangan, angina ahmar, kecederaan tulang belakang mahupun anak- anak yang mengalami masalah berkaitan kecacatan otak tidak dapat di bawa ke fasiliti perubatan berhampiran bagi tujuan fisioterapi.

Untungnya, program rawatan perubatan rumah ke rumah ini turut di sertai oleh adik Sofea yang berkebolehan menghiburkan anak- anak Sik dengan pelbagai helah silap mata. Rata- rata anak- anak Sik yang menyaksikan persembahan silap mata itu seronok dan riang dengan persembahan tersebut.

Pada pukul 2 petang, para relawan sebentar bagi menikmati hidangan masakan kampung yang lazat; ada gulai nangka, gulai daging batang pisang, asam pedas batang keladi, ikan perkasam goreng, ulam- ulaman dan sambal belacan. Di samping itu, kami juga di hidangkan dengan kuih kasui, karipap dana apam jawa yang enak. Menikmati masakan kampung yang lazat menyebabkan kami lupa sebentar tentang penat lelah kami melaksanakan program- program pelbagai pada paginya.

 

Usai makan tengahari, agihan basikal terakhir dilaksanakan kepada anak- anak Sik yang terpilih selain agihan barang- barang keperluan harian. Pada masa yang sama, pasukan perubatan Langitilahi Komuniti menyambung tugasan pemeriksaan kesihatan kepada kumpulan warga emas yang hadir pada majlis petang itu. Dalam kemeriahan perjalanan program tersebut, kami di kejutkan dengan satu insiden di mana seorang wanita awal 30-an di khabarkan pengsan di rumah. Tanpa lengah, kami menuju ke rumah pesakit tersebut. Hasil pemeriksaan tekanan darah dan gula dalam darah, kami mendapati pesakit mengalami hipoglisemia atau kurang kandungan gula dalam darah di samping dehidrasi dek kerana cuaca terik dan bahang di samping kesibukan pesakit tersebut menguruskan kerja- kerja rumah dan memasak. Setelah memberikan rawatan sebaiknya, pesakit mulai pulih dan stabil.

Kira- kira pukul 4 petang program berakhir. Para relawan berkumpul dan telah di bawa oleh Cikgu Rashid untuk menghilangkan lelah seharian bekerja di Cen Cendol Pulut Jeniang. Tekak yang kering di dinginkan dengan ais kisar daripada cendol pulut pada petang yang membahang sungguh menyegarkan.

Setiba di kawasan penginapan, kami mengambil peluang menghabiskan masa menikmati ciptaan Allah yang sangat indah di pesisir Tasik Beris. Angin yang bertiup sungguh damai. Pada petang itu juga, kami telah di bawa oleh Cikgu Rashid mengelilingi kawasan tasik. Kami tidak melepaskan peluang merakamkan keindahan sekitar Tasik Beris ini ke dalam lensa kamera di samping tidak melepaskan peluang mensyukuri panorama indah ini walau sesaat.

 

Malamnya, para relawan yang keletihan telah di bawa ke warung berdekatan untuk menikmati makan malam ringkas. Usai makan malam, sesi ‘post- morterm’ di laksanakan bagi melihat, menganalisa dan memperbaiki segala kekurangan di sepanjang program berlansung. Malam itu, kami tidur nyenyak disulami nyanyian unggas dalam dingin malam yang nyaman.

AHAD, 4 FEBRUARI 2018

 

Pagi itu, sekali lagi kami bangun awal. Untungnya, sambil menikmati damai pagi di sekitar Tasik Beris, kami di datangi dengan sekumpulan itik yang comel; berjalan dan berenang di permukaan tasik. Pada masa yang sama, kami tidak melepaskan peluang bermain- main dengan sang merak yang cantik serta kuda yang jinak.

Setelah bersiap dan berkemas, kami semua ‘check out’ daripada penginapan, dan menuju ke warung berdekatan bagi menikmati sarapan akhir di bumi Sik. Sarapan ringkas dan mengenyangkan. Selepas itu, para relawan beramah- mesra buat kali terakhir sebelum masing- masing berpisah pulang ke destinasi masing- masing.

Secara amnya, program ini merupakan program kecil dan ringkas tetapi dekat dengan masyarakat setempat. Sedikit sumbangan yang di agihkan hasil sumbangan warga Malaysia yang prihatin telah dapat kami sampaikan disamping menyantuni masyarakat yang kurang berupaya daripada rumah ke rumah. Kami mengharapkan usaha ringkas ini mendapat rahmat dan kasih Allah di samping mendapatkan sokongan penuh masyarakat prihatin Malaysia amnya, dan komuniti Langitilahi.com khasnya.

Inshaallah, program Kayuhan Ke Sekolah akan menemui golongan yang memerlukan di daerah Kota Bahru, Kelantan pula selepas ini dan kami menjemput anda untuk menyertai kami sebagai relawan pasukan Langitilahi Komuniti. Kami meraikan anda yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kepakaran dalam bidang masing- masing dan dalam pada masa yang sama berminat untuk menyumbang bakti kepada program- program kemasyarakatan seperti ini. Pastinya, kelebihan yang anda ada ini boleh disalurkan dan memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan di luar sana. Adakah anda bersedia?