2 Elemen Penting Dalam Pengurusan Kewangan

Afdholul Rahman Che Ani / September 4, 2017, 12:09:16 pm

Aspek perancangan kewangan adalah aspek yang penting dalam hidup. Tidak kira anda bujang atau telah berkeluarga, tidak kira anda masih seorang pelajar ataupun seorang yang telah bekerja, tidak kira anda bekerja makan gaji atau bekerja sendiri, tidak kira anda lelaki atau perempuan, perancangan kewangan memainkan peranan penting kerana ia membantu anda merancang hidup yang lebih stabil.

Benar, kita tidak nafikan, bahawa memang hidup ada turun naik, kadangkala ujian datang, tetapi Allah s.w.t. juga menyuruh kita berusaha sebaik mungkin dalam hidup kita dan tidak bertawakkal secara membuta tuli sahaja.

Anda ada gaji besar atau kecil, kalau anda dapat menguruskan kewangan dengan baik, kecil InsyaAllah mencukupi dan diberkati. Kalau yang bergaji besar pun tidak melampau dan berlebihan sampai tak kenal batasan.

 

Apa Sebenarnya Perancangan Kewangan?

Perancangan kewangan ini sebenarnya telah lama diilhamkan oleh Al-Quran. Bukan main-main ni. Anda boleh buka sendiri Al-Quran dan cuba baca surah Yusuf.

Nah, dalam surah Yusuf ini, anda akan bertemu tentang kisah 7 tahun subur dan 7 tahun kemarau. Peristiwa ini bermula apabila Raja Mesir ketika itu meminta mencari seseorang yang dapat mentafsir mimpinya dan akhirnya Nabi Yusuf a.s. telah mentafsirkan mimpi tersebut.

Bahkan, baginda a.s. telah meminta agar dirinya dilantik sebagai penjaga khazanah kekayaan Mesir kerana baginda tahu dan faham bagaimana sepatutnya menghadapi 7 tahun subur dan 7 tahun kemarau itu.

Renungi ayat 46-48 dari surah Yusuf ini :

(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.

Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”

Kalau kita merenung makna perkataan Nabi Yusuf a.s. ini, kita pasti dapat memperolehi sedikit idea tentang perancangan kewangan.

Perancangan kewangan adalah perancangan yang menyeluruh tentang kewangan dalam kehidupan. Ia bukan hanya soal ambil takaful tak ambil takaful, ada buat pelaburan atau tak, ataupun soal mengurus hutang semata-mata. Tidak hanya semata-mata itu.

Ia menyeluruh mencakupi semua perkara yang kita gunakan duit dalam hidup kita. Mungkin ramai yang nampak tidak begitu penting hal ini.

Tetapi jangan main-main hal ini. Antara kesannya adalah kita boleh lihat bagaimana laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia pada 2016 di mana lebih kurang 97,215 kes bangkrap dicatatkan sejak 2012 hingga 2016.

Justeru, penting kita didik tentang bijak mengurus kewangan ini dalam diri kita, kalangan ahli keluarga kita dan juga masyarakat.

Post kali ini akan menyentuh tentang 2 elemen paling asas dalam pengurusan kewangan iaitu :

1) Menganalisis Aliran Tunai

2) Menganalisis Nilai Asset Bersih (NetWorth)

Anda jangan risau. Kita akan pergi satu demi satu secara berperingkat. Kenapa 2 elemen ini penting? Kerana segala perancangan kewangan kita nanti akan berpusat dan berbalik kepada 2 elemen ini.

 

(1) Menganalisis Aliran Tunai (Cash Flow)

Aliran tunai ini adalah perkara yang sangat asas dalam penggunaan kewangan. Apa benda itu aliran tunai? Aliran tunai itu adalah :

Pendapatan – Perbelanjaan = Lebihan Cash Flow (surplus)

Pendapatan itu adalah semua jenis pendapatan anda.

Kalau anda jenis bekerja makan gaji, maka gaji anda adalah pendapatan anda dicampur dengan semua bonus, elaun.

Kalau anda orang yang bekerja sendiri atau berbisnes, maka hasil bisnes anda itu adalah pendapatan anda.

