Arang Senja

Higanbana / January 18, 2018, 12:01:40 pm

Langit biru mula melakarkan rona-rona jingga. Cahaya matahari dari arah Barat mencapah di antara kepulan awan besar yang masih bersisa. Beberapa kumpulan burung mula berangkat pulang ke sarang masing-masing. Bertentangan pula dengan manusia yang menghuni permukaan bumi Kuala Lumpur, ramai yang masih leka dengan urusan masing-masing. Sinaran cahaya lampu dari kenderaan-kenderaan di atas jalan raya semakin melimpah. Semuanya ingin melaburkan cuti hujung minggu bagi melepaskan tekanan yang terkumpul sepanjang minggu dengan pelbagai cara tersendiri.

Dalam kesibukan manusia mengejar destinasi masing-masing, sudah kelihatan juga kelibat beberapa orang lelaki yang berbaju Melayu berpasangkan dengan kain pelikat sedang menaiki motosikal. Biasanya yang berpakaian begitu di waktu seperti ini adalah warga emas yang ingin membuat persiapan diri bagi menyambut seruan azan Maghrib yang bakal dikumandangkan 30 minit lagi oleh bilal-bilal masjid di kawasan itu. Ada yang curi-curi melemparkan pandangan sejenak ke arah tasik yang menghiasi perjalanan mereka tetapi kemudian hanya menggelengkan kepala.

Kelihatan pancuran air yang menghiasi tengah laman tasik mula menguncup. Petanda ia akan mati tidak lama lagi. Tasik ini tidak pernah mengaburkan keserlahan kesetiaan seorang makhluk yang bernama manusia. Manusia yang setia menanti di gigi-gigi tasik bertemankan kayu joran yang dipacakkan ke atas tanah. Menanti gerangan ikan yang bagaimana bakal  tergoda dengan umpan yang mereka sajikan. Sesekali kelihatan asap rokok keluar dari kedua-dua lubang hidung si penanti, sama seperti  asap yang keluar dari corong keretapi zaman dahulu.

Cuma taman permainan yang menampakkan pengurangan jumlah manusia. Sepasang suami isteri yang menjamu mata sedari lepas asar tadi dengan menyaksikan karenah kanak-kanak yang bermain di situ mula bangun dari kerusi lalu melangkah menuju tempat letak kereta  yang dipenuhi dengan trak dan gerai makanan. Barisan manusia yang beratur menanti giliran untuk membeli burger dari trak makanan masih panjang. Meja-meja makan dan kerusi di gerai condol juga kekal penuh dihuni manusia. Kemeriahan manusia dan keharuman aroma menggoda si suami tadi untuk melajukan hayunan langkahnya ke arah trak-trak dan gerai makanan yang tersadai di situ.

Si isteri melihat jam di tangan. Tepat 6.35 petang. Dia berpaling ke arah suaminya dengan suatu renungan yang membawa satu mesej pesanan. Si suami berpura-pura tidak faham sebaliknya memulakan tajuk baru perbualan dengan suatu teka-teki.

“Kucing apa tak ada telinga?” soal Syamil kepada isterinya.

“Kenapa tiba-tiba pasal kucing pula bang? Sudah tentulah Doraemon..” jawab isterinya sambil tersenyum kecil.

“Sebab abang tahu apa yang ingin Liza sampaikan. Tapi perut abang dah lapar, kita isikan perut sikit dulu ye? Nanti tak khusyuk pula solat sambil perut menyanyikan lagu jiwang. Lagi pun masjid sebelah tu je.” Syamil merayu seperti seorang pekerja bawahan yang memohon pelepasan pulang awal daripada majikannya.

“Ha, soalan kedua. Tembaga apa boleh bergerak sendiri? Di dalam air ia boleh bergerak, di atas darat pun ia boleh bergerak.” Syamil terus menyuapkan teka-teki yang kedua sambil matanya meliar memeriksa gerai makanan yang dapat memikat hatinya.

“Hrmmm..tembaga..kejap saya fikir.”serentak dengan itu jari Liza laju menggaru dagunya yang tidak gatal.

“Cepat, cepat, cepat…satu minit sahaja.” Syamil menggesa lagi. Dia tidak sabar untuk melontarkan teka-teki yang seterusnya.

“Loyang tembaga?” soal Liza cuba mendapatkan ketepatan jawapannya.

“Wujud ke loyang tembaga? Tapi rasanya kalau wujud sekalipun manusia yang kena gerakkan kan?”Syamil menyingkap tirai penjelasan dengan klu agar isterinya itu  menyedari kesalahan jawapannnya.

