bahagia terindah

1 Bahagia Dari 1001 Bahagia

Balqis Sanusi / March 17, 2018, 00:03:20 am

Aku Nurain, anak tunggal dan tinggal bersama ibu tunggal. Ibu ayah dah lama bercerai. Dahulu adakala aku rasa hidup ini kejam. Iyalah, yang selalu aku dapat rasa kecewa, rasa marah, sedih dan terluka.

Bayangkan sejak aku masih kecil, aku dah terbiasa dimarahi tanpa sebab. Bukan itu saja, aku dah terbiasa dipukul ayah sendiri. Aku sering menjadi tempat melepaskan amarah bila ibu ayah bergaduh. Aku dah terbiasa diabaikan semua keperluan aku dan aku uruskan semua sendiri.

Ya. Aku dari usia 7 tahun dah menjadi anak gadis yang kena berdikari. Jiran sekeliling sering tunjukkan simpati mereka dan mahu berikan bantuan kepada aku tapi aku menolak.

Bukan sebab aku ego tapi sebab aku dah boleh berdikari, aku dah kuat, aku tak perlukan semua itu. Untuk apa aku mengharapkan bantuan dari mereka jika penghujungnya mereka tetap mengutuk keluarga aku. Bantuan ikhlas kah begitu?

Sejak usia 7 tahun itu aku dah selalu sangat melihat ibu aku menangis kesedihan, membuatkan aku benci dengan lelaki. Iya, betul!

Jadi tak mustahillah di usia aku sekarang 26 tahun aku langsung tidak memikirkan soal kahwin, anak dan berkeluarga. Tidak pernah sekali aku fikirkan semua itu!

Aku sangat tahu rakan-rakan aku sedang memburu jodoh, sedang bahagia bersama suami, anak dan keluarga kecil mereka tapi apa aku peduli? Aku ada pilihan hidup aku sendiri. Aku tahu cara bahagia aku bagaimana.

………………………….

Petang itu aku ke pasar malam sejurus pulang dari ofis. Aku ni bukan suka sangat beli makanan di pasar malam tapi sebab ibu minta belikan makanan untuknya, aku langkahkan kaki ke sana.

Kenapa tak suka ke pasar malam?

Sebab aku tak suka tempat ramai orang macam tu dan paling utama sebab di pasar malam lah ayah pernah mengamuk dan bergaduh dengan ibu masa aku berusia 15 tahun. Itu antara kenangan sangat pahit dalam hidup aku. Ibu dimalukan disitu oleh suami sendiri. Apa kau rasa sebagai anak? Mesti marah kan.

Tapi kau tak ada kuasa dan daya untuk memarahi dan menghalang apa yang berlaku ketika itu. Itu sebab aku tak suka! Setiap kali aku ke pasar malam mesti terbayang-bayang kejadian tu. Huh.

Kalau nak ditulis kenangan hitam aku sepanjang aku mula masuk alam sekolah, terlalu banyak dan ia tak pernah luput dari ingatan.

Aku berjalan sepanjang jalan yang dipenuhi gerai-gerai. Mataku melilau mencari gerai yang ibu katakan padaku, Resipi Bonda. Ibu aku ni suka sangat nasi goreng tapi hanya di satu gerai ini saja dia boleh makan. Jenuh sungguh aku nak mencari.

Sambil berjalan tu aku cari jugalah makanan untuk aku sendiri. Dah dekat 15 minit aku ditenggelami dengan ramai manusia disitu.

‘Manalah gerai yang ibu cakap ni. Tak jumpa-jumpa pun! Aku balik kang baru tahu.’ Getus hatiku. Aku berhenti dan duduk di bahu jalan berdekatan tempat parkir motosikal. Dah penat sebenarnya.

Tanpa buang masa, jari aku pantas mendail nombor ibu.

“Ibu, along tak jumpa gerai tu. Dah 15 minit along kat sini. Beli makanan lain boleh tak?”

“Along cuba cari betul-betul. Ada je gerainya. Bonda cakap bonda meniaga hari ni.”

“Tapi masalahnya dah 3 kali along pusing tempat sama, tak juga jumpa.”

“Along, dah berputus asa ke?” Ibu perlahankan nada suara.