Kalau anda ada buat pelaburan dan dapat dividen/keuntungan atau dapat pendapatan hasil sewakan rumah, maka itu adalah pendapatan.

Jadi, senang cerita, pendapatan anda boleh dikategori seperti berikut :

a. Pendapatan Aktif

b. Pendapatan Sampingan

c. Pendapatan Pasif

Anda boleh buat kiraan dalam bentuk bulanan dan juga bentuk tahunan. Mudah saja. Apa saja pendapatan anda, anda kalikan dengan 12 bulan.

Misalnya pendapatan anda bulanan secara total adalah RM4000.

RM 4000 X 12 bulan = RM 48,000

Apa pula perbelanjaan? Perbelanjaan adalah apa juga duit yang anda gunakan dan keluarkan. Sama ada anda keluarkan untuk bayar rumah anda, bayar kenderaan anda, makan minum, bil elektrik, bil air, interent, sumbangan ibu bapa, bayar caruman takaful dan lain-lain.

Kira secara bulanan dan kemudian anda darabkan juga dengan 12 bulan.

Misalnya, perbelanjaan anda secara total dalam sebulan adalah RM3000. Jadi,

RM 3000 X 12 = RM36,000

Untuk mengetahui berapa lebihan cash flow anda, anda hanya perlu ambil Total Pendapatan Tahunan anda iaitu sebanyak RM 48,000 tadi kemudian tolak RM 36,000 yang mewakili Total Perbelanjaan Tahunan anda.

RM 48,000 – RM 36, 000 = RM 12, 000

Kiraan ini hanya secara kasar. Anda boleh buat analisis aliran tunai anda sendiri mengikut rekod perbelanjaan anda. Anda boleh lihat sama ada anda mempunyai aliran tunai positif atau aliran tunai negatif. Aliran tunai positif adalah anda mempunyai lebih cash flow setiap bulan. Aliran tunai negatif pula adalah anda defisit, yakni perbelanjaan anda selalu melebihi pendapatan anda.

Kalau berlaku aliran tunai negatif, anda perlu merawat segera pengurusan kewangan anda. Kalau yang sudah ada aliran tunai positif, perlu juga dilihat berapa banyakkah lebihan itu? Dan kalau kita ada matlamat yang jelas untuk mencapai bebas kewangan, adakah aliran tunai sekarang dapat membantu kita mencapai matlamat kita itu?

Ok. Anda faham setakat ini? Sebahagian orang memberikan formula lain dalam membantu kita menguruskan kewangan dengan lebih cermat, iaitulah dengan menggunakan formula ini :

Pendapatan – Simpanan = Perbelanjaan

Formula di atas ini mungkin dapat membantu mereka yang kurang dapat mendisiplinkan diri mereka dalam menyimpan. Iaitu setelah anda dapat segala pendapatan anda, anda tolak beberapa peratus siap-siap untuk simpanan. Selebihnya itu digunakan untuk dibelanjakan.

Berapa peratus yang ideal untuk menyimpan? Di mana tempat menyimpan yang sesuai? Ok. Ini akan dibincangkan dalam post akan datang.

Untuk membantu anda melakukan analisis aliran tunai anda, anda boleh menggunakan jadual contoh di bawah :

Jadual A

Pendapatan

Bulanan (RM) Tahunan (RM)
1) Pendapatan Aktif

– Gaji

– Bonus

– Elaun

2) Pendapatan Sampingan

– Bisnes

3) Pendapatan Pasif

– Sewa

– Dividen/keuntungan pelaburan

Total

Jadual B

Perbelanjaan Bulanan (RM) Tahunan (RM)
Sewa/Instalment rumah
Kenderaan
Makanan
Bil-bil
Total

Anda boleh tambahkan sendiri perbelanjaan-perbelanjaan anda yang lain. Setelah dapat total untuk kedua-dua Jadual A dan Jadual B, anda cuma perlu ambil Jadual A – Jadual B.

