BANGLA DAN ULAMA’ , HERO YANG DILUPAKAN ?

Nazef Edgouch / July 4, 2017, 23:07:31 pm

KISAH BANGLA .

Pada suatu hari , Alif Otak-otak ( bukan kembar Alif Satar ) telah pergi ke bangunan yang merupakan mercu tanda dan kebanggaan rakyat Malaysia . Bangunan Berkembar Petronas atau nama glamournya KLCC . Sebelum Alif sampai ke bangunan KLCC , dia lepak sekejap di taman perkarangan  KLCC . Tiba-tiba dia ternampak ramai orang mengerumuni beberapa orang berkulit agak gelap di sana . Alif segera ke sana untuk melihat siapa yang menarik perhatian orang ramai di sana .

“Artis kot …” fikir si Alif .

Tapi sesampainya Alif berdekatan, Alif terjerit kesukaan seperti monyet gembira melihat pisang diberikan percuma. Rupa-rupanya yang menarik perhatian orang ramai di taman KLCC itu adalah abang abang Bangla yang telah menjadi ‘hero’ kepada seni bina di Malaysia ini . Mereka adalah pujaan masyarakat sekarang .

Tak buang masa , Alif terus mencelah orang ramai dan mengajak abang-abang Bangla itu swafoto ( baca : selfie ) bersamanya . Lantas memuat turun ( baca : upload ) gambar swafotonya itu di laman sosial yang menjadi kegilaan orang ramai sekarang tak kira Gen Y atau Generasi RTM, Instagram . Dalam beberapa minit gambar tersebut telah mendapat ‘Like’ beribu-ribu. Dan berpuluh komen antaranya ..

“Wow Untung ah kau Alif” – @SalmanKhan, kawan Alif muka iras hero tamil cerita Kabali.

“K , Tak Ajak , Fine Kbye” – @NajmiRaver, budak baru nak up. Umur 13.

“Wow, cantik gambar kau, ada masa hangout kita shot sama-sama” – @TKDNXVXYZ, instafamous yang mempunyai feed gambar yang padu tone warna bak kata orang ramai .

“Visit my ig to find your best collection of shoes – @QueenAfiqah, online seller yang jual copy ori yang kaya dah sekarang.

Ecewah .. Maaf situasi di atas adalah rekaan semata-mata dan tidak pernah terjadi di alam realiti sekarang .

Zaman sekarang, tiada yang memandang mereka, pekerja asing terutama daripada Bangladesh ini. Malah ramai yang menghina . Mereka tak sedar yang mereka adalah saudara seagama dengan kita.

Zaman sekarang, semua orang ingin mengejar populariti . Mengejar sampai sanggup buat perkara yang mengaibkan bukan hanya diri mereka sendiri malah keluarga bahkan agama mereka sendiri !

Zaman sekarang, orang yang buat video yang bodoh-bodoh, yang tiada manfaat dan sebenarnya untuk menunjukkan kebodohan masing-masing bersepah di media sosial. Tetapi mereka inilah yang dijadikan idola anak muda sekarang .

Sob..sob ( suara tipikal nangis eh ? ) . Sedih rasanya .

Tiada yang memandang kepada mereka yang berusaha yang bekerja keras yang mencari sesuap nasi dan memberi nafkah kepada keluarga masing-masing di negara asal mereka . Mereka bukanlah HERO malah ZERO kepada pandangan kita . Kita pandang mereka dengan pandangan kosong . Anggap mereka sebagai tiada nilai dan tiada tempat dalam masyarakat kita.

Tapi jangan lupa mereka adalah HERO yang berjasa banyak pada negara kita walaupun mereka bukanlah anak jati negara negara kita ini . Nak tengok power diorang ? Tengok KLCC tu , hang boleh buat ? Dan nak tengok anak jati Malayisa ? Tengok yang sedang joget raver dekat taman KLCC tu !

KISAH ULAMA’

Pada suatu hari, Bustin Jieber ( nama asal dia Amran ) telah terkocoh-kocoh mencari kasut berjenama Supra yang dibelinya di pasar malam Chow Kit. Dibelinya dengan semua duit simpananya yang berjumlah RM44.50 semata-mata kerana untuk meniru gaya idolanya, Justin Bieber.

