Antara Teguran Terbuka, Troll & Bashing.

Hilal Asyraf / July 11, 2017, 13:07:50 pm

Antara Teguran Terbuka, Troll & Bashing

 

Hari ini tidak sama seperti 10 tahun yang lalu. Saya masih ingat, media sosial pada ketika itu tidak semaju dan sehangat hari ini. Ada beberapa media sosial yang popular ketika itu, seperti friendster & myspace.

Hari ini, media sosial tumbuh ibarat cendawan. Ditambah dengan teknologi telefon pintar, media sosial mengakar dalam kehidupan insan. Facebook, Twitter, Instagram, Tumblr, Reddit, pelbagai saluran dan medium untuk menyuarakan pendapat, pandangan, perkongsian, dan sebagainya.

Ini menjadikan masyarakat, atau ‘netizen’, bebas menyuarakan pendapat dan pandangan secara terbuka. Ada yang menggunakan kelebihan ini untuk membuat teguran secara terbuka, ada juga yang mengambil peluang ini sebagai medan ‘troll’(sindirian yang provokatif) atau ‘bashing’(hentaman, maki hamun, mengeji). Semua itu biasanya dilakukan di media sosial, secara terbuka untuk bacaan awam.

Ada golongan yang percaya bahawa, jika kita hendak mengkritik, memberikan teguran dan pandangan, sebaiknya di belakang-belakang, secara terus kepada orang yang kita hendak kritik atau berbeza pandangan itu, bukannya secara terang-terang di khalayak ramai.

Apakah benar?

Di mana letak duduk teguran terbuka, troll & bashing ini hakikatnya?

 

Satu Kategori?

Mungkin lebih mudah jika saya kategorikan ketiga-tiganya di dalam satu kategori. Semuanya ingin menegur sesuatu atau seseorang atau satu-satu situasi. Namun, ada yang memilih jalan berhemah dengan nada sopan, bahasa yang kemas tetapi tegas. Ini salah satu bentuk teguran terbuka. Ada pula yang melukis karikatur atau simbol, melawakkan atau menyindir orang, isu, keadaan yang hendak ditegur. Ada pula yang terus memaki hamun, melepaskan amarah atau dendam dengan kata-kata yang tidak sopan, mencarut dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, semuanya merupakan sebuah teguran, atau sekurang-kurangnya, sang pelaku akan percaya ianya sebuah teguran.

 

Soalan Terpenting: Bolehkah Tegur Secara Terbuka?

Menegur secara terbuka sering dianggap sebagai mengaibkan. Penegur yang menegur secara terbuka biasa dianggap mahu menunjuk-nunjuk, mungkin mahu mencapai populariti segera, riya’ dan macam-macam persepsi yang lain.

Ini menjadikan, biasanya, apabila berlaku diskusi terbuka, perdebatan terbuka, akan ada pihak yang kurang senang dengan suasana tersebut dan memberikan teguran seperti: “Kan bagus kalau tegur belakang-belakang, tak pecah belahkan ummat?” Dan sebagainya.

Di sini kita sebenarnya perlu cakna.

Asas memberikan teguran sememangnya menegur secara langsung kepada si pembuat salah, dan tidak secara terbuka. Kerana Islam sangat menjaga kehormatan dan maruah seorang insan.

Contohnya, seorang manusia kita kenal sebagai seorang yang baik. Tidak pernah mempromosikan kemungkaran di dalam hidupnya. Tiba-tiba terkantoi dengan kita bahawa dia menonton video lucah di dalam biliknya.

Insan sebegini, dalam situasi sebegini, tidak sesekali patut kita buat teguran terbuka kepadanya di khalayak, di media sosial. Aibnya mesti kita tutup. Teguran kepadanya mestilah secara langsung dan terus.

Mengapa? Kerana dia menyembunyikan aibnya itu. Dia tak ajak kawan tengok sekali, dia tidak menganiaya orang lain dengan aktiviti tersebut, dia tidak pula promosikan aktivitinya itu untuk mempengaruhi lebih ramai orang menyokongnya atau turut serta, dia tidak dilihat berbangga-bangga dengan aktivitinya itu. Maka menjadi tugasan buat yang tahu, untuk membantu dia meninggalkan gejala buruk tersebut. Jika aibnya didedahkan, ini akan menambah rasa malu, membuatkan dirinya hilang rakan, memencilkan dirinya, hilang percaya kepadanya, sekaligus menyukarkan dirinya untuk berubah, dan kemungkinan menjerumus dirinya ke lembah kemungkaran yang lebih besar.

Namun, di dalam situasi yang lain, saya berikan contoh, seorang manusia yang terkenal sebagai penjual video porno, mempromosikan seks bebas, cuba pula nak merekrut orang untuk berzina atau menjual maruah, mengajak pula orang untuk bersama-sama dengannya, bukan sahaja melakukan, bahkan mempopularkan aktiviti terkutuk tersebut, dan jelas-jelas diwar-warkan aktivitinya sehingga kita pun mengetahuinya.

Orang sebegini, perlu diberikan teguran terbuka. Perlu dikritik. Perlu dinasihatkan secara umum. Perlu dijelaskan mengapa tindakannya salah, dan apa ancaman Allah SWT terhadap orang yang melakukan perbuatan seperti perbuatannya itu.