Dengar suara ibu macam tu dah cukup membuatkan aku rasa bersalah. “Baiklah ibu. Along cari sekali lagi.”

“Terima kasih along. Kalau tak jumpa juga, tak apa. Beli je apa-apa makanan. Nanti kita buka puasa sama-sama ya. Ibu tunggu di rumah.”

“Ya ibu. Assalamualaikum.” Panggilan ditamatkan.

Aku berdiri semula. ‘Nampaknya aku kena usaha lagi lah ni.’

Kali ini aku mulakan misi mencari nasi goreng kegemaran ibu dengan lafaz basmalah. Hehe. Aku mulakan langkah dengan harapan usaha terakhir ini membuahkan hasil lah.

Dari satu gerai ke satu gerai aku mula menapak dan mencari gerai ‘Resipi Bonda’. Dari jauh aku dah macam nampak kain rentang tertulis ‘Resipi Bonda’.

Aku semakin laju menghayunkan langkah kaki ke gerai itu. ‘Harap betullah itu kedainya.’

Semakin dekat semakin jelas tulisan pada kain rentang itu. Ramai orang mengerumi gerai tu, mesti sedap lah tu kan.

‘Yes! Akhirnya jumpa gerai Resipi Bonda!’ Aku mula beratur untuk menunggu giliran. Sekali lagi sabarku teruji disaat aku tengah berpuasa sunat ni.

…………………….

Lagi dua orang pelanggan ada di hadapan aku dan selepas itu giliran aku pula. Tak sabarnya sebab aku nak cepat balik rumah.

“Mak cik Ida, apa ni. Tadi saya order nasi goreng dan mee goreng basah, tapi kenapa lain yang saya dapat?” Seorang pelanggan wanita, tak bertudung, datang menerjah di hadapan aku. Terkebelakang aku dibuatnya. Nasib tak tergolek jatuh.

“Eh yeke dik. Adik dapat apa tu? Mari mak cik Ida tengok.”

“Saya dapat kuew tiaw kerang. Mak cik Ida ni nak berniaga, elok-eloklah. Lain kali dengar betul-betul apa pelanggan cakap. Saya dah lah jauh datang ni.” Balas wanita muda itu sambil menghulurkan beg plastik berisi dua bungkusan. Raut wajahnya jelas kelihatan marah.

Terpaksa mak cik Ida berhenti sekejap membungkus nasi pelanggan yang sedia ada di hadapannya. Semua memerhati kejadian itu.

“Biar mak cik Ida bungkus yang baru ya. Mak cik Ida minta maaf.”

“Tu ha yang bungkus tadi, orang OKU tu. Mak cik Ida buat apa nak ambil pekerja macam tu. Menyusahkan orang ada lah. Tak payahlah mak cik Ida. Dah tak ada selera saya nak makan. Bagi semula duit saya. Setel.” Jari telunjuk ditujukan ke arah seorang lelaki muda yang sedang duduk berdekatan kereta, di bahagian tepi gerai.

Terkejut aku dan pelanggan lain dengar kata-kata wanita yang tiada adab tu. Berani dia cakap macam tu. Astaghfirullah.

“Sekali lagi mak cik Ida minta maaf ya dik. Itu anak mak cik Ida. Dia bukan OKU cuma tak dapat melihat sebelah mata. Maafkan mak cik Ida. Tadi mak cik Ida pergi solat. Jadi dia yang tolong bungkuskan.” Lembut tutur kata mak cik Ida Ida, wajahnya ditundukkan tanda sebagai mohon maaf.

“Tak apalah. Bagi je balik duit saya RM10.”

Tanpa banyak soal mak cik Ida Ida mengambil wang not RM10 dan berikan kepada wanita itu. Dapat saja wang terus wanita itu berlalu pergi.

Beberapa pelanggan lain menggeleng-gelengkan kepala melihat tingkah wanita yang tidak menghormati orang tua. Kenapalah macam itu sekali sikapnya?

Mak cik Ida Ida kembali semula melayan pelanggannya. Wajahnya langsung tidak menunjukkan sedih. Aku sangat kagum sebab mak cik Ida Ida sangat bijak mengurus emosinya. Benda baru aku pelajari hari ini nampaknya.

