2 Karakter Abah Pada Nabi Yaaqub A.S.

Afdholul Rahman Che Ani / August 26, 2017, 22:08:52 pm

 

Ada beberapa karakter kebapaan diceritakan di dalam Al-Quran. Misalnya karakter Nabi Yaaqub a.s., karakter Nabi Ibrahim a.s., karakter Nabi Zakaria a.s., karakter Aazar, karakter ayah kepada 2 orang pemudi dan lain-lain.

Semua karakter ini kalau dikaji dan didetailkan, boleh memberi manfaat dan panduan dalam ilmu parenting.

Untuk post kali ini, saya akan kongsikan berkaitan dengan karakter kebapaan pada Nabi Yaaqub a.s. Saya bukanlah orang yang pandai untuk bercakap tentang bagaimana seorang bapa sepatutnya berkarakter. Apa yang saya kongsikan ini adalah inspirasi yang saya dapat dari pengisian oleh Ust Nouman Ali Khan.

Saya berkongsi hal ini kerana sangat risau melihat institusi kebapaan pada hari ini yang keruntuhan nilai dan moral. Justeru, saya rasa perkongsian ini sangat signifikan untuk kita semua.

 

Karakter 1 : Ayah Menjadi Tempat Pengaduan Anaknya

Kisah ini bermula dengan si anak, iaitu Nabi Yusuf a.s. yang mula berkata dan mengadu kepada bapanya, Nabi Yaaqub a.s.

“(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku.” [Yusuf : 4]

Kita boleh lihat di sini bahawa Nabi Yaaqub a.s. sebagai seorang bapa, benar-benar menjadi tempat rujukan dan pengaduan anaknya. Tidak diceritakan hal itu kepada orang lain dahulu, tetapi pengaduan itu pergi kepada ayahnya dulu.

Itu memberikan petanda yang besar di mana, Nabi Yaaqub a.s. benar-benar telah menanam kepercayaan dalam diri Yusuf a.s. terhadap dirinya sebagai seorang bapa.

Inilah yang kita kehilangan pada hari ini. Bapa tidak mampu menjadi tempat pengaduan atau tempat rujukan masalah, bahkan sebahagian bapa lebih teruk dan celaka, bagaikan haruan makan anak sendiri. Antara kebimbangan kita pada hari ini adalah sebahagian bapa bukan saja menghilangkan rasa hormat dan percaya anak kepadanya, tetapi juga telah menggelapkan masa depan anaknya sendiri.

Lihatlah pedoman Nabi Yaaqub a.s. ini, bagaimana baginda menjadi kepercayaan Nabi Yusuf a.s. untuk datang mengadu tentang mimpi. Mimpi sahaja. Tetapi itupun diadukan kepada ayahnya kerana Nabi Yusuf a.s. sebagai seorang yang masih budak remaja tahu baginda boleh percaya kepada ayahnya. Pastilah kepercayaan ini tidak datang secara percuma begitu sahaja melainkan Nabi Yaaqub a.s. telah melakukan usaha di pihaknya sendiri sebagai seorang bapa.

Hari ini, bukan setakat mimpi, anak-anak buat bukan-bukan di luar, jangan harap akan diketahui ayahnya sebab sebahagian ayah pun tidak lagi mengambil berat soal hidup anaknya.

 

Karakter 2 : Ayah Yang Menyambut Aduan Anaknya Dan Tidak Memperlekeh

Bayangkan pada ketika itu, Nabi Yusuf a.s. hanyalah seorang budak remaja mungkin, lebih muda tentunya dari abang-abangnya yang 10 itu. Datang kepada Nabi Yaaqub a.s. kemudian mengadukan mimpi.

Mimpi. Ingat perkataan ini. Mimpi.

Kalau anak-anak kita yang datang kepada kita cerita tentang mimpi dia, ataupun cerita tentang cita-cita dia, ataupun cerita tentang apa yang dia buat di sekolah, macam mana kita layannya?

