Baca Surah Ini Terus Tak Jadi Nak Membawang

Hakim Darno / August 19, 2018, 13:08:26 pm

Kisah 1

 

“Kau nak tahu, kawan kita itu dah bercerai.”

“Ish. Kau dengar daripada siapa? Kau jangan memandai-mandai.”

“Iye betul. Aku tahulah, aku kan rapat dengan dia. Aku dengar dia mintak cerai sebab tak tahan dengan perangai suami dia, dah berumur ini makin lama makin menjadi pulak.”

“Apa yang suami dia buat?” “Suami dia ada kekasih baru. Dia kata yang dia itu dah tak cantik dan seksi macam dulu.” “Eei..teruknya laki dia kan? Dah tua tak sedar diri.”

 

Kisah 2

 

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Eh, Faizal dah sampai pun. Naik apa?”

“Naik motor je.”

“Ha! Naik motor je? Ish kau ni Faizal, tahun lepas naik motor, tahun ini pun naik motor jugak? Apalah kau ni Faizal, majulah sikit. Belilah kereta satu, naik kereta barulah bergaya.”

Ini antara skrip yang berlegar-legar dalam hidup saya baru-baru ini. Anda semua mungkin ada skrip-skrip masing. Jadi ini hanya sekadar contoh untuk kita memahami isu yang akan kita bincangkan.

Saya fikir bukan mudah untuk kita tidak bercakap tentang orang kerana setiap masa kita mempunyai peluang untuk melakukan perkara tersebut. Ada sahaja perkara yang nak disembangkan.

Mula-mula mungkin kita akan cerita tentang kerja, idea dan sebagainya. Tetapi lama-kelamaan, kita akan terjebak juga untuk bercerita tentang hal orang lain. Kalau istilah hari ini kita panggil ‘membawang’.

Jadi penting untuk kita semua tadabbur surah ini supaya dapat memberi peringatan kepada diri kita terutamanya diri saya.

 

Mengapa surah ini dinamakan al-Humazah?

 

Surah ini dinamakan al-Humazah kerana dimulakan dengan firman Allah SWT “Wailul likulli humazatil lumazah”.

Secara ringkasnya surah ini nak cerita kepada kita tentang masalah akhlak yang sukar dibendung di kalangan masyarakat iaitu mengumpat dan menghina orang.

Surah ini dimulakan dengan seksa pedih bagi setiap orang yang mencela, merendahkan dan menghina orang lain.

Seterusnya surah ini menceritakan tentang sebab orang yang suka mengumpat dan menghina adalah kerana mereka hanya sibuk mengumpul harta seolah-olah mereka akan hidup selama-lamanya di dunia.

Akhir surah ini, Allah mencela kedua-dua golongan tersebut dan beritahu tempat tinggal mereka adalah Neraka Hutamah.

 

Humazah Vs Lumazah

 

Kecelaan besar bagi tiap-tiap pengumpat, pencela.

Surah al-Humazah (104) : 1.

Menurut Tafsir al-Misbah, perkataan “Wailun” itu membawa dua maksud, pertama ialah menggambarkan kesedihan, kecelakaan dan kehinaan. Kedua, perkataan itu digunakan untuk mendoakan seseorang agar mendapatkan kecelakaan dan kehinaan.

Celakalah dan (rasakanlah) seksa pedih bagi setiap orang yang mengumpat serta mencela dan menghina orang lain.

Muqatil berkata, “Humazah adalah orang yang mengumpat, sedangkan lumazah adalah orang yang menghina manusia di depan mereka.”

Menurut Doktor Wahbah al-Zuhaili, “Perkataan humazah bermaksud seseorang yang mengumpat dan menghina orang lain dengan perkataan, perbuatan atau isyarat. Manakala lumazah adalah seseorang yang mengeji orang lain dengan isyarat alis dan mata.”

Ibnu Abbas pula berkata, “Humazah adalah orang yang suka mengumpat dan lumazah adalah orang yang suka mencela.”

Secara mudahnya, humazah bermaksud apabila kita menceritakan tentang seseorang dengan sesuatu yang dia tidak suka. Kalau apa yang dia cerita itu betul macam mana?