Ok, saya tahu anda malas nak isi jadual-jadual ini. Bukan anda saja, saya pun sama. Haha. Sebab itu, saya cadangkan anda gunakan semaksimum mungkin faedah Phone anda yang canggih itu untuk download salah satu daripada aplikasi berikut :

1) Money Lover

2) Spending Tracker

3) DIY 360

Anda boleh try salah satu daripada aplikasi ini. Sangat mudah. Saya telah mencuba Money Lover dan saya rasa ramai yang telah menggunakannya. Sangat menarik dan senang kerana setiap kali perbelanjaan, saya hanya perlu keluarkan Phone dan catat terus perbelanjaan itu dalam Apps Money Lover itu. Yang menariknya, tak sampai seminit pun !

Dengan anda lakukan hal itu, anda boleh track di mana kebocoran aliran tunai anda berlaku dan juga dapat memuhasabah semula trend perbelanjaan anda.

 

(2) Nilai Asset Bersih (Networth)

Nilai asset bersih adalah untuk mengetahui adakah anda mempunyai asset lebih banyak ataupun liabiliti yang lebih besar? Apa itu asset? Apa itu liabiliti?

Asset itu mudahnya adalah sesuatu yang ada nilai ekonomi padanya, yang mana boleh memberikan manfaat kepada kita di masa hadapan. Contoh asset ini macam hartanah, rumah kita, cash yang ada pada kita, emas, pelaburan kita dalam unit trust, saham & AHB, saving yang kita ada dalam bank & tabung haji.

Liabiliti pula adalah komitmen yang menyebabkan kita terpaksa mengeluarkan wang untuknya sama ada bayar rumah yang kita beli yang belum habis, bayar kenderaan, personal financing/loan, hutang kad kredit, hutang melalui easypayment sama ada EON Credit, Court Mammoth dan lain-lain.

Nak tahu asset kita lebih banyak dari liabiliti atau sebaliknya, mudah saja.

Asset – Liabiliti = Networth

Kenapa penting nak tahu asset ada banyak lagi atau liabiliti? Supaya kita tahu keadaan kewangan kita sedang berada dalam keadaan sihat atau sebaliknya.

Lagi banyak asset kita ada, lebih baik. Kerana asset ini kita dapat cairkannya dan tukarkannya ke dalam bentuk cash sekiranya kita memerlukannya. Tetapi liabiliti kalau terlalu banyak, ia akan membebankan kita kerana kita yang terpaksa mengeluarkan duit untuknya.

Jadi, jangan banyakkan sangat liability anda. Jika anda faham konsep asas Networth ini, anda akan faham apa yang sepatutnya diutamakan dalam perancangan kewangan dan apa yang patut dikemudiankan.

Anda boleh gunakan jadual di bawah untuk membantu anda buat listing Asset dan Liabiliti anda.

Asset Nilai dalam RM Liability Nilai dalam RM
Saving Account Personal Financing
Tabung Haji Hutang kad Kredit
ASB Loan Kereta
Unit Trust ASB Loan
Rumah Rumah
PTPTN

Kesilapan sebahagian besar orang adalah memiliki liabiliti terlalu banyak dengan mengambil financing/loan untuk kereta dan juga personal financing/loan, tetapi tidak membina portfolio asset sendiri, akhirnya duit banyak dihabiskan untuk membayar liabiliti.

 

Penutup : Gagal Merancang, Merancang Kegagalan

Mungkin sesetengah orang tidak terlibat dengan hutang. Alhamdulillah, bagus. Cuma tidak terlibat dengan hutang tidaklah bermaksud kewangan anda sudah sihat.

Kalau anda ada matlamat besar untuk dicapai dalam kewangan untuk hidup anda, seperti nak mencapai pelan persaraan yang baik dan seawal mungkin, atau nak menyediakan pelan pendidikan untuk anak-anak, ataupun nak beli rumah, maka anda perlukan perancangan kewangan.

Merancanglah walau sekaya apapun anda.

Gagal merancang bermaksud anda sedang merancang kegagalan untuk diri anda.

Jangan rasa malu buat perancangan kewangan kerana ia adalah sunnah yang mulia dari Nabi Yusuf a.s. Rasa lebih malu kalau hidup kita nanti terkesan kerana perancangan kewangan yang tidak baik.