Mengapa perlu teguran terbuka? Kerana dia melakukan hal tersebut secara terbuka dan tindakannya itu mampu memberikan kesan negatif kepada masyarakat. Sama ada akan ada ahli masyarakat yang terpengaruh dan mahu mengikuti sama, atau setidak-tidaknya, membuatkan proses normalisasi dosa di tengah kehidupan masyarakat itu berlaku. Maka perlu ada yang bangkit membuat teguran terbuka, sekaligus memberikan kesedaran kepada masyarakat agar menjauhi perbuatan terkutuk tersebut.

Di sini jelas bahawa, teguran terbuka perlu kepada situasi-situasi tertentu.

Bukan setiap kesalahan perlu kepada teguran terbuka.

Namun ada masanya, teguran terbuka itu perlu.

Imam Ahmad rahimahullah: “Manusia memerlukan kesopanan dan kelembutan dalam melaksanakan suruhan kepada perkara makruf, tanpa kekerasan melainkan lelaki yang menonjolkan dan terang-terangan melakukan kefasikan dan kerosakan maka wajib ke atas kamu mencegahnya dan menzahirkan perbuatannya itu kerana seorang yang fasiq itu tidak mempunyai kehormatan dan dia tiada maruah.”

 

Menegur Dengan Bijaksana!

Kita sudah jelas bilakah boleh dilakukan teguran terbuka, dan bila pula tidak.

Kembali kita kepada teguran terbuka, troll & bashing.

Jadi apakah apabila boleh dilakukan teguran secara terbuka, maka boleh kita melakukan troll & bashing?

Di sinilah kita perlu kembali juga kepada prinsip Islam, dan biarlah Islam memandu tindakan kita. Allah SWT berfirman:

“Serulah ke jalan Tuhanmu, dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka menggunakan cara yang terbaik.” Surah An-Nahl ayat 125.

Apabila sesuatu itu perlu kepada teguran terbuka, maka gunakanlah cara yang bijaksana(hikmah). Hikmah di dalam ayat ini bukan bermaksud lemah lembut atau lembik seperti yang difahami kebanyakan orang. Hikmah bermaksud bijaksana, bermakna, si penegur tahu bila masanya perlu menggunakan laras bahasa lembut, dan bila masanya perlu menggunakan laras bahasa yang tegas.

Namun, sama ada lembut atau tegas, ianya berpaksikan kepada “Pengajaran yang baik”. Bermakna, setegas mana pun bahasa kita, kita takkan mencarut dan memaki hamun. Maka di sini, untuk bashing orang secara terbuka, terkeluar dari pilihan tindakan kita. Nak berlembut dan guna kaedah menyindir sampai nak troll orang, pelawakkan dia, ketawakan dia, membodohkan dia, tak kena juga sebab itu semua tidak termasuk pengajaran yang baik. Maka nak troll pun terkeluar juga.

Tegurlah dengan laras bahasa yang matang. Menunjukkan kesungguhan kita untuk menegakkan kebenaran, bukan untuk memuaskan hati sendiri. Tegur untuk mengajak manusia pulang kepada Allah, “Serulah ke jalan Tuhanmu”, bukan tegur untuk tunjuk diri kita ini hebat berkata-kata, kreatif fikirkan troll dan punchline menarik.

Jika sampai ke tahap kita perlu berdebat pun, Allah berpesan agar kita berbahas dengan cara yang terbaik. Begitu sekali Islam menerapkan kita prinsip-prinsipnya. Tidak ‘double standard’.

Sekiranya kita telah mengusahakan hal ini, dan orang masih mengata kita yang bukan-bukan, menuduh kita yang bukan-bukan hanya kerana kita melakukan teguran terbuka, maka serahkan mereka kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Tahu betapa kita berusaha untuk melakukan yang terbaik.

 

Penutup: Teguran Untuk Perubahan Ke Arah Kebaikan, Bukan Semakin Memburukkan

Akhirnya rakan-rakan yang saya muliakan, tujuan teguran ialah kasih sayang. Tujuan teguran ialah untuk mengajak orang yang ditegur, bersama-sama diri penegur, ke arah kebaikan. Menjadi yang lebih baik. Dari buruk kepada baik, dari baik kepada yang lebih baik.

Sekiranya teguran sekadar untuk menjatuhkan, menghina, memuaskan hati kerana dapat maki orang, makin membuatkan orang rasa jelak dengan Islam, rasa jelek dengan akhlak dan sikap kita, maka pastinya ada masalah sama ada pada niat kita menegur, atau cara kita menegur.

Sesungguhnya manusia memerlukan teguran.

Kita ini insan, berasal dari perkataan nasia, bermaksud lupa.

Kerana itu Allah SWT berfirman:

“Dan berikanlah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermakna bagi orang-orang yang beriman.” Surah Adz-Dzariyat ayat 55.

Jadikan budaya tegur menegur, sama ada secara terbuka atau secara belakang-belakang, sebagai wasilah pengutuhan ummat, bukan merobohkannya lagi.

Berikanlah teguran dengan adab dan sopan. Bukan disuruh berbahasa berbunga-bunga, nampak lemah gemalai. Bertegaslah bila perlu. Namun jauhilah carutan, makian, kejian, sindiran yang sengaja direka untuk mengguris jiwa.

Kita mampu mengubah suasana hari ini insyaAllah.

Muhasabah.