“Saya menyerah kalah la soalan tu. Bagi tahu je la saya apa jawapannya.” Liza merayu memohon jawapan yang sebenar. Dirasakan otaknya kekontangan idea memikirkan jawapan persoalan tersebut.

“Buaya tembaga la…”Syamil tersengih menampakkan barisan giginya yang sedikit kekuningan akibat daripada tabiat merokok yang tidak dapat diceraikan. Belum sempat dia melontarkan teka-teki yang ketiga, Liza terus menembak soalan yang baru terpancul di mindanya.

“Bila abang nak hentikan kerja-kerja tu?” Liza menyoal dengan wajah yang serius.  Wajah suaminya yang kelihatan kemas dengan kepala yang hampir botak ditatapnya dengan penuh pengharapan.

“Kerja apa tu ayang?” Syamil tersengih setelah membidas kembali persoalan isterinya dengan buah persoalan.  Pura-pura tidak faham dengan apa yang disoalkan Liza. Langkahnya terhenti di hadapan trak Nasi Arab yang terletak di suatu sudut berdekatan stadium bola sepak. Matanya mula meliar meneliti menu yang tertampal pada dinding lori tersebut. Isterinya hanya membalas dengan senyuman kelat.

“Abang pun cukup faham kan masa tidak menunggu kita. Bila-bila masa sahaja kita akan mati, bang. Saya takut kita mati sebelum sempat bertaubat.” Liza terus menembak peluru-peluru bebelan dengan nada separuh berbisik ke telinga suaminya sebelum memalingkan tubuhnya ke belakang bagi  mencari meja kosong untuk mereka duduki.

Cappp!!!

Suatu bunyi yang agak kuat menarik perhatian Liza. Dia segera mengalihkan pandangan ke arah sumber bunyi tersebut. Dilihatnya darah merah telah bercucuran  mengalir dari tubuh suaminya lalu membasahi permukaan jalan bertar itu. Dia hanya terlopong dan tergamam. Kelihatan sesusuk tubuh manusia yang menutupi wajahnya dengan topeng ‘Ironmen’ menghayunkan kembali pisaunya sebelum menusuk tubuh suaminya dari belakang buat kali kedua.

Cappp!!!!

“Ark..” hanya itu yang mampu disuarakan Syamil. Tubuhnya mula terkulai ke hadapan. Darahnya terpecik ke dinding trak Nasi Arab itu. Tetapi itu tidak menjadi alasan kepada lelaki berpakaiankemas dengan kemeja itu untuk meneruskan tikaman. Tanpa membuang masa, dengan lajunya lelaki tersebut memusingkan tubuh Syamil supaya menghadap dirinya dan terus menikam Syamil bertubi-tubi di bahagian dada.

Pembuat Nasi Arab yang menjadi saksi kejadian tersebut hanya mampu ternganga. Matanya tidak berkebil. Gerakan tangannya yang laju mengisi makanan ke dalam pinggan terhenti. Lututnya tiba-tiba terasa lemah dan bergetar. Apabila tubuh Syamil sudah terkulai layu dan matanya mula mengecil, lelaki tersebut mengeluarkan pistol dari poket seluarnya dan terus menembak kepala Syamil sekaligus menamatkan nyawanya.Segalanya berlaku dalam masa kurang dari satu minit.

Setelah selesai dan berpuas hati, lelaki bertopeng ‘Ironmen’ itu terus berlari menaiki Preve putih yang menunggunya tidak jauh dari situ. Kesemua orang ramai yang berada di situ hanya terlopong dan terpaku bagaikan disihir.

Creetttttttt….

Kereta Preve putih itu membrek kecemasan sebelum membuat pusingan U. Bunyi jeritan tayar kereta tersebut seolah-olah telah membidas dan membebaskan semua orang yang berada di situ daripada pukauan. Liza yang baru kembali ke dunia realiti segera mendapatkan suaminya yang sudah tidak bernafas. Digoncang tubuh suaminya itu sekuat hati. Orang ramai yang melihat kejadian tersebut mula melangkah mendekati mangsa.

Crak! Crak! Crak!

Banyak kerlipan cahaya terpancar keluar dari kamera telefon bimbit para saksi bagi merekod dan seterusnya menularkan tragedi yang baru mereka saksikan. Pembuat Nasi Arab yang terkaku dari tadi akhirnya jatuh terjelopok di atas lantai traknya.