“Ummi, nampak tak kasut warna purple Amran?” Tanya Bustin Jieber kepada ibunya, Puan Rogayah orang Terengganu tulen.

“Mung nak gi mana ni, pakai jangok ( baca : bergaya ) sangat ni?” Tanya Puan Rogayah sambil membuka pintu almari kasut. “Ni , kasut mung dalam almari ni.”.

“Nak pergi interview lah ummi. Orang pakai smart-smart ni semua ada sebablah.” Tipu Amran, eh salah Bustin Jieber yang sudah siap menyarungkan kasut Supra pasar malamnya.

“Kapala hotok ( baca : otak ) mung pakai macam ini nak pergi interview. Ini bukan nak pergi interview tapi nak pergi mengurat ni. Mung nak menipu ummi kan Amrang !” tengking Puan Rogayah.

Kerana tidak tahan menahan bebelan yang seterusnya daripada ibunya, Bustin Jieber terus keluar daripada rumahnya menuju ke lokasi yang ingin dituju. Di tanganya ada borang untuk menyertai rancangan realiti nyanyian , EkstraBerlada yang menjadi rancangan hiburan lagho no 1 di Malaysia sekarang .

Sebelum masuk ke dewan audition rancangan tersebut, Bustin Jieber breakfast dahulu dekat kedai makan yang agak ramai pelangganya. Semasa makan, dia memerhatikan seorang lelaki yang berserban berjubah di hadapan mejanya.

Lelaki tersebut tidak makan tetapi hanya menyuap nasi kepada wanita yang berumur dalam 70-an. Tak lama kemudian, datang budak berkopiah meminta derma untuk penubuhan sebuah madrasah tahfiz. Tak cakap banyak, lelaki tersebut terus seluk poket jubahnya dan menderma kesemua duit yang berada dalam poketnya.

“Huh, acah baik lah pulak ustaz ni depan orang ramai”. Perli Bustin Jieber. Malah dia menghalau budak yang ingin minta derma itu.

Habis makan, Bustin Jieber tiba-tiba mengelabah mencari beg duitnya. Dia lupa yang beg duitnya tertinggal di rumah. Itulah derhaka sangat ke ibu dah kena balasan cash. Kelakuan Bustin telah menarik perhatian lelaki berserban berjubah itu.

Kerana rasa gelisah dia pergi ke tandas untuk membuang air . Kerana prinsip Bustin ialah “Buang air ibarat mengalirkan masalah” . Eh ?

Setelah beberapa minit di dalam tandas dia buat fikiran untuk berterus terang kepada tuan kedai makan itu. Mampus ah kena basuh pinggan pun, nanti aku dah jadi retis aku beli kedai ni terus huh …

“Hmm .. yang meja 18 tu berapa semua harganya eh ?” Bustin menanyakan kepada cashier dengan rasa sugul.

“Oh .. meja 18 tu semua sekali 15 ringgit sahaja tapi dah ada orang tolong bayar kepada encik.” Jawab cashier tersebut dengan senyuman yang manis gituh .

“Apa? Ada orang tolong bayar kepada saya? Siapa orang itu?”

“Hmm .. Ustaz Hadi yang tolong bayarkan kepada encik. Yang pakai jubah yang tolong suapkan makanan dekat ibu dia yang lumpuh itu tadi. Encik tak kenal ke Ustaz Hadi itu?”jawab cashier itu sambil menunjukkan ke arah Ustaz Hadi yang telah berada agak jauh daripada kedai makan itu.

“Oh ye ke? Alhamdulillah rezeki saya lah itu. Saya minta diri dulu ya, nak berterima kasih kepada ustaz tu.” Bustin Jieber pun berlari anak untuk mendapatkan Ustaz Hadi.

“Assalamualaikum ustaz. Hmm .. Ustaz Hadi kan? Terima kasih ustaz sebab tolong saya tadi.” Bustin membuka bicara setelah dekat dengan Ustaz Hadi.

“Eh .. Waalaikumusalam. Tiada masalah lah akhi, kita ni saudara seagama memang diperintahkan oleh Allah untuk saling tolong menolong. Asalkan tak langgar syarak je lah syarat dia.” Balas Ustaz Hadi.

“Dan saya nak minta maaf sebab ada bersangka buruk dekat ustaz masa ustaz suapkan makanan dekat ibu ustaz tadi. Ustaz nak pergi mana lepas ini?”.