5 minit kemudian, mak cik Ida Ida menegur aku.

“Anak kak Siti ya?” Tanya wanita itu sambil mengambil kertas bungkus nasi yang dah tersusun rapi dalam bakul kecil.

Aku hairan sekejap. “Ya saya.”

Mak cik Ida Ida tersenyum kat aku. Aku dapat agak mesti mak cik Ida ni kenal dengan mak aku, yelah mak aku kan pelanggan tetap kat situ.

“Beli nasi goreng untuk mak ke? Nak berapa bungkus?”

“Ya, nak satu bungkus je. Ibu cakap macam biasa.”

“Okay. Tunggu sekejap.”

Aku mengangguk dan menunggu dia siap membungkus nasi yang aku tempah. Sedang menunggu tu, aku terpandang akan sesuatu.

Di bahagian tepi gerai itu ada seorang lelaki dan perempuan kurang upaya. Kedua-duanya duduk di atas kerusi roda. Aku sangat yakin keduanya ada masalah penglihatan.

Even keadaan macam tu tangan mereka sedang melipat kertas pembungkus nasi. Aku perhatikan saja mereka dan melihat hasil kerja mereka.

‘MasyaAllah, kemasnya susunan dan lipatan tu.’ Aku mengagumi dalam hati. Tersusun elok saja kesemua kertas pembungkus itu diletakkan dalam bakul.

‘Betapa malunya aku. Hebat kuasa Allah ni, Dia memang berikan kekurangan kepada hamba-Nya, tapi digantikan dengan kelebihan lain.’

Bukan itu je. Aku pernah perhatikan seorang lelaki buta melintas jalan. Masa tu jalan memang sibuk dan kebetulan sewaktu kereta aku berhenti, lampu hijau untuk pejalan kaki menyala.

Lelaki itu berjalan melintas jalan raya dengan selamatnya. subhanaAllah, sejak itulah aku sangat yakin, Allah ni sangat baik, walaupun lelaki itu buta tapi dia ada ‘deria rasa’ lain yang Allah kasi menyebabkan diorang boleh berdikari, bergerak ke sana ke mari.

Tapi bagi aku, biarpun begitu bukan tiket untuk aku mengelak dari membantu mereka.

“Dik, nah nasinya.”

“Ehh.. maaf, maaf. Berapa ringgit?” Aku tersedar dari lamunan selepas mendengar suara mak cik Ida tadi.

“6 ringgit je. Jauh mengelamun dik.” Balas mak cik Ida tu sambil tersengih.

Aku terus mengeluarkan not hijau dan not biru dari beg dompet aku. Aku hanya membalas senyuman mak cik Ida tadi.

“Nanti sampaikan salam kat mak kamu ya.”

“InsyaAllah mak cik Ida.”

Aku terus berlalu dari gerai itu dan pulang ke rumah.

‘Fuh, banyak betul hikmah aku dapat even pergi pasar malam je.’

Inilah sebenarnya bahagia yang selalu aku dapat dalam hidup. Memang aku harus mencari bahagia lain seperti bahagia dalam perkahwinan, bahagia memiliki keluarga sendiri. Tapi dengan pengajaran yang Allah swt kurniakan kat aku setiap hari, ia dah cukup mendidik aku untuk bersyukur. Berkat syukur itulah hadirnya rasa bahagia.

Bahagia inilah yang telah menghapuskan segala perasaan negatif yang pernah tertanam dalam diriku.

Bagi aku bahagia tak semestinya dengan adanya wang ringgit, dengan perkahwinan, dengan hidup berpasangan, tapi bahagia itu hadir apabila melihat setiap kejadian dengan mata hati.

Ohya, aku bukan menolak sunnah Rasulullah saw atau takut dengan kisah silam keluarga. Cuma hati aku belum terbuka untuk memikirkan soal itu. Mungkin Allah swt nak aku jaga dan bahagiakan ibuku dahulu. Selamanya pun aku tak kisah sebab dengan melihat ibu tersenyum lebar pun dah lebih dari cukup untuk aku merasa bahagia. Dalam banyak-banyak kebahagiaan di dunia ini, membahagiakan orang tua itulah bahagia yang paling aku cinta.