Apakah Ada Allah Dalam Hati Anak Generasi Kita?

Afdholul Rahman Che Ani / August 17, 2017, 07:08:41 am

Mendidik anak-anak untuk mencintai Allah s.w.t., taat kepada Allah s.w.t. adalah tanggungjawab ibu bapa.

Kita simpati melihat sebahagian anak-anak yang tidak mendapatkan hak ini dalam keluarga mereka.

Lantas sebahagiannya yang meskipun membesar dalam keluarga bernama Muslim, tetapi tidak kenal Allah.

Agama hanya dikenali ketika nikah, solat raya dan kematian.

Banyak masalah timbul bila hati tidak kenal Allah. Bila hidup tidak ada Allah, banyak urusan menjadi caca merba dan tidak jelas tujuan.

 

Mencontohi Doa Nabi Ibrahim a.s.

Di dalam Al-Quran, ada banyak tempat Allah sebutkan tentang doa Nabi Ibrahim a.s. untuk zuriatnya. Ini sangat unik kerana konsistensinya Nabi Ibrahim a.s. dengan doanya untuk zuriatnya ini ada di pelbagai tempat dalam Al-Quran.

Misalnya, di dalam surah Al-Baqarah, disebutkan bahawa baginda berdoa meminta agar menjadikan dirinya dan anaknya orang yang berserah diri kepada-Nya. Baginda juga berdoa meminta agar diutus seorang Rasul dari kalangan generasinya yang dapat mengajarkan dan membimbing manusia.

“Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang –orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu da jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu. Dan tunjukkanlah kepada kami shariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkau Maha Penerima taubat lagi Maha Mengetahui.

Wahai Tuhan kami, utuskanlah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (Al-Quran) serta hikmah kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” [Al-Baqarah ; 128-129]

Di dalam surah Ibrahim pula misalnya baginda berdoa dengan menyatakan:

“Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat, keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” [Ibrahim: 40]

Jelas daripada doa-doa Nabi Ibrahim a.s. ini akan kerisauannya terhadap anak generasinya tentang adakah mereka akan tetap terus menyembah Allah selepas ketiadaannya.

 

Umar Abdul Aziz Di Saat Kematiannya

Umar Abdul Aziz adalah antara khalifah di era pemerintahan Umayyah. Namun, beliau memiliki karakter yang luar biasa dibandingkan dengan khalifah sebelum mahupun selepasnya. Sampai-sampai beliau diberi gelar termasuk dalam Khulafa’ Ar-Rasyidin dan beliau adalah yang kelima selepas Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radhiallahu ‘anhum.

Sangat soleh. Berilmu. Warak dan takutkan Allah s.w.t.

Pemimpin yang hebat dan adil.

Di saat kematiannya, disebutkan kepadanya, “Engkau akan tinggalkan 12 orang anak engkau ini, apakah tidak engkau mahu wasiatkan sesuatu kepada mereka, sesungguhnya mereka ini faqir.”

Ini memang aneh. Seorang khalifah kepada kawasan empayar Islam yang besar, namun anak-anaknya hidup dalam kemiskinan. Jauh sekali kalau kita perhatikan bagaimana seorang bapa yang menjadi pemimpin negara hari ini, anak-anak pasti mendapatkan saham kekayaan dari kedudukan bapanya itu.

Tercatat dalam Al-Bidayah wan Nihayah karya Ibn Kathir akan situasi ketika beliau ditanya tentang apakah yang ditinggalkannya kepada anak-anaknya ini, beliau lantas menjawab, “Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran) dan Dia jualah yang menolong dan memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan.” [Al-A’raf : 196]

Katanya lagi, “Demi Allah, tidak akan aku berikan hak kepada mereka. Mereka ini akan jadi sama ada antara dua; sama ada menjadi orang soleh, maka Allahlah yang akan menguruskan orang-orang soleh, adapun sekiranya dia menjadi orang yang tidak baik, aku tidaklah mahu termasuk orang yang membantunya untuk meneruskan kefasiqannya.”

Dan Umar memanggil kesemua anaknya dan berpesan dengan pesanan yang sama.

Sehinggalah dicatat oleh Ibn Kathir lagi, bahawa selepas kewafatan Saidina Umar Abdul Aziz, dikatakan sebahagian anaknya memiliki 80 kuda yang mereka gunakannya di jalan Allah.

Sesungguhnya Umar telah benar-benar meninggalkan anak-anaknya ‘diuruskan’ oleh Allah s.w.t.

Bila Allah yang mengurus, maka pastilah ia akan menjadi sebaik-baik pengurusan.

 

Penutup : Didik Anak-anak Kenal Allah dan Akhirat

Banyak anak tak kenal Tuhan. Tak solat. Tak boleh baca Al-Quran. Setiap hari dijamu dengan televisyen dan movie.

Sebahagian ibu bapa pula hanya pentingkan tuisyen untuk pastikan kecemerlangan anak-anak dalam akademik, tetapi tidak prihatin memahamkan dirinya dan keluarganya tentang Islam yang menjadi cara hidupnya.

Ingatlah, yang doa anak yang soleh itu termasuk dalam 3 perkara yang disebut oleh Nabi, yang akan tetap kekal selepas kematian ibu ayah.

Untuk mendapatkan anak yang soleh, ia bermula dari pendidikan dari ibu bapa dalam mengenalkan anak-anaknya kepada Allah, dalam menanam perasaan cinta, takut dan harap kepada Allah.

Kenal Allah bukan hanya setakat pandai baca Al-Quran. Pandai baca Al-Quran belumlah tentu kenal Allah. Kenal pada Allah s.w.t. adalah dengan menambat hatinya dengan iman dan yakin kepada Allah s.w.t., dengan mengimani segala keagungan-Nya, kekuasaan-Nya dan kebesaran-Nya.

Kenal pada Allah s.w.t. adalah dengan mendidik anak-anak agar mementingkan neraca Allah di dalam hidup.