“Oh .. tak apa akhi. Setiap manusia ada salahnya . Ana maafkan enta. Ana nak pergi  masjid Muaz Jabar sebab ada program QuranHour. Ana kena tazkirah program itu dekat masjid itu.”Jelas Ustaz Hadi. “Nak join tak ? Marilah program best ni. Ramai ustaz-ustaz dan ulama’ mari tau.”.

Bustin melihat borang penyertaan EkstraBerlada itu dan membuangnya ke dalam tong sampah disebelahnya. “OK, saya join. Bosan juga tak ada program hari ni. Hehe.” Jawab Bustin sambil tersengih macam kerang tak busuk.

“OK, jom let’s go. Hehe . By the way, nama enta apa?”

Uisshh hebat ustaz ini boleh speaking. “A.M.R.A.N. Amran Bin Jamal. Hehehe”.

. . . . . . .

Ulama’. Ulama’ adalah gelaran kepada orang yang mempunyai ilmu yang tinggi dalam sesuatu bidang agama Islam. Jikalau beliau seorang pakar dalam ilmu Feqah maka dia ulama’ Feqah atau Fuqaha’ . Kalau dia pakar hadith beliau ulama hadith. Dan seumpamanya lagi ..

Ulama’juga adalah ‘HERO’ yang kadangnya tidak dipandang malah ada yang menghina dan lagi teruk yang sanggup memfitnah dan membunuh golongan ulama’ ini. Dan yang lebih sedih dan dasyat, yang melakukan perkara jahat ini semuanya daripada umat ISLAM SENDIRI !

Mereka yang hatinya kotor hatinya yang terpalit dengan dosa dosa yang telah menghitamkan jiwa mereka dengan pelbagai nikmat dunia hingga sanggup meghina golongan pewaris nabi ini. Malah membunuh pun ada !

Allah telah memilih mereka supaya membawa agama dan syariat. Mereka adalah golongan yang paling mengenali Allah. Tugas mereka adalah menunjukkan manusia jalan kepada Allah. Firman Allah:

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: “Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?” (Fusshilat: 33)

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”. (Fathir: 28).

Allah telah melebihkan dan memuliakan para ulama’ dan meninggikan kedudukan dan darjat mereka. Allah telah menyatakan ada perbezaan antara ulama’ dan orang yang tidak mengetahui kerana kepentingan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki.

“Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.  (Al-Mujadalah: 11).

Janganlah sesekali kita menghina para ulama’ yang soleh dan warak menurut Auza’e: “Memerangi golongan ilmuan terutama yang terkenal termasuk ke dalam sebesar-besar dosa” dan berkata Ibn al-Athimin: “Memuliakan ulamak bermakna memuliakan syariat, kerana mereka adalah pembawanya. Menghina ulamak bermakna menghina syariat”.

 

BANGLA DAN ULAMA’ , HERO YANG DILUPAKAN ?

Mungkin akan ada orang yang baca artikel dan kisah di atas bertanya : “Apa persamaan pekerja Bangla dan Ulama’ . Dan kenapa mereka dinamakan HERO ?”.

Persemaannya mereka adalah dua golongan yang banyak berjasa kepada kita khususnya umat Islam di Malaysia ini. Pekerja buruh tak kira lah daripada Bangla atau negara lain mereka adalah HERO yang banyak membangunkan dan membina bangunan-bangunan atau kediaman yang kita lihat sekarang. Mostly mereka yang membina kan ? Mereka adalah HERO kepada masyarakat Malaysia. Jangan hina mereka, ucap terima kasih.

Ulama’ adalah HERO juga. Tanpa mereka mungkin sekarang kita terkapai kapai dalam pelbagai masalah feqah, kekeliruan hadith, cara bacaan Quran yang sohih, masalah faraid yang sangat pening, hukum nahu sorof yang memeningkan. Semuanya mereka kaji dan belajar lantas mengajar kita supaya memudahkan kita dalam paraktikkan Islam . Mereka adalah HERO bukan hanya kepada masyarakat Malaysia malah kepada semua umat Islam di dunia !

Perbezaanya ? Buruh Bangla bekerja untuk tauke mereka , Ulama’ bekerja untuk ALLAH dan ummah .

INFIRU !

  • NAZEF EDGOUCH .