Api perselisihan

Muhamad Shakir Abdul Sahood / June 5, 2018, 13:06:01 pm

Deruan air sungai yang menenangkan. Kicauan burung yang mendamaikan. Hamparan sawah padi yang mengasyikkan, dilatari bukit-bukau yang tersergam kukuh. Kampung yang indah. Seindah namanya. Sesiapa yang melihat pasti terpukau.

Tanah yang subur kurniaan Tuhan yang maha kuasa. Campaklah apa sahaja biji benih, pasti akan tumbuh hijau dan segar. Sebutlah apa sahaja jenis sayur-sayuran dan buah-buahan, pasti ditemui di tanah ini. Sumber yang tumbuh dari dalam tanah menjadi punca rezeki buat rakyat di mandala ini.

Penduduk yang terdiri daripada pelbagai suku kaum menghiasi demografi kampung ini. Daripada suku kaum bumiputera yang telah mendiami sejak ratusan tahun lalu, sehingga suku kaum bukan bumiputera yang baru menghadirkan diri hasil kolonisasi para penjajah terdahulu.

Hal itu bukanlah satu masalah buat penduduk Kampung Bunga Raya. Kepelbagaian suku kaum yang ada mewujudkan suasana warna-warni dalam aspek sosial dan ekonomi mereka. Masing-masing mampu hidup dengan aman, harmoni dan saling menghormati.

Namun, mutakhir ini tiang keharmonian Kampung Bunga Raya bergegar dek dilanggar oleh angin kekecohan yang ditiup oleh sekumpulan manusia yang kononnya inginkan perubahan dalam negara. Angin kencang yang berpunca daripada ibu kota telah membadai hampir keseluruhan negara. Angin kencang yang membawa debu-debu ketidakfahaman telah berjaya menutup pandangan akal sesetengah individu tentang kebenaran.

***

Sebuah kereta keluaran tempatan berwarna merah jambu berhenti di hadapan kedai makan pak Muin. Seorang gadis cilik berbaju kurung merah, lengkap bersolek di wajah keluar dari perut kereta. Gadis tersebut membuka bonet kereta lalu mengeluarkan sebuah kotak yang tidak diketahui isinya, kemudian masuk ke kedai makan yang menjadi tempat lepak sekumpulan pemuda kampung tersebut. Gadis itu kelihatan bak pelakon filem Harry Potter, Emma Watson, mungkin mempunyai darah kacukan Nusantara dan bangsa penjajah dari tanah Inggeris.

Dengan senyuman menguntum di bibir, kumpulan pemuda itu didekati. Kumpulan pemuda yang terdiri daripada 5 orang itu seperti sudah berjanji untuk bertemu gadis cilik di kedai itu. Gadis itu mengetuai perbualan antara mereka sambil tangan mengagih-agihkan kertas yang dikeluarkan dari kotak tersebut. Gayanya persis memberi arahan akan sesuatu perkara. 5 orang pemuda hanya mendengar dan menganggukkan kepala sahaja tanpa bersuara. Riak wajah kelihatan serius sekali. Air yang terhidang juga tidak disentuh.

Hafiz yang sedang minum petang selang beberapa meja hanya memerhati gelagat 5 orang pemuda bersama gadis itu. Pisang goreng disuap ke mulut sambil mata kadangkala menjeling ke arah mereka. Hafiz berasa aneh, kebiasaannya apabila 5 orang pemuda itu lepak pasti gegak gempita kedai itu dengan suara tawa mereka.

Namun hari ini suasana di kedai itu bungkam. Pasti ada sesuatu yang sedang dirancang oleh mereka. Hafiz tidak mahu berburuk sangka tetapi siapa yang tidak kenal 5 orang pemuda tersebut. Mereka sering mencetuskan masalah dalam kampung ini.

Lebih aneh lagi, gadis cilik itu belum pernah dilihatnya di kampung ini. “Barangkali gadis itu datang dari bandar” desis hati Hafiz. “Tetapi apa yang dia ingin lakukan dengan kumpulan pemuda ini?” Bermacam-macam perkara menjengah ke kotak fikirannya. Awan-awan soalan yang datang itu ditepis bagi mengelakkan wujud prasangka yang tidak baik. Usai pisang goreng yang berbaki dihabiskan, Hafiz segera mengangkat kaki meninggalkan kedai itu.

***

Kedengaran suara para hamba yang bangun meninggalkan belaian mimpi malam bagi menyahut panggilan Ilahi pada subuh hari. Keempukan tilam dan kehangatan selimut dilempar demi merealisasikan seruan “Solat itu lebih baik daripada tidur.”

“Amin.”

“Amin.”

Laungan kalimah “amin” diucapkan oleh makmum bagi menyambut alunan doa sang imam. Bait-bait pengharapan dipanjatkan ke hadrat Tuhan yang maha esa. Mengharapkan pengampunan, rahmat, pelindungan dan petunjuk daripada Pemilik alam ini.

Usai mendirikan solat subuh, beberapa orang penduduk kampung termasuk Hafiz segara menghampiri ketua kampung yang sedang duduk berzikir bersendirian di saf hadapan masjid. Masing-masing menunjukkan sehelai kertas yang dijumpai di hadapan rumah mereka semasa keluar ke masjid tadi.