Adakah kita biarkan je, buat-buat dengar ataupun kita betul-betul sambut ceritanya itu?

Tengok karakter kebapaan Nabi Yaaqub a.s. dalam hal ini.

Apa responnya kepada pengaduan Nabi Yusuf a.s. tentang mimpinya itu?

“Bapanya berkata : Wahai anakku, janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir, mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.” [Yusuf : 5]

Di sini, Nabi Yaaqub tak kata kepada Nabi Yusuf, tak ada apalah mimpi tu. Mainan syaitan je tu. Mimpi je tu. Tapi Nabi Yaaqub mengambil serius hal itu.

Bukanlah maksudnya kita nak agar setiap ayah ambil serius setiap mimpi anaknya. Tidak. Tetapi beri perhatian pada apa yang si anak boleh jadi di masa hadapan dan sambut jika dia menceritakan tentang cita-citanya.

Nabi Yaaqub benar-benar dengar pengaduan Nabi Yusuf a.s. tentang mimpinya itu, bukan buat-buat dengar. Sebab itu, baginda boleh memberikan respon demikian.

Dan yang menariknya dalam respon tersebut, lihat bagaimana baginda cuba melindungi anaknya sendiri daripada makar atau rancangan jahat saudara-saudaranya sendiri. Beginilah seorang ayah harus menjadi, iaitu menjadi pelindung kepada anak-anaknya dari kejahatan, bukan ayah yang tukang aniaya dan buat jahat pada anak.

Di samping cuba melindungi anaknya Yusuf a.s. itu, baginda Yaaqub a.s. tidak pula menyalahkan anaknya itu seratus-peratus. Di sini perkataan ‘yakidu’ yang  digunakan oleh Nabi Yaaqub membawa maksud ‘menjalankan rancangan jahat’ digunakan dalam bentuk kata kerja yang membawa maksud, itu bukan sifat kekal yang ada dalam diri adik-beradiknya yang 10 itu, sebaliknya yang menjadikan mereka terdorong boleh melakukan hal itu adalah kerana “sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

Baginda Yaaqub a.s. meletakkan kesalahan itu pada syaitan yang menghasut dan tidaklah mengatakan 10 adik-beradik itu memang jahat. Tidak. Ini sebenarnya memberi maksud siginifkan bahawa dalam kejahatan yang dilakukan oleh 10 adik-beradik itupun, Nabi Yaaqub a.s. tetap bersikap rahmah dengan tidak mengatakan mereka adalah punca kejahatan dan sebenarnya memberikan ruang untuk mereka itu kembali bertaubat serta memperbaiki diri.

Lain maksudnya kalau memang dah dilabel anak itu sebagai jahat, maka memang seakan-akan kita telah menutup pintu untuk dia kembali dan berubah.

 

Penutup : Menjadi Ayah Sebenar-benar Ayah

Mungkin seorang ayah tidaklah semestinya dapat memenuhi semua keperluan material anaknya, tetapi sekurang-kurangnya ayah dapat mengisi jiwa anaknya dengan kepercayaan dan hormat kepadanya, serta menjadi pelindung untuk anaknya sendiri.

Nilai asas ini barangkali banyak kehilangan dalam institusi kekeluargaan kita hari ini. Apabila ayah yang diharapkan akhirnya yang ‘makan’ dan rosakkan anak sendiri, apabila ayah yang diharapkan melindungi dan membimbing anak sendiri gagal melaksanakan fungsinya, maka banyak perkara perlu direvisit semula dalam institusi kekeluargaan.

Bukan saja nilai agama, tetapi nilai kemanusiaan itu sendiri telah rosak. Bagaimana tergamak seorang bapa boleh terfikir untuk rogol anaknya sendiri? Apakah jenis bapa itu?

Semoga para abah, bapa dan ayah, kita semua dapat mendidik diri menjadi sebenar-benar bapa.