10 Ubat Untuk Manusia Yang Suka Mengeluh

Hakim Darno / August 1, 2018, 08:08:01 am

Sifat Manusia Yang Memang Suka Mengeluh

 

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut.

Surah al-Maarij (70) : 19-21.

 

Dulu masa hidup kita susah, kita suka mengeluh sampai seolah-olah kita tidak ada masa depan. “Sampai bilalah aku nak hidup macam ini. Kadang cukup, kadang tidak. Kesian kat isteri dan anak-anak aku. Ya Allah! Tolonglah murahkanlah rezeki aku”.

 

Kemudian kita berazam, “Kalau bisnes aku menjadi kali ini, aku akan sedekah banyak-banyak, aku nak bagi RM 10 ribu kat sekolah tahfiz, aku nak hantar emak ayah pergi umrah, aku nak hantar anak-anak aku kelas mengaji, aku nak bagi makan kat gelandangan dan macam-macam kebaikan lagi yang aku nak buat.”

 

Tiba-tiba, betul bisnes kita menjadi. Kita pun suka dan seronok. “Alhamdulillah terima kasih Allah kerana mendengar doa hambamu ini.” Masa ini rancangan kita pun berubah. Kita lupa dengan azam yang kita buat dahulu, kita utamakan nafsu. Kita beli kereta dan rumah mewah, pakaian-pakaian yang mahal untuk anak-anak kita, beli itu dan beli ini sehinggalah duit kita tinggal sedikit.

 

Masa tu nak sedekah pun kita berfikir dua tiga kali, duit baki ni nak buat sara hidup tiga bulan lagi. Kita pun katalah, “Lepas ini dapat untung lagi, barulah aku buat apa yang aku azamkan dulu.”

 

Begitulah sifat manusia. Masa susah mengeluh, masa senang kedekut. Bukankah kita orang yang beriman sepatutnya sentiasa bersyukur tidak kira susah dan tidak kira senang.

 

Jadi, apakah ubat untuk orang  yang suka mengeluh ni?

 

Pertama – Kedua : Melaksanakan Solat Dan Istiqamah

 

Kecuali orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.

Surah al-Maarij (70) : 22-23.

 

Maksudnya ialah sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka  yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang mendirikan solat. Mereka menjaga waktu solat, menjaga rukun-rukun solat, syarat wajib dan syarat sah solat, khusyuk dan melakukan perkara-perkara sunat dalam solat.

 

Mereka terus istiqamah melakukan solat, walaupun apa pun keadaan mereka. Ketika susah khusyuk dan ketika senang pun mereka khusyuk. Mereka mendirikan solat sehingga mampu mencegah diri mereka daripada melakukan maksiat.

 

Ketiga : Membayar Zakat Dan Sedekah

 

Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

Surah al-Maarij (70) : 24-25.

 

Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang membayar zakat. Mereka tahu bahawa harta yang mereka miliki, ada bahagian untuk orang-orang yang miskin dan susah sama ada mereka meminta atau pun tidak.

 

Kalau sudah membayar zakat, mereka pula melakukan sedekah, infaq dan yang seumpama dengannya sebagai  tanggungjawab sosial. Setelah kita melaksanakan tanggungjawab diri, kita sempurnakan pula tanggungjawab kepada masyarakat.

 

Situasi ini selalu berlaku kat restoran, semasa menunggu makanan sampai, akan ada orang yang menghampiri meja kita untuk menjual. Biasanya orang jual tisu, buah, jam dan sebagainya. Kita tidak sepatutnya layan mereka acuh tak acuh, kalau nak sedekah silakanlah sedekah, kalau tak nak tolaklah dengan cara yang baik.

 

Ini tidak, orang mintak sedekah kita marah, orang menjual pun kita marah, kita lupa ke siapa yang beri rezeki kepada kita?

 

Keempat : Membenarkan Hari Pembalasan

 

Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya).

Surah al-Maarij (70) : 26.

 

Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang meyakini Hari Kiamat atau tempat kembali, perhitungan dan pembalasan.

 

Mereka tidak sekali-kali meragui dan mengingkarinya. Oleh itu, mereka akan melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh menyebabkan mereka mendapat pahala. Ini menunjukkan bahawa amal perbuatan mempunyai tujuan yang mendorong seseorang membenarkan akidah, ucapan dan perbuatan. Kadang-kadang timbul rasa malas beribadah dalam diri kita, ingat tentang hari pembalasan dapat memberi kita motivasi.