Ketua kampung yang mesra dipanggil Haji Man oleh penduduk kampung terkesima apabila membaca isi kertas itu. kesemua kertas itu membawa isi yang sama. Suasana hati yang sejuk sesejuk angin subuh tadi tiba-tiba berubah menjadi bahang yang membakar jiwa.

Haji man sudah sedia maklum tentang isu yang tular di media sosial. Isu mengenai sekumpulan manusia di ibu kota yang memperjuangkan hak kesamarataan antara kaum dengan menghapuskan hak keistimewaan suku kaum bumiputera. Sebelum ini, isu ini hanya berlegar di ibu kota, tetapi sekarang sudah berjaya menembusi dinding kampung mereka dengan tersebarnya kertas ini.

Haji Man khuatir isu ini akan mencetus konflik antara kaum di kampung ini. Dia takut penduduk daripada kaum bumiputera menuduh kaum bukan bumiputera ingin merampas hak mereka. Manakala, penduduk kaum bukan bumiputera pula akan menuduh penduduk kaum bumiputera sebagai zalim dan tidak adil dalam melayani hak mereka sebagai warga negara ini juga.

“Apa yang kita perlu buat sekarang Haji Man?” Seorang penduduk menyuarakan kebimbangan yang tersimpan di benaknya.

Haji Man meminta mereka supaya bertenang. Haji man yakin akan keampuhan tali persaudaraan dan kasih sayang antara kaum di kampung. Propaganda ini tidak akan berjaya memudarkan warna-warni keharmonian di kampung ini.

“Buat masa sekarang kita tunggu dan lihat apa yang bakal terjadi. Namun saya yakin tiada apa yang buruk bakal berlaku.” Haji Man optimis dalam menghadapi hal ini.

“Persoalan utama sekarang ini adalah siapa yang bertanggungjawab menyebarkan benih api perselisihan ini?” Soal Haji Man sambil tangan mengoyak-ngoyakkan kertas itu.

Penduduk lain menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak tahu. Hafiz diam sebentar sebelum membuka bicara. Dia menceritakan hal yang dilihatnya di kedai makan pak Muin pada petang kelmarin.

Terbakar hati mereka mendengar cerita Hafiz. “Dasar kacang hantu kampung. Biar kami ajar mereka Haji Man.”

“Sabar dahulu. Kita belum ada bukti yang menunjukkan mereka yang bersalah. Saya sendiri akan siasat perkara ini.” Ujar Haji Man menenangkan hati penduduk yang sedang panas.

***

Sudah seminggu sejak tersebarnya kertas yang mengandungi propaganda itu berlaku. Namun, suasana kampung Bunga Raya tetap kekal tenang dan harmoni. Tidak berlaku sebarang kekecohan mahupun pergaduhan dek propaganda itu. walaupun perkara ini hebat diperbincangkan antara penduduk, masing-masing mampu berbincang dengan akal fikiran yang waras dan tidak mengikut emosi.

Siasatan Haji Man dalam mencari penyebar kertas-kertas itu sudah menemui jawapan. Kelima-lima pemuda itu sudah mengaku bersalah kerana menyebar perkara yang tidak sepatutnya disebarkan. Perkara yang disebarkan boleh menyebabkan runtuh tembok kedamaian kampung ini.

Haji Man selaku ketua kampung telah meminta seluruh penduduk kampung untuk hadir ke balai raya pada petang itu. Haji Man ingin 5 orang pemuda yang bersalah itu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penduduk kampung atas kesalahan mereka.

“Kami ingin memohon maaf atas kesilapan yang telah kami lakukan. Mata kami sudah dikelabui oleh wang yang dijanjikan oleh gadis itu.” Seorang pemuda berucap bagi mewakili rakannya yang lain. Tergetar-getar tangannya memegang mikrofon dek takut diapa-apakan oleh penduduk kampung.

“Kami maafkan. Yang penting jangan ulangi lagi.” Jerit penduduk kampung sebagai tanda sudah memaafkan mereka. Mengalir air mata mereka berlima dengan ketulusan hati penduduk kampung untuk memaafkan mereka walaupun sering membuat masalah dalam kampung ini.

Haji Man berbangga dengan sikap penduduk kampung Bunga Raya. Walaupun datang benih-benih api perselisihan, mereka tetap tenang menghadapinya. Isu tentang penghapusan hak keistimewaan penduduk bumiputera dan kesamarataan hak antara kaum ialah isu yang sensitif. Jika tersilap langkah pergaduhan antara kaum boleh tercetus.

Dengan kefahaman yang tinggi terhadap sejarah dan perlembagaan negara  dapat meleraikan konflik ini.  Haji Man sentiasa menasihati penduduk kampung agar menjaga keharmonian antara kaum. Sentiasa berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama kerana keadilan itu bukanlah bermaksud kesamarataan tetapi meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

Haji Man juga berpesan akan peri pentingnya memahami sejarah negara agar kita faham akan asal usul diri sendiri seterusnya mampu membina masa depan yang lebih baik. “Belajarlah daripada sejarah agar nanti kita tidak ditulis dalam sejarah sebagai bangsa yang malang.” Haji Man mengakhiri ucapannya pada petang sebelum semua penduduk pulang ke kediaman masing-masing dengan keadaan aman dan harmoni. Api perselisihan telah berjaya ditendang sebelum masuk menerobos ke dalam sanubari penduduk kampung bunga raya.