Adakah Syahadah Kita Ada Nilai?

Hilal Asyraf / September 20, 2017, 11:09:16 am

 

 

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu ialah utusan Allah.”

Sebahagian besar orang Islam di Malaysia mungkin tidak punya pengalaman mengangkat syahadah, kerana rata-rata memeluk Islam hasil daripada kedua-dua ibu bapanya yang telah sedia menjadi Muslim.

Namun sering diingatkan dan diulang-ulang, bahawa antara rukun Islam ialah bersyahadah. Bahkan ianya ialah rukun yang pertama sebelum rukun-rukun yang lain. Sekiranya kita menjadi Muslim akibat lahir dari keluarga beragama Islam sekalipun, kita akan diingatkan akan fakta ini.

Syahadah batu asas kepada Muslimnya seseorang.

Persoalan, sebagai Muslim hari ini, apakah kita fikir syahadah kita punya nilai?

 

Nilai Sebuah Syahadah

Untuk memudahkan pemahaman kita akan perkara ini, saya sering teringat akan perumpamaan yang guru saya berikan semasa saya sekolah menengah dahulu. Guru saya berkata:

“Bayangkan permainan bola sepak. Ada pemain, ada penonton. Sehebat mana pun seorang penonton bersorak, hanya pemain di atas padang yang tindakannya dinilai. Dan katalah, ada penonton turun padang, tolong sumbangkan gol, golnya tidak dikira. Kerana dia bukan pemain. Dia tidak berdaftar sebagai pemain. Demikianlah nilainya syahadah. Bersyahadah menjadikan kita Muslim, dan setiap tindakan kita ketika itu akan ada nilai di sisi Allah SWT.”

Itu penerangan mudah. Sudah semestinya penerangan itu tidak benar-benar sempurna untuk menjelaskan nilai sebuah syahadah. Tetapi asasnya demikian. Untuk memudahkan pemahaman, saya akan terus menggunakan analogi ini.

Dengan bersyahadah, kita menjadi Muslim. Kebaikan kita lakukan berpahala. Kita ada peluang untuk masuk ke syurga. Sebagaimana lebihnya pemain bola di atas padang berbanding penyokong sorak di tepi, bersyahadah dan menjadi Muslim punya beberapa kelebihan berbanding yang tidak bersyahadah.

Tetapi bersyahadah sahaja tidak cukup.

Apakah kita faham erti dan maknanya bila kita bersyahadah?

 

Tertakhluk Di Bawah Kontrak Syahadah

Sebagaimana seorang pemain bola apabila dia berdaftar sebagai seorang pemain, dia perlu tunduk kepada peraturan-peraturan permainan.

Di padang bola, ada garis tidak boleh dilanggar, jika dilanggar juga, akan dihukum ‘out’ atau pihak lawan mendapat ‘sidekick’. Tidak boleh mencederakan lawan, menolaknya jatuh dengan sengaja, jika dilakukan juga akan dihukum dengan kad, kad kuning sebagai amaran, dan kad merah sebagai hukuman keras menarik kelebihan pemain untuk bermain di atas padang. Terdapat juga situasi di mana jika pemain melanggarinya, akan dipanggil ‘offside’.

Demikianlah bila kita berdaftar sebagai seorang Muslim dengan syahadah.

Maka kita perlu tunduk kepada set-set peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, yang boleh kita ekstrak baik di dalam Al-Quran, mahupun hadith-hadith sohih.

Antara makna Islam itu sendiri ialah penyerahan diri secara total. Bermakna, apabila kita bersyahadah dan menjadi Muslim, bermakna kita telah bersiap untuk menyerahkan diri kita, tunduk dan patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan ke atas kita sebagai seorang Muslim.

Sebagaimana pemain yang ada tanggungjawab untuk mematuhi peraturan di atas padang, demikianlah seorang Muslim perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan Tuhan kepadanya.

Contohnya, perintah solat fardhu lima kali sehari, perintah berzakat dan berpuasa di bulan Ramadhan, perintah pengharaman zina, pengharaman arak, pengharaman liwat. Perintah menutup aurat dan berakhlak baik, perintah tidak membawa kecelakaan terhadap diri. Larangan memakan harta anak yatim, larangan melibatkan diri ke dalam riba dan rasuah. Larangan berbohong di dalam timbangan perniagaan. Itu semua ialah peraturan yang perlu dipatuhi sebagai seorang Muslim.

