Apakah Doa Kita Didengari?

Afdholul Rahman Che Ani / August 14, 2017, 23:08:38 pm

 

Berdoa itu adalah tanda ubudiah kita kepada Allah s.w.t.

Bila kita berdoa, kita pasti harap doa kita didengari dan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Namun, bagaimana kita dapat menjadikan doa kita ini didengari dan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.?

Pastilah kita tidak tahu akan hal itu kerana itu hanya di bawah kekuasaan Allah s.w.t.

Tetapi, sekurang-kurangnya kita boleh memilih kemungkinan-kemungkinan paling dekat yang boleh menyampaikan kita kepada termakbul dan didengarinya doa kita.

Iaitulah dengan kita meneladani kebijakan doa yang diajar dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta teliti memilih waktu-waktu yang diajarkan oleh Nabi s.a.w.

 

Kebijakan Doa dan Pemilihan Waktu

a. Semasa dan Selepas melakukan ketaatan dan beramal kebaikan

Di dalam surah Al-Baqarah, Allah mencontohkan hal ini melalui kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail ketika mereka membangunkan Baitullah Al-Haram.

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah  itu, sambal keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya Engkau yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [2:127]

Cuba lihat ayat-ayat seterusnya selepas ayat ini di dalam Al-Quran, kita akan dapati Nabi Ibrahim a.s. terus-terusan berdoa memohon dari Allah s.w.t. untuk zuriatnya.

Beginilah kita boleh ambil pedoman iaitulah setelah kita melakukan kebaikan dan ketaatan, ia adalah waktu yang sangat baik. Sebab itu, jadikan hidup kita sentiasa dalam kebaikan dan ketaatan, InsyaAllah, kita akan punya banyak stesyen-stesyen untuk sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t.

 

b. Berdoa untuk saudara kalian

Bila kita berdoa, jangan hanya fikir kepentingan diri sendiri saja. Doakan orang lain juga. Ini dicontohkan oleh Nabi s.a.w. dalam sebuah hadith:

مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُوْ لأَِخِيْهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلاَّ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوْكِلُ بِهِ آمِيْنَ وَلَكَ بِمِثْلِ

“Tidaklah seorang muslim berdoa untuk saudaranya yang tidak berada di hadapannya, melainkan malaikat yang ditugaskan kepadanya berkata : “Amin, dan bagimu seperti yang kau doakan”. [HR Muslim]

Maka bila kita mahukan syurga, jangan difikir doa untuk sendiri sahaja kerana kalau doa untuk sendiri sahaja, kemungkinannya itu jauh. Tetapi kalau kita doakan untuk orang lain, untuk saudara kita yang lain, malaikat pula tolong mendoakan yang sama untuk kita.

Malaikat itu hamba Allah yang sentiasa taat. Mendoakan kita pula. Apakah kita tidak mahu demikian? Pastilah dibanding doa kita yang banyak dosa ini dengan doa malaikat untuk kita itu, ada kedudukan yang lebih baik yang tidak wajar kita lepaskan peluang itu.

 

c. Tiga Golongan Yang Doanya Tidak Ditolak

Anda mungkin boleh atau termasuk di antara golongan yang disebutkan dalam hadith ini.

“Tiga golongan yang tidak ditolak doanya. Doa orang tua terhadap anaknya. Doa orang yang sedang berpuasa dan doa orang yang bermusafir.” [HR Baihaqi]

Dalam riwayat yang lain, disebutkan golongan yang lain adalah orang yang teraniaya.

Sekiranya anda ada anak, doakanlah untuk anak-anak anda.

Atau anda boleh latih diri berpuasa sunat dan manfaatkan hari anda untuk berdoa terutama ketika berbuka puasa.

Dan bila bermusafir, jangan hanya seronok berjalan saja. Manfaatkannya juga untuk berdoa, dengan syarat musafir itu adalah musafir untuk tujuan kebaikan.

 

d. Menyebut Asma’ (Nama-nama) Allah Sesuai Dengan Apa Yang Kita Doakan

Kita boleh pelajari hal ini lewat doa Sayyidul Istighfar (penghulu istighfar) yang diajar oleh Nabi s.a.w.

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي ، لا إِلَه إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَني وأَنَا عَبْدُكَ ، وأَنَا على عهْدِكَ ووعْدِكَ ما اسْتَطَعْتُ ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ ما صنَعْتُ ، أَبوءُ لَكَ بِنِعْمتِكَ علَيَ ، وأَبُوءُ بذَنْبي فَاغْفِرْ لي ، فَإِنَّهُ لا يغْفِرُ الذُّنُوبِ إِلاَّ أَنْتَ

“Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah selain Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku menetapi perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku.

Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Sebab tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau.” [HR Bukhari]

Doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. ini selain kita boleh ambil faedah maknanya sebagai penghulu kepada segala istighfar, kita juga boleh belajar bagaimana Nabi memulakan doa ini iaitulah dengan menyebut, memuji dan mengagungkan Allah s.w.t. melalui asma’-Nya, kekuasaan-Nya disertai dengan ketundukan dan rasa hina diri kita di depan Allah azza wajalla.

Barulah selepas itu datangnya permohonan dan permintaan atas apa yang kita inginkan.

Ada banyak asma’ Allah yang kita boleh ketahui melalui Al-Quran. Allah Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Wadud, Al-‘Alim, Al-Hakim, Al-Wahhab, Ar-Razzaq, Al-Quddus dan pelbagai lagi. Sebutlah asma’ Allah di dalam doa sesuai dengan apa yang kita doakan.

 

e. Bertaubat Dan Banyak Beristighfar Sebelum Meminta Apapun

Barangkali dengan banyaknya dosa boleh menghalang terijabahnya doa. Kita mungkin banyak lalai, banyak dosa kepada Allah s.w.t. Sebab itu, bila kita ingin meminta sesuatu, mulakanlah dengan mengakui kesalahan diri yang banyak, kelalaian yang tidak kunjung henti, kemudian rendahkan ego kita untuk meminta ampun dari Allah s.w.t. atas segala dosa-dosa kita.

Kadangkala kerana dosa dan kita tidak rendah hati mahu mengakuinya, doa tidak terangkat dan didengari. Mulakanlah doa kita dengan istighfar dan taubat kepada Allah s.w.t.

 

Penutup : Berdoa Meski Belum Terkabul

Berdoalah kepada Allah s.w.t. tanpa jemu.

Walaupun ada hajat yang belum terpenuhi.

Walaupun ada permintaan yang belum terkabulkan.

Walaupun ada harapan yang belum diijabahkan.

Kerana berdoa itu sendiri adalah tanda ibadah kita kepada Allah s.w.t.

Meski apa yang kita doakan itu belumlah mesti diberikan semuanya, tetapi sekurang-kurangnya kita telah membuktikan kesungguhan kita dalam peribadatan kepada Allah s.w.t.

Jangan khuatir kalau belum terijabah doa. Kerana terijabahnya doa adalah kerja Allah s.w.t.

Khuatirlah kalau kita tidak lagi berdoa.

Kata seorang ulama’ : Sesungguhnya diharamkan berdoa lebih aku risaukan atas diriku dari belum sampainya waktu ijabah.

Kerana bila kita tidak lagi berdoa, itu barangkali ada petanda kita sedang jauh dari Allah.