 

Kelima : Takut Dengan Azab Allah

 

Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya. Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka , tidak patut (bagi seorangpun) merasa aman terhadapnya.

Surah al-Maarij (70) : 27-28.

 

Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang takut dengan azab Allah SWT. Mereka risau dan bimbang apabila melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah dan meninggalkan perintah-perintah Allah SWT.

 

Mereka yakin dan percaya bahawa apabila mereka melakukan maksiat, sudah pasti mereka akan mendapat balasan yang buruk daripada Allah SWT sama ada di dunia dan di akhirat. Mereka hidup dalam keadaan ketakutan dan merasa tidak tenang. Ini menunjukkan bahawa takut dengan seksaan Allah mampu meningkatkan ketaatan dan memberi amaran kepada kita untuk tidak melakukan maksiat.

 

Keenam : Menjaga Diri Dan Menjauhi Perbuatan Keji

 

Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas.

Surah al-Maarij (70) : 29-31.

 

Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang memelihara kemaluannya daripada perkara yang haram. Mereka tidak melakukan zina, tidak bercumbu, atau berkhalwat.

 

Mereka juga memelihara diri mereka daripada perbuatan keji dan mungkar seperti tidak menonton video lucah, tidak merenung perempuan, dan tidak membayangkan perkara yang tidak sepatutnya.

 

Mereka hanya memuaskan nafsu kepada isterinya sahaja seperti yang dianjurkan oleh syariat.

 

Ketujuh – Kelapan : Menjalankan Amanah Dan Memenuhi Janji

 

Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.

Surah al-Maarij (70) : 32.

 

Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang menjalankan amanah dengan baik. Mereka juga menunaikan janji-janji yang telah dibuat olehnya . Mereka tidak khianat ketika diberi amanah dan tidak mengingkari ketika diberi janji.

 

Kesembilan : Memberi Kesaksian Dengan Benar

 

Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi).

Surah al-Maarij (70) : 33.

 

Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang memberikan kesaksian pada para hakim dengan benar serta tidak melakukan tokok tambah, tidak berdolak dalih sama ada pada kerabat atau orang jauh, orang berkedudukan tinggi atau rendah. Mereka tidak menyembunyikannya dan tidak pula mengubahnya.

 

Kesepuluh : Menjaga Kesempurnaan Solat

 

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.

Surah al-Maarij (70) : 34.

 

Sifat manusia itu memang suka mengeluh kecuali mereka yang diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang menjaga kesempurnaan solat. Mereka menjaga waktu solat, rukun-rukun, kewajipan-kewajipan dan hal-hal yang disukai dalam solat.

 

Mereka tidak meninggalkan sama sekali bahagian-bahagian solat. Mereka tidak disibukkan oleh apa pun. Setelah solat, mereka tidak melakukan apa yang membatalkan atau bertentangan dengan solat sehingga pahala solat batal dan terhapus ganjarannya.

 

Mereka mendirikan solat dengan penuh semangat dan keinginan. Mereka mengosongkan hati mereka daripada kesibukan-kesibukan dunia, menghayati apa yang mereka baca atau mengulang-ulang zikir, menghadirkan hati mereka bersama Allah dan memahami ayat-ayat al-Quran yang dibacakan.

 

Kesimpulan

 

Pada asalnya, memang kita berniat baik. Contohnya seperti situasi di atas, ketika susah, kita berazam untuk melakukan pelbagai kebaikan apabila kita berjaya dalam bisnes, dapat bonus dan sebagainya. Namun, kita kena ingat syaitan sentiasa menunggu peluang untuk melalaikan kita. Syaitan akan sentiasa berusaha untuk memujuk kita pada waktu senang dan susah.

 

Jadi kita jangan mudah terpedaya dengan pujukan syaitan. Amalkanlah apa yang telah diajarkan oleh Allah dalam ayat-ayat ini. 10 perkara ini dapat membantu kita mengelak daripada menjadi orang yang suka mengeluh. Malah Allah telah menyebut dua kali tentang solat menunjukkan solat adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian lebih.

 

Semoga kita tidak menjadi orang yang berkeluh kesah!