Itulah namanya mengumpat. Cuba lihat kisah 1 di atas. Kalau tak betul pulak, itu bermaksud kita menfitnahnya.

Menurut Dr. Hamka, “Pengumpat ialah orang yang suka membusuk-busukkan orang lain;  dan merasa bahawa dia saja yang benar. Kerap kali keburukan orang dibicarakannya di belakang orang itu, padahal kalau berhadapan dia bermulut manis.”

Lumazah pula bermaksud kita menyakiti seseorang dengan menghina atau mencari cacat cela seseorang. Kalau dia niat gurau macam mana? Niat gurau boleh tapi jangan sampai menyakiti hati orang lain.

 

Harta Tidak Bawa Ke Mana

 

Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!

Surah al-Humazah (104) : 2-3.

Antara sebab mengapa orang suka mengumpat dan menghina orang lain adalah kerana mereka menyangka bahawa mereka merasa lebih tinggi berbanding dengan orang lain.

Mereka berasa begitu kerana kagum dengan diri mereka sendiri yang telah berjaya mengumpul harta yang banyak.

Mereka menyangka bahawa hartanya itu akan menjamin dirinya hidup kekal dan tidak akan mati kerana betapa takjubnya mereka dengan harta yang mereka kumpulkan sehingga tidak memikirkan tentang bekalan setelah mati.

 

Mereka akan dicampakkan ke dalam Neraka Hutamah

 

Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam al-Hutamah. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia al-Hutamah itu? (al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintah-Nya). Yang naik menjulang ke hati. Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka. (Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.

Surah al-Humazah (104) : 4-9.

Allah menafikan sangkaan mereka, sekali-kali tidak! Atau bahasa kita jangan perasan! Harta kita yang bertimbun-timbun itu tidak akan mampu membantu kalau kita suka mengumpat dan menghina orang lain, malah Allah akan campak kita ke dalam Neraka Hutamah.

Perkataan dicampakkan digunakan bagi menunjukkan mencampakkan sesuatu yang tidak berharga. Contoh sampah, sampah adalah satu benda yang tidak bernilai.

Maka kita pun mencampakkannya sahaja ke dalam tong sampah. Berbeza pula dengan  telefon bimbit jenama Iphone 8, Huawei P20 dan sebagainya. Kita tidak akan suka-suka campak kerana ia sangat berharga pada pandangan kita.

Kemudian Allah menyindir kita, tahukah kita apa itu Neraka Hutamah?

Neraka ini adalah satu tempat yang tidak terbayang oleh akal fikiran kita, apinya menyala-nyala dan tidak akan padam selama-lamanya.

Neraka ini betul-betul dapat menghancurkan apa-apa sahaja yang dicampakkan ke dalamnya.

Neraka ini membakar manusia hidup-hidup sehingga ke hati. Hati disebutkan secara khusus kerana hatilah punca segala-galanya.

Hatilah tempat akidah kita boleh menyimpang, niat yang buruk, akhlak tercela seperti takabur dan merendahkan manusia dan perbuatan-perbuatan buruk yang lain.

Ayat ini menggambarkan seolah-olah neraka adalah satu tempat yang dalam seperti telaga. Seluruh pintu neraka tertutup rapat dan langsung tidak ada ruang seperti tingkap untuk mereka bernafas.

Tujuannya supaya mereka rasa menderita dan berputusa asa untuk ke luar daripada tempat tersebut.

Tidak ada harapan yang api itu akan padam atau mengurangkan kepanasan api tersebut. Mereka tidak akan dapat keluar daripada neraka tersebut.

 

Pengajaran

 

Saya sentiasa mengulang-ulang surah ini dalam solat supaya saya sentiasa ingat, jangan membawang! Allah beri amaran keras pada orang yang suka mengumpat dan menghina orang lain. Kita akan mendapat kerugian, seksaan dan kehancuran.

Kita juga kena berhati-hati dengan kekayaan yang kita miliki kerana mampu menyeret kita ke neraka. Kita kena ingat bahawa harta sekali-kali tidak memberi manfaat kepada kita selagi tidak digunakan di jalan Allah.

Jagalah setiap patah perkataan yang kita keluarkan dan jagalah juga jari-jemari kita yang memberi komen di media-media sosial.

Jangan lupa bekalan kita di akhirat!