Patuh dan tunduk kepada peraturan tersebut, seorang Muslim akan mendapat pahala, dan berpeluang mendapat syurga. Ingkar dan derhaka, maka seorang Muslim itu akan mendapat dosa, dan berpeluang untuk dihumban ke neraka.

Persoalannya, bagi kita yang bersyahadah, apakah kita kisah dan ambil tahu akan peraturan-peraturan ini? Atau kita sekadar buat tidak tahu? Sekadar menjadi Muslim, tetapi tidak hidup memikul tanggungjawab sebagai seorang Muslim?

Tidak ramai yang sedar, bahawa dirinya terikat dengan kontrak syahadah ini.

Syahadahnya bukan sekadar untuk membolehkan dirinya diperkenalkan sebagai Muslim.

Sebagaimana seorang pemain perlu bersungguh-sungguh memberikan prestasi terbaik di atas padang, demikianlah seorang Muslim wajib bersungguh-sungguh memenuhi segala tuntutan Allah SWT.

 

Sejauh Mana Kita Menghayati?

Sejauh mana kita menghayati syahadah kita?

Apabila kita menyebut bahawa kita bersaksi tiada Tuhan selain Allah SWT, apakah kita benar-benar memahaminya? Bagi yang Muslim secara warisan pun, sekurang-kurangnya antara rukun keimanan ialah beriman kepada Allah SWT, mereka ini apabila ditanya siapakah Tuhan, pasti disebutnya Allah SWT. Persoalannya, apakah kita benar-benar faham apa maknanya berTuhankan Allah SWT ini?

Apakah kita ambil tahu apa yang Dia arahkan? Apa yang Dia larang? Dan apakah kita berusaha untuk tunduk dan patuh kepadaNya?

Apabila kita menyebut bahawa kita bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah SWT, kita mengaku beriman kepada Rasul, apakah kita menghayati petunjuknya? Kita selakkah hadith-hadith baginda? Kita telaahkah kehidupan baginda untuk dijadikan petunjuk? Atau akhirnya trend terkini yang dibawa selebriti-selebriti yang menjadi pilihan kita?

Adakah kita ini benar-benar Muslim dari segi gerak langkah, tindakan dan perkataan, pakaian dan sikap? Atau Muslim kita hanya pada kad pengenalan dan hakikatnya tidak ada harga dan nilai, bukan sahaja di mata orang lain, bahkan daripada lubuk jiwa kita sendiri?

Ini ialah krisis yang perlu diselesaikan.

 

Penutup: Serius Menjadi Muslim.

Apakah itu Islam? Mengapa Islam kita anuti dan bukan agama lain?

Saya percaya, setiap kita patut bertanya soalan-soalan tersebut dengan serius dan jujur. Supaya agama ini tidak sekadar menjadi solekan kosmetik. Apabila agama ini sekadar menjadi kosmestik, dianuti tanpa difahami, itu yang menghasilkan banyak kerosakan dan kekeliruan.

Bermula kerosakan-kerosakan peribadi, kepada kerosakan masyarakat.

Lebih buruk, membawa fitnah pula kepada Islam itu sendiri.

Sekiranya seorang pemain bola boleh bersungguh-sungguh memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemain, berlatih supaya permainannya menjadi bagus, bekerja keras supaya prestasinya meningkat, mengapa kita sebagai Muslim tidak boleh bersungguh-sungguh sedemikian juga? Walhal kita sudah berada di bawah kontrak syahadah.

Bila kita akan mula serius untuk menjadi seorang Muslim?

Sampai bila syahadah kita sekadar menjadi salah satu hiasan di dalam kehidupan?

Sampai bila Islam perlu kita layani seperti kain buruk? Dicari hanya untuk mencuci kotor. Islam hanya dicari ketika bencana menimpa! Perhatikan di Malaysia. Kapal terbang hilang, baru sibuk televisyen menyiarkan doa banyak kali, bacaan Al-Quran banyak kali. Islam digambarkan sebagai mantera penenang hati sahaja berbanding sebuah gaya hidup.

Kemudian kita hairan mengapa ummat ini lemah dan tidak bermaya?

Mengapa agama kita kelihatan lekeh?

Persoalannya berbalik kepada diri sendiri.

Sejauh mana kita serius mendalami erti syahadah agama sendiri?

